BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 1, 2011

motivasi: kadangkala kepayahan itu datangnya dari kekuatan...

Adakah kita bersabar mengharungi halangan dan cabaran yang Allah berikan kepada kita? Apakah kita kekal percaya kepadaNya? ~ picture by karamnatour of Deviant Art.
Orang mudah mengeluh bila ditimpakan ujian dan cabaran ke atas dirinya. Orang senang merungut bila ditimpakan halangan di atas perjalanannya, ditaburkan duri di atas perjuangannya. Payah. Susah. Itu semua melemahkan dirinya.
Jangan kata orang, saya sendiri juga biasa merasakan kelemahan-kelemahan itu apabila diletakkan dugaan dan ujian di dalam perjalanan kehidupan saya. Kadangkala hingga pernah diri ini berkata kepada Allah SWT, “Ya Rabb, apakah Engkau tidak lagi melihat hambaMu ini? Bukankah semua ini di luar kemampuanku?”
Tetapi kadangkala keimanan itulah yang membangkitkan semula pemerhatian adil kepada Allah SWT. Allah mustahil meninggalkan hamba-hambaNya, melainkan hamba-hambaNyalah yang meninggalkan dia. Jadi pokok pangkalnya, kita perlu bertenang dan melihat semula.
Apakah yang sebenarnya Allah mahu berikan kepada kita dalam kepayahan itu?
Pasti ada hikmahnya.

Bukanlah kita yang layak hendak menyelongkarnya. Tetapi…
Kalau membicarakan ilmu Allah SWT, memang kita tak akan mampu menyelongkarnya secara sempurna. Tiadalah ilmu kita melainkan sedikit sahaja. Itupun, Allah jugalah yang memberikan yang sedikit itu.
Tetapi dengan sedikit ilmu pemberian Allah SWT itu, kita cuba juga melihat hikmah-hikmah yang mampu kita lihat.
Dengan ilmu itulah, kita menilai.
Contoh yang akan diambil: Tarbiyah Allah SWT kepada mereka.
Siapakah mereka?
Mereka adalah para anbiya’. Kita ambil contoh daripada mereka, untuk menunjukkan bahawa, segala cubaan dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita ini sebenarnya adalah untuk kebaikan kita. Tinggal, kita sahajalah yang perlu memerhatikannya dengan teliti, dan belajar untuk memupuk sangka baik kepada Allah SWT dalam diri kita.
Mari, perhatikan, bagaimanakah kepayahan dan ujian itu membina peribadi mereka.
Contoh 1: Musa AS
Kita melihat kepada Nabi Allah Musa. Antara tarbiyah menarik yang berjalan ke atasnya adalah perjalanannya dengan seorang lelaki soleh(dunia mengenali lelaki ini sebagai Khidr).
Baginda berhadapan dengan kesukaran memahami tindakan lelaki tersebut, sehingga tercabar kesabarannya. Jika kita perhatikan, sebelum baginda Musa AS menjadi Nabi, baginda digambarkan oleh Allah SWT sebagai seorang yang kasar, kurang sabar, dan cepat terjun kepada keputusan.
“Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, – seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) .” Surah Al-Qasas ayat 15.
Tanpa usul periksa bukan? Terus-terus sahaja ditumbuknya lelaki itu, dan lelaki itu ditakdirkan Allah mati hanya dengan satu tumbukan.
Maka apabila bersama Khidr, kesabaran Musa yang tipis itu diuji. Khidr melakukan tiga perkara yang ketiga-tiganya membuatkan Musa tidak sabar untuk melemparkan soalan bagi menyatakan tidak bersetujunya dia akan perbuatan-perbuatan itu. Hinggakan Khidr akhirnya terpaksa meninggalkan Musa, kerana perjanjian mereka adalah, Musa tidak akan bertanya apa-apa berkenaan tindakan Khidr. Kisah ini tercatat kemas dalam Surah Al-Kahfi.
Di sini, kesabaran Musa terdidik. Bahkan, kesabaran itu tertingkat diasimilasikan dengan peningkatan keimanan. Yakni, walaupun sesuatu perkara itu nampak seperti tidak logik, atau tidak menguntungkan kita, Allah SWT lebih tahu akan kebaikannya bila perkara itu berlaku. Dan mustahil apabila kita mentaati Allah, Allah akan memberikan keburukan kepada kita.
Peningkatan Musa AS ini terbukti, apabila Allah SWT mengarahkan baginda keluar pada waktu malam, membawa Bani Israel melarikan diri daripada Firaun, tetapi akhirnya baginda dilorongkan ke jalan mati – yakni jalannya membawa ke hadapan laut merah.
Bani Israel ketika itu panik. Ada yang mencadangkan untuk menyerah sahaja kepada Firaun. Tetapi Nabi Musa ketika itu, yang telah terdidik dan tertingkat, apakah yang diucapkan pada saat penuh kecemasan ketika itu?
“Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.  Nabi Musa menjawab: Sesekali tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61-62.
Lihat. Jawapan dia yang pertama sekali adalah “Kalla.” Yang membawa maksud: “Sesekali tidak akan berlaku sedemikian!” Nabi Musa itu telah tertingkat. Hingga bila di hadapannya kesukaran, bahkan kesukaran itu nampak sungguh macam tiada jalan keluar(Laut di hadapan, Tentera Firaun di belakang), tetapi dia yang telah memahami bahawa dalam setiap masalah itu, Allah hanya akan memberikan kebaikan, kekal percaya bahawa Allah akan membantunya. Apakah hasil kepercayaan ini?
“Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 63-65.
Dan Musa terselamat. Kepayahan yang dilalui sebelum itu, memberikan Musa kekuatan pada hari dia tersekat antara laut dan tentera Firaun. Dan kepayahan tika dia tersekat antara laut dan tentera Firaun, memberikannya pula kekuatan untuk mengharungi perjuangan-perjuangan selepas itu. Tidakkah kita melihat?
Contoh 2: Yusuf AS.
Kita pergi melihat kepada Yusuf AS pula. Baginda adalah antara manusia yang teruji semenjak kecil. Dari kecil dibenci oleh saudara-saudaranya hingga dicampak ke dalam telaga. Allah selamatkan dia dari telaga tersebut. Sedangkan, saat dia berada di dalam telaga, apakah terfikir akannya akan kewujudan bantuan? Nyata bila dia bersabar dan melalui ujian itu dengan tabah, bila dia diselamatkan nyata akan wujud pertambahan kekuatan dalam jiwanya bukan?
Allah tidak meninggalkannya. Nyata dibiar ke dalam telaga itu adalah baik buat seorang Yusuf AS.
Kemudian, apabila dikutip, dan dibesarkan oleh tokoh kebesaran, pemerintah Mesir, dia diuji pula dengan perempuan kepada tokoh itu. Dia digoda. Tetapi lihatlah Yusuf, apakah dia merebahkan dirinya dalam godaan itu? Sesekali tidak. Dia melawannya dengan bersungguh-sungguh. Walau dalam bilik terkunci, dia berlari juga ke muka pintu.
Akhirnya Allah selamatkan dia sekali lagi. Namun perempuan tokoh itu tidak berhenti begitu sahaja, dia cuba pula membawa Yusuf kepada teman-temannya, dan setelah menunjukkan betapa kacaknya Yusuf dan menyalahkan Yusuf atas kekacakan itu, perempuan tokoh itu menawarkan Yusuf sekali lagi dirinya, atau kali ini Yusuf akan dipenjara.
Kali ini, sebagaimana kekuatan yang tertingkat yang diterimanya dari peristiwa telaga, dan peristiwa diselamatkan dalam bilik terkunci, Yusuf dengan yakin memilih penjara.
Namun, segala peningkatan itu, tidak bermakna menjadikan Yusuf sempurna. Di dalam penjara, dia menta’wil mimpi dua rakan penjaranya. Tetapi akhirnya, apabila dua rakan penjaranya dilepaskan, dia tersilap meletakkan tawakkal. Dia yang awalnya memilih penjara sebagai rumah perlindungan hubungannya terhadap Allah SWT, meminta manusia pula untuk mengeluarkannya.
Akhirnya Allah didik Yusuf dengan membuatkan rakan yang dipesannya itu terlupa.
Hinggalah Allah lepaskan Yusuf, dalam peristiwa Tokoh Mesir itu memerlukan seseorang yang boleh menta’wil mimpi. Ketika inilah Yusuf keluar dengan menjadi seseorang yang sekali lagi tertingkat. Kepayahan hidup dalam penjara, memberikannya kekuatan.
Hidup dalam penjara itu nyata baik bagi seorang Yusuf. Mengajarnya banyak lagi perkara. Seakan-akan penyempurna kepada pembinaan seorang Yusuf AS. Lihatlah selepas itu, apakah yang Allah jadikan buat seorang Yusuf AS? Bukankah seorang pemerintah Mesir yang berjaya membawa negaranya selamat mengharungi 7 tahun yang gersang? Bukan mudah bukan? Tetapi Yusuf itu akhirnya berjaya dalam kehidupannya itu, kerana dia telah dibina dengan pelbagai ujian. Maka 7 tahun gersang itu berjaya dihadapinya dengan kegemilangan.
Bukan setakat itu sahaja, 7 tahun yang gersang itu, keperitan itu, juga baik untuk Yusuf, apabila kegersangan itu membuatkan 11 saudaranya terpaksa mengetuk pintu Kerajaan Mesir bagi meminta bantuan makanan, sekaligus mengembalikan Yusuf ke pangkuan keluarganya.
Lihat, bukankah pada keperitan itu, sentiasa ada hikmahnya?
Contoh 3: Muhammad SAW
Kita lihat pula kepada Rasulullah SAW.
Kita amat mengetahui bagaimana baginda ini teruji. Pelbagai cabaran, pelbagai mehnah dan tribulasi. Tidak perlu kita terangkan panjang-panjang. Tetapi apa yang perlu kita lihat adalah bagaimana semua mehnah dan tribulasi itu, memberikan peningkatan terhadap seorang Rasulullah SAW.
Bagaimana Rasulullah SAW ini, meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Allah SWT dalam setiap apa yang berlaku terhadap dirinya. Baginda dilontar batu di Taif hingga cedera, baginda kembali kepada Allah SWT dan percaya. Segala tarbiyah yang Allah berikan baginda di Makkah, dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, baginda tetap percaya kepada Allah SWT, dan percaya. Baginda hingga terpaksa keluar daripada Makkah yang dicintainya, baginda tetap percaya kepada Allah SWT dan percaya.
Hinggalah Allah bayar semua itu, dengan membukakan pintu langit kepada baginda. Menunjukkan ‘kebenaran’ yang selama ini tersingkap daripada mata seorang manusia. Membasuh hati baginda sebersih-bersihnya, dan ‘membuka’ mata baginda seluas-luasnya.
Dan lihatlah, selepas itu bagaimana seorang Rasulullah SAW, yang tatkala sahabatnya di dalam gua kerisauan, baginda dengan tenang menenangkan: “Apakah pandangan kamu Wahai Abu Bakr, kita berdua dan Allah adalah yang ketiganya?”
Dan lihatlah bagaimana baginda selepas itu mengharungi fasa Madinah dengan lebih kuat, dengan lebih bijaksana, dengan kredibiliti yang lebih tinggi. Semuanya hasil peningkatan daripada cabaran-cabaran yang dilalui baginda.
Akhirnya, di akhir usia baginda, seluruh jazirah arab menerima cahaya Islam.
Semua ini terhasil daripada kekuatan, yang selama ini terbina daripada keperitan yang dilalui. Baginda tertingkat. Sahabat-sahabat baginda turut tertingkat. Lihatlah kekuatan keimanan yang ada pada Abu Bakr RA. Lihatlah kekuatan dan ketegasan Umar Al-Khattab RA. Perhatikan sahabat-sahabat yang lain, yang mengharungi perjuangan bersama baginda. Semuanya mengalami peningkatan. Mereka adalah yang lain, daripada mereka semasa di awal keislaman.
Sebab itulah, ketika Allah SWT memujuk Rasulullah SAW dalam Surah Ad-Dhuha, Allah SWT menyatakan:
“Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” Surah Ad-Dhuha ayat 4.
Penutup: Maka kita perhatikan diri kita, dan cabaran-cabaran yang Allah SWT berikan.
Maka kita perhatikan diri kita semula. Cabaran-cabaran yang kita lalui. Ya, benar sukar. Ya, benar pedih. Ya, benar pahit. Tetapi lihatlah semula, apakah cabaran-cabaran itu diturunkan kepada kita sekadar sia-sia? Sekadar Allah nak bagi kita susah? Sekadar Allah nak cari fasal dengan kita? Sekadar Allah nak buat kita berputus asa?
Mustahil!
Allah itu tidak akan melakukan terhadap hamba-hambaNya demikian.
Di dalam kesukaran itu ada kekuatan yang sebenarnya Allah hendak binakan dalam diri kita. Diberikan kesusahan itu kerana Dia tahu kita mampu melaluinya, bila kita ‘push’ diri kita naik setahap lagi dalam hendak melangkaui halangan yang diberikan. Kita memang nampak macam tak mampu, tetapi Allah lebih tahu daripada kita sendiri, bahawa kita sebenarnya mampu.
Dalam ujian itulah adanya ‘upgrade’.
Tetapi tidak ramai kita melihatnya. Maka kita tewas. Kita jatuh. Kemudian kita salah-salahkan Allah. Sedangkan yang Allah ingin berikan kepada kita adalah kekuatan. Untuk mempersiapkan diri kita, akan sesuatu yang mungkin lebih besar lagi pada masa akan datang.
Maka di sinilah kita lihat semula kesukaran-kesukaran kita. Muhasabah.
Pasti di dalamnya ada kebaikan. Maka harungilah dengan penuh ketabahan. Bersangka baiklah kepada Allah SWT. InsyaAllah, apabila kita


http://langitilahi.com

bahumu yg kurindu...

Kala aku sukar,
Kau sentiasa menyuakan bahumu,
Kau satu-satunya yang tidak akan menabahkanku dengan kata,
Kau adalah yang satu-satunya menguatkanku dengan tindakannya,
Sukar mencari sepertimu,
Kerna setakat ini kau seorang sahaja,

Berjauhan kita takdir Tuhan,
Aku berdiri di sini dan kau di sana mencari redha Ar-Rahman,
Aku tahu kau tidak sukar tanpaku,
Tetapi nyata aku kepayahan tanpa kewujudanmu,
Kerna kau satu-satunya bahu yang ada,
Saat tenagaku susut kontang kekuatannya.

Bila bersendiri,
Aku rindu saat kita bersua,
Saat kau mendengar luahan rasaku penuh perhatian,
Tika kau mengerutkan dahimu tanda berkongsi keperitan,
Masa kau mengetap bibirmu turut kegeraman,
Bila kau berkata “Enta nak ana bantu apa? Ana usahakan.”
Kadangkala hingga tertitis air mata ini,
Kerna manusia sepertimu tidak dapat kujumpa lagi

Hatta berjauhan,
Kau masih memberikan bahumu,
Di atas talian, kita berhubung, kau tetap berusaha menguatkanku,
Setiap saat kau usaha memberikan tenaga,
Setiap waktu kau cuba mengisi jiwa,

Nyata bahumu kurindu,
Untuk kuluah segala-gala,
Kerna kau sahaja,
Yang tidak aku segan melemahkan diri selain Dia.

selamat hari lahir sahabat..

Antara perkara terindah pemberian Allah kepadaku,
Adalah menjadi sahabatmu.
Kalau bukan kerna hubungan kita,
Aku tak akan menjadi aku.

Tidak mampu mengukir bicara panjang,
Kerna kau terlalu berharga buatku,
Biarlah amal perbuatan menjadi saksi,
Cinta dan kasihku buatmu.

Semoga sahabat,
Kau kekal bersabar di sisiku,
Sungguh kekal lah thabat,
Biar nanti aku ke syurga beriringan denganmu

dedikasi buat jepun...

Kadangkala wahai saudara,
Manusia itu perlu digegarkan,
Barulah mereka terbangkit daripada lena

Adakalanya wahai saudara,
Derita itu tiba tanpa amaran,
Biar manusia itu faham bukan semua berada dalam kawalan

Negara kalian adalah antara yang termaju,
Pelopor teknologi dan dikagumi,
Bangkit daripada kehancuran dalam masa yang singkat,
Dahulunya penjajah negara kami,
Kininya antara yang perlu kami contohi

Tetapi saudaraku,
Negara kalian yang termaju itu juga tergegar,
Kalian yang serba hebat juga tergempar,
Nyatanya wujud yang lebih hebat dan menakutkan
Yang berhak menjadi tempat sujudan dan kiblat tundukan
Inilah dia pengajaran

Adakah Tuhanku zalim?
Bukan. Bukan.
Tuhanku hakikatnya Tuhanmu jua.
Dijadikan bala bencana biar kita beringat sama

Apakah makna kehidupan wahai saudaraku?
Saat bangunan-bangunan tinggi itu kau lihat jatuh teroboh.
Apakah makna kehidupan wahai saudaraku?
Saat air laut naik meruntuh.
Apakah makna kehidupan wahai saudaraku?
Saat segala apa yang dikejari selama ini hancur luluh.

Tidakkah itu buktinya sampai satu saat hidup ini akan tamat?
Dan untuk apakah kehidupan bagi sesuatu yang singkat?
Inilah dia yang Tuhanku dan Tuhanmu mahu bicarakan,
Gegaran dan gemparan ini sebagai peringatan,
Buat kamu wahai saudaraku menjelaskan penglihatan,
Buat aku juga biar mendapat pengajaran.

Belasungkawaku buat kalian,
Saudara-saudaraku dalam kehidupan,
Aku berdoa kepada Tuhanku yang juga merupakan Tuhanmu,
Agar kalian dipermudahkan segala urusan,
Dan peristiwa ini memberikan makna kepada kehidupan kalian.

.:MILIK SIAPAKAH GADIS INI:.

Milik siapakah gadis ini
Wajah lembut bagaikan sutera
Ingin hatinya ku miliki
...Apakan terdaya
Adakahkan terdaya

Milik siapakah hati ini
Bagai berkurun lama kesepian
Ingin aku mencurahkan kasih
Kepada yang sudi
Adakah ia sudi

Lama telah ku impikan
Gadis sepertinya
Mengisi taman hati
Dengan cahaya kasih (suci)
Siapakah gadis yang ku idam...
 
SHARING IS CARING....CARING IS LOVING.....HAHA....

Thursday, March 31, 2011

.:bunga seorang mujahid:.

Aku petik bunga yang indah ini
Agar ia hiaskan taman sanubariku
Wanginya semerbak dalam kamar hatiku
Cantiknya berseri dalam hari-hariku

Saat aku melamar kamu dulu
Senyum ayu kamu berikan
Bergetar jiwa aku tika itu
Membara rasa cinta ini

Aku ingat lagi tika itu
Setelah kamu halal aku miliki
Tangis syukur yang kamu hadiahkan
Sekali lagi kamu senyum kepadaku
Bergetarlah jiwa aku melihatnya
Bahagianya bukan kepalang

Oh bungaku
Kamu tersangatlah indah padaku
Sentiasa kembang mekar
Durimu tidak pernah melukakan aku
Harummu menyenangkan perjuanganku

Wahai bidadariku
Api cinta yang kamu nyalakan ini
Semarakkan lagi semangat dakwahku
Sabarnya kamu menemaniku
Di bawah sayap ini kamu setia menunggu
Pengorbananmu sayang, aku hargai

Kejelitaan isteriku tidak bisa digambarkan
Aku lindungkan ia disebalik purdah sutera
Dengan taburan warna merah jambu
Agar jelitanya itu menjadi santapanku seorang
Tidak mahu aku kongsikan itu
Kerana ia begitu istimewa padaku

Bunga sang mujahid ini
Dihinggap rama-rama iman sentiasa
Madu solehahnya jelas terasa
Embunnya mengalir seinfinitinya
Cintanya ia pada yang Maha Esa
Dengan taat padaku mujahidnya tercinta

Keikhlasan cinta kepada Allah
Kamu buktikan dengan mentaati aku
Sungguh bungaku yang indah
Kamu hadiah Allah yang istimewa
Hadirnya kamu bisa menyembuh duka
Dengan cinta itu sebagai ubatnya

Cintamu ya bidadariku
Bisa menikam musuh-musuh dihadapanku
Bisa luluh jiwa-jiwa mereka itu
Bisa membangkit nafsu jihad bergelora
Tenang aku memegang panji tiada resahnya
Barisan hadapan akan aku mara
Syahid bahagia pasti aku buru
Kerana adanya kamu menemaniku

Bunga sang mujahid ini
Akanku tunas ia sebaik-baiknya.

.:KAU HARUS ADA:.

Awak, bangun awak.”
Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.
“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya. Terpisat-pisat. Berkelip beberapa kali.
“Mengantuk lagi?” Suara lembut itu menyapa lagi.
Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.
Dia sedang memandangku dengan perihatin. Dan tiadalah wajahnya itu, melainkan menjemput senyuman hadir pada bibirku.
“Alhamdulillah,” Aku mengucap perlahan. Benar-benar rasa bersyukur dihidupkan. Dan amat bersyukur kerana Allah mewujudkan dia di sisi.
Dia turut tersenyum mekar.
“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Telapak tangannya menyentuh pipiku. Aku mengangguk faham. Kemudian dia perlahan-lahan turun dari katil.
Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.
Senyumanku belum pudar.
Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia. Hatiku lapang. Jiwaku kembang. Bahagia. Dan bahagia ini, sukar sungguh untuk terluput, semenjak hadirnya dia.
Sebentar aku jadi teringat hari-hari lalu. Hari-hari yang sunyi itu. Hari-hari yang perit itu. Hari-hari yang penuh derita dan disulami pelbagai cabaran yang menduga. Bukanlah kini semua itu telah pergi. Tetapi seakan-akan semuanya menjadi ringan dan aku menjadi lebih kuat untuk menempuhnya.
Aku menunduk dengan senyumanku, menggeleng sendiri.
Benar sangkaanku, dia harus ada.
“Alhamdulillah ya Rabb, Alhamdulillah.” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.
******
Suasana halaman yang indah mengisi keadaan. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa dengan hawa yang sederhana membuatkan diri terasa damai. Antara kegemaran kami berdua, sarapan di halaman rumah kala hening pagi sebelum aku pergi mencari rezeki.
“Apa senyum-senyum?” Tiba-tiba suaranya mengoyak lamunanku.
Aku mengangkat kening. Tanda tanya. Tak faham mengapa aku ditanya.
“Ya la, ada apa-apa ke? Atau muka saya ada masalah?” Dia mengesat pipi dengan belakang tangan yang sedang memegang garfu.
Aku tertawa. “Mana ada apa-apa pada muka awak. Saya sahaja nak senyum. Tak boleh?”
Dia tersenyum sama. “Senyum tak mengapa. Tapi senyum sambil tenung saya lama-lama tu yang buat saya tertanya-tanya. Tak sedap ke Mee Goreng saya masak?”
The Best in The World. Sama level dengan Ummi dan Ibu masak.”
“Habis tu, senyum-senyum kenapa?”
Aku dengan senyuman yang tidak lekang, menggeleng senang.
“Senyum, sebab awak ada di hadapan saya, sarapan dengan saya.”
Spontan wajahnya merah. “Hish, ingatkan apa tadi.” Terus dia kembali menumpukan perhatian kepada Mee Goreng di atas pinggan.
Aku juga menyambung makan. Sengaja mengekspresikan rasa hati. Kerna aku memang benar-benar rasa beruntung dengan keberadaannya di sisi. Aku tidak dapat membayangkan betapa aku sedang melalui hari-hari ini. Hari yang aku fikir tidak akan tiba buat diri.
“Awak, sibuk tak hujung minggu ni?” Soalan itu muncul saat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Kenapa?” Garfu dan sudu kuletakkan saling menyebelah di tengah pinggan yang licin.
“Sibuk tak?” Dia mengerutkan dahinya sedikit. Seakan hendak kujawab juga jawapannya.
“Kalau sibuk kenapa?”
“Kalau sibuk, saya tak nak lah cakap.” Dia menundukkan wajahnya, sambil garfu menolak masuk baki mee goreng ke dalam sudu, kemudian terus membawanya ke dalam mulut.
“Kalau macam itu, tak sibuklah.” Aku mengesat kawasan sekitar mulut dengan tisu, sambil kekal tersenyum. Wajahnya tidak kulepaskan. Walaupun mungkin matahari naik yang boleh kuperhatikan ketika ini indah. Kerna padaku, tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih indah dari apa yang ada di hadapanku kini.
Dia mencemikkan muka, sambil meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan . “Saya tak nak sampai ganggu schedule awaklah. Saya tahulah awak sibuk.”
Aku menggeleng. “I’ll manage. Apa yang awak nak cakap sebenarnya?”
“Er…” Teragak-agak. “Keluar jalan-jalan jom?” Wajahnya seakan amat berhati-hati bila melafazkan soalan.
Tawaku muncul lagi. Geli hati melihat wajahnya. Dan tersentuh dengan ajakannya. Aku faham maksud ajakan itu.
“Ada kerja sebenarnya…”
Wajah cerianya hilang sebentar. Aku sudah agak.
“…Tetapi i’ll try to finish it before this weekend. So that we can go jalan-jalan. Dan…” Aku tepat memandangnya. Masih tidak melepaskannya. Dapat melihat yang dia sudah mula hendak tersenyum, tetapi berusaha menahannya.
“Dan…?” Senyumannya seakan terpecah sedikit, tetapi masih mencuba.
“Dan katalah kerja tak habis juga, still, kita akan keluar pergi jalan-jalan juga. Saya tahu, awak nak suruh saya sekali-sekala ambil angin kan?”
“Ha, tahu pun. Asyik kuat kerja sahaja. Kesian saya tengok.” Senyuman kembali menawan wajahnya.
Aku menggeleng senang melihat ulahnya. Aku tahu dia mengajakku berjalan itu bukan kerana dia yang inginkan. Tetapi kerana aku sibuk dengan timbunan kerja dan projek, hingga hampir tidak punya masa merehatkan tubuh dan minda ke mana-mana.
Aku bangun. Perlu segera untuk ke tempat kerja.
I’ll pick the place, boleh?” Pertanyaannya menyelit sebelum aku berdiri sempurna.
“Baik sayang. Saya setuju. You pick the place, okay?”
Dia mengangguk perlahan.
Segera kujinjit briefcase di tepi kerusi kayu tempat dudukku, kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah kereta yang enjinnya telah siap kuhidupkan sebelum sarapan tadi. Aku memang telah siap dengan pakaian kerja setiap kali bersarapan pada hari-hari biasa. Memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa.
“Awak,” Suaranya kedengaran, membuatkan aku menoleh.
Segera dicapainya tanganku, dan menundukkan kepala menciumnya.
Kembang jiwa. Perasaan ini, setiap kali hendak bekerja, seakan-akan pembekal kekuatan yang berganda-ganda. Subhanallah. Sungguh, aku amat-amat menghargai perasaan ini. Kalaulah perasaan ini satu makhluk yang boleh kupegang, pasti kusimpan di dalam balang. Kalaulah perasaan ini sesuatu yang boleh dipandang, sudah pasti kurakam biar boleh selalu diulang tayang.
Take care. Jumpa nanti petang.” Aku menyentuh pipinya lembut dengan telapak tanganku.
“InsyaAllah, awak take care juga.” Matanya mendamai jiwa.
“InsyaAllah.” Sambil masuk ke kereta.
Dengan lafaz bismillah, aku memutarkan stereng dan menekan pedal minyak, menggerakkan keretaku separuh bulatan mengikut ruang yang ada di hadapan rumahku, sebelum bergerak lurus keluar dari halaman rumah.
Sempat aku melihat cermin pandang belakang.
Dia melambai.
Aku tersenyum senang.
******
Bunyi alat penghawa dingin ruang tamu menyulam suaraku membaca Al-Quran. Sambil bersandar pada sofa, tidak jauh dari tempat solatku tadi, aku memegang Al-Quran sederhana besar dengan tangan kanan.
Senggang masa antara Maghrib dan Isya’, kuisi dengan rutinan harian. 10 muka surat paling kurang, sehari. Itu aku disiplinkan buat diri ini. Antara makanan jiwa yang baik adalah Kalamullah sendiri. Membaca Al-Quran, sambil mentadabburnya, akan membuatkan jiwa dekat dengan Allah SWT dan menyedari kebesaranNya, keberadaanNya, kasih sayangNya, dan kecintaanNya.
Tambahan, aku perlu menjaga seseorang sekarang. Bukan semata-mata diriku lagi. Maka Al-Quran adalah antara sumber tenaga wajib yang mesti aku ambil untuk mengisi kekuatanku setiap hari.
Perlahan-lahan, sambil mulut masih mengalunkan Surah At-Taubah kegemaranku, mataku melirik ke arah dia yang khusyuk membaca Al-Quran di tempat solatnya tadi.
Tiba-tiba dia bangun, bergerak mendekatiku, kemudian duduk di hadapanku.
“Awak, tasmi’ bacaan saya, boleh?” Sambil dia menghulurkan mushafnya kepadaku.
Aku melihat wajahnya, kemudian merayap kepada Al-Quran yang disuakan.
Hatiku kembang. Ini bukan pertama kali, tetapi setiap kali ini berulang, aku rasa lapang. Senang. Ketika itu juga senyumanku muncul.
“Awak ni, sikit-sikit senyum sahaja. Dari awal kahwin macam itu.” Dia mengerutkan dahi sedikit.
Senyumanku melebar. Sebelah tangan menutup mushaf yang ada padaku, sambil sebelah lagi menyambut Al-Quran di tangannya.
“Senang hati, kita senyumlah.” Aku menjawab dengan senyuman yang masih berbunga.
“Ya? Ke awak ada nampak apa-apa yang tak kena pada saya? Dari awal-awal lagi saya sebenarnya tertanya-tanya.” Dia berwajah penuh persoalan. Senyuman pada bibirnya beriak mencungkil jawapan.
Itu hanya membuatkan senyumanku memekar.
“Saya senyum, sebab saya nampak awak ada depan saya la.”
“Itu jawapan ke?”
“Ha, sekarang ni nak cungkil rahsia, atau nak saya tasmi’ hafazan awak?”
“Yalah, dia tak nak kongsi dengan kita. Simpanlah rahsia awak tu. Ha, tasmi’ ya? Hafazan plus tajwid sekali tau. Check betul-betul.” Dia mendekatkan diri
“Baik, sayang.”
Suaranya mengambil alih ruang, bersulaman dengan bunyi penghawa dingin. Surah An-Nisa’ kedengaran menggetarkan gegendang telinga.
Aku menikmatinya. Dan rasa nikmat mendengar suara orang yang tercinta mengalunkan ayat-ayat Allah SWT itu membuatkan aku menutup mataku. Tidak menjadi masalah untuk memeriksa apa yang dibaca, memandangkan aku juga menghafalnya.
Sekali-sekala dia tersilap ayat, aku menegurnya. Adakala tajwidnya kurang tepat, aku membetulkannya.
Suasana ini, menyenangkan. Suasana ini, membahagiakan. Suasana ini, amat mengasyikkan.
Hinggalah dia menamatkan bacaannya. Aku membuka mataku semula. Memandang dia di hadapanku. Kalau bukan kerana aku tahu aku masih di dunia, aku sudah berkata bahawa aku sedang berada di dalam syurga.
“MasyaAllah,” Aku memuji Allah SWT. Apakah yang lebih indah dari yang aku sedang lalui ini?
“Banyak salahlah.” Dia bernada seperti kurang berpuas hati, sebelah tangan menggaru kepalanya yang aku yakin tidaklah gatal, sambil sebelah lagi mengambil semula mushafnya.
Still good lah. Boleh baiki dari masa ke semasa, insyaAllah.”
“Takut awak bosan tasmi’ saya selalu. Banyak salah, mesti bosan.”
Aku menggeleng. “Mana ada. Mana boleh bosan? Hidup kat dunia sekejap sahaja, kalau saya bosan dengan awak, habislah.”
“Kenapa? Apa kaitan dengan duduk dekat dunia?” Wajahnya kehairanan.
“Yalah. Sebab saya nak awak duduk dengan saya di syurga. Syurga selama-lamanya. Kalau di dunia yang sementara lagi sekejap ini saya dah bosan dengan awak, macam mana saya nak hidup selama-lamanya dengan awak di syurga?”
Ketika itu juga tawa kecilnya pecah. Tawanya kedengaran tulus muncul dari hati yang teramat senang. Segera diangkat tangannya yang tidak memegang mushaf untuk menutup sebahagian mulutnya. Adab orang yang ketawa agar nampak sopan.
Dan aku amat senang melihat kesenangannya. Ya Allah, kekalkanlah yang ini.
“Untunglah saya dapat suami macam awak.” Tangannya yang menutup mulut itu bergerak menepuk bahuku.
Aku menundukkan kepala sambil terus tersenyum. Tak berkata apa-apa. Tetapi di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Saya yang untung, dapat isteri macam awak.”
“Awak,”
Aku mengangkat kepala memandangnya semula. Senyuman kini menggantikan tawanya tadi.
“Terima kasih sebab sudi tasmi’ saya.” Lembut dia bersuara.
“Sama-sama kasih. Esok, awak tasmi’ saya pula ya?” Aku angkat kening sebelah, seakan menggesanya berjanji.
Dia tersenyum, mengangguk. “Promise.”
Senyumanku jadi tidak pudar. Puas hati. Dengan nikmat tidak terhingga yang Allah berikan ini.
Dia harus ada.
Semestinya.
******
Aku memandang skrin 43 inci desktopku yang melekat pada dinding. Pelbagai kertas kerja tersusun di atas meja. Jari jemari mengetuk irama yang tidak berseni. Sepenuh tumpuan kukerah. Minda  kuperah.
Come on, come on. Di dalam hati aku menggesa biar idea berbuah.
Aku adalah seorang CEO. CEO kepada syarikatku sendiri. Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd. Walaupun usiaku baru sahaja menjejak 23 tahun, Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd telah menjadi antara syarikat yang terkenal di Malaysia.
Menjejak umur 18 tahun, aku memulakan satu projek penulisan di alam maya. Lama-kelamaan, penulisanku diikuti ramai. Hingga akhirnya, ada syarikat penerbitan yang singgah dan menawarkan aku menjadi penulis. Dari situ, lebih ramai orang mula mengenaliku.
Aku tidak menerima semua itu begitu sahaja. Aku yang sememangnya bercita-cita besar semenjak kecil, melihat bahawa itu adalah peluang yang Allah SWT supaya aku bergerak lebih jauh lagi dalam menyebar luas agamaNya. Maka terus aku merangka sebuah rancangan.
Aku terus merangka satu projek jangka panjang. Cita-citaku adalah, aku mahu mempunyai sebuah syarikat yang besar, yang menguruskan hal-hal konsultansi, memprodus majalah islami, novel-novel islami, buku-buku motivasi islami, komik-komik islami, sekaligus merekrut penulis-penulis dan pelukis-pelukis yang mempunyai syakhsiah serta kefahaman islami. Tidak cukup dengan itu, kurangka juga agar syarikat itu mampu mempunyai kumpulan nasyid sendiri. Dan untuk satu jangka masa yang lebih panjang, aku yang ketika itu baru berusia pertengahan 18 tahun telah merangka agar semua penulis dan pelukis, termasuk penasyid di bawah syarikat itu, akan mampu menjadi ikon masyarakat, sekaligus menjadi fasilitator dalam program-program motivasi yang dijalankan syarikat.
Aku masih ingat, sekumpulan besar manusia mentertawakan aku tatkala aku meluahkan idea ini. Semuanya berkata bahawa ini adalah mimpi. Tambahan, ketika itu usiaku belum pun memasuki 20-an. Belum lagi menggerakkan semua itu, aku sudah mula mendapat tohmahan seperti berlagak, ego, dan sebagainya kerana dikatakan lemas dalam populariti sendiri.
Aku tidak berputus asa. Tetap berusaha menjadikan semuanya realiti yang berjalan di atas dunia. Akhirnya, pada awal umurku 19 tahun, aku berjaya mengumpulkan sekumpulan manusia untuk bergerak bersamaku. Mereka ini kugelar ‘sahabat’. Bersama mereka, aku bergerak dengan lebih efisyen, proaktif.
Mengharungi semua itu dalam keadaan aku merentas perjalanan sebagai seorang pelajar di universiti bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tambahan aku belajar di luar negara. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk dengan pelbagai ‘kenakalan remaja’, aku korbankan semua itu untuk fokus pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk bercakaran isu persatuan pelajar di tempat belajarku, aku sibukkan diriku pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku rakus merantau negara-negara berdekatan tempat belajarku, aku menghabiskan cutiku menyusun atur semua projekku.
Ketika itulah dugaan demi dugaan tiba. Cabaran yang banyaknya tidak terbilang. Aku mula melihat wajah sebenar kehidupan yang hakikatnya tidak senang. Beberapa kali usahaku seakan berhadapan kegagalan. Belum dikira waktu-waktu aku dicemuh dengan pelbagai tohmahan. Ujian demi ujian. Masalah pula bukan di sekitar projekku semata-mata, bahkan di sekitar kehidupan pelajar luar negaraku jua. Ada masalah dengan ahli rumah, ada masalah untuk studi dengan baik, kadangkala ada masalah kesihatan, dan belum lagi dibilang pula masalah-masalah mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan.
Aku menempuh semuanya sendirian.
Aku punya beberapa sahabat karib, tetapi mereka tidak mampu menjadi peringan kekal buat kehidupanku. Allah izin, mereka bukan rakan serumahku, dan bukan juga rakan seuniversitiku. Sahabat-sahabatku ini, hanya kadangkala sahaja mampu menziarahiku, meluang masa bersamaku. Saat bersama mereka, aku kuat. Semasa berjauhan daripada mereka, aku sedikit lemah.
Yalah, aku bukannya malaikat.
Dan pernah, saat ujian-ujian berat menimpa dan aku tidak tertahan dengannya, aku menangis sendirian. Derita itu tidak akan pernah kulupakan.
Tidak akan sesekali aku melupakan.
“Ya Allah, idea, idea.” Aku melekapkan dahi ke atas meja. Dahi menyentuh kertas kerja. Baru aku perasan aku telah jauh mengelamun. Teringat pula betapa terseksanya hidup pada saat itu semua.
Tiba-tiba aku terasa rambutku diramas. “Kuatnya dia kerja.” Dan suara lembut itu membuatkan aku mengangkat kepala semula, dan terus mendongak ke arah dia yang kini berada di sisiku. Senyumannya menghiasi tubir pandanganku.
“Kopi Radix?” Dia menghulurkan cawan dengan tangan kanan, sambil tangan kirinya kekal di rambutku.
Aku yang tadinya berkerut dahi menanti idea menghadirkan diri, ditambah dengan kenangan-kenangan pahit, tersenyum senang. Kusambut cawan itu dengan cermat, perlahan-lahan menghirupnya.
Ya Allah, seakan bebanan tadi terangkat begitu sahaja. Seakan-akan keperitan lalu itu langsung tidak pernah wujud.
“Projek baru?” Dia menyoal. Kini dia berada di belakang kerusiku. Dapat kurasa nafasnya menyentuh leherku. Walaupun mataku kini tertumpu pada skrin, aku dapat mengagak bahawa dia juga sedang memandang perkara yang sama. Aku mengangguk, sambil nescafe sekali lagi kuhirup.
“Awak ni, dari dulu lagi buat benda macam ini ya?”
“Em. Tapi dulu taklah se’havoc’ macam ini. Dulu kecil-kecilan sahaja. Sekarang betul-betul terjun jadi mainstream. Studi dah habis. So, benda ni la yang saya fokuskan habis-habisan.” Aku memberitahu.
“Yalah, siapa sangka awak boleh sampai macam hari ini. Tapi mesti ada bayarannya kan untuk capai apa yang awak capai hari ini?”
Aku mengangguk lagi. Kata-katanya membuatkan aku teringat kenanganku tadi. Baru sahaja teringat.
Kini, semua yang aku rangka itu telah menjadi realiti. Bahkan, dengan izin Allah SWT, semua itu menjadi realiti sebelum waktu yang aku jangkakan. Ada beberapa perkara tidak terjangka berlaku, mempermudahkan perjalananku. Walaupun selama ini menguruskannya di luar negara, tetapi sahabat-sahabatku yang bersama dalam projek ini menggerakkannya dengan penuh komited. Hingga apabila aku pulang, aku seakan-akan pulang untuk menuai hasilnya.
Sekarang aku tidak lagi menulis di bawah syarikat orang lain. Aku menulis di bawah syarikatku sendiri. Syarikatku menjadi penerbit buku-buku motivasi islami, novel-novel islami, komik-komik islami dan juga majalah islami. Penulis-penulis dan pelukis syarikatku terdiri daripada mereka yang amat berbakat, dan mempunyai satu matlamat yang sama denganku – ingin membawa manusia kembali menjadi hamba Allah SWT. Dan mereka ini telah menjalani kursus di bawah syarikatku, agar idea mereka lebih dinamik, terkehadapan, dan tidak sama seperti penulis kebanyakan. Wujud tamayyuz yang tersendiri, agar terbina satu arus yang amat kukuh tanpa mampu ditandingi.
Juga, kami baru sahaja mendapat kumpulan nasyid kami sendiri. Firwan namanya. Merupakan junior-junior sekolah menengahku. Mendengar pembentanganku, mereka berminat untuk menjadi kumpulan nasyid di bawah syarikatku. Kini mereka sedang meningkat naik dan diterima ramai.
Program-program motivasi di bawah syarikatku turut mendapat sambutan hangat. Aku juga telah berjaya menubuhkan Kelab Awan Keimanan, yang mempunyai ahli dalam bilangan melebihi ribuan. Angka-angka visitors di laman mayaku selama ini telah berjaya direalitikan.
Kini, aku sedang merangka projek untuk meluaskan lagi syarikatku agar mampu menembusi medan baru. Mereka filem, drama, dan animasi islami. Untuk benar-benar membumikan satu rangkaian bisnes yang didominasi oleh manusia-manusia yang mempunyai fikrah islami. Sekaligus, menyebar luas amanah Allah, dan mengislah manusia-manusia di atas muka bumi.
“Semuanya dengan izin Allah SWT. Dengan doa-doa awak juga.” Aku cuba memandangnya, tetapi leherku tidak sampai. Dia perlahan-lahan memanjangkan lehernya, biar kepalanya di sisiku. Kemudian wajah kami bertentangan, dan dia tersenyum kepadaku.
“Kita baru jumpa tahun lepas ya. Sejak bila pula doa saya boleh masuk dalam saham ni?” Dia tertawa.
Aiseh. Kantoi terlebih gula.
Ya. Kami baru bertemu. Sedang sebelum ini tidak berkenalan pun.
“Tapi still, awak ada saham juga dalam semua ini.” Senyumanku terukir juga. Teringat lagi satu peristiwa, sambil wajahku kembali menghadap skrin.
Aku menghela nafas. Ketika ini aku rasa lapang yang teramat, dan kepalaku menjadi ringan. Tiba-tiba aku seakan terlihat sesuatu. Seakan-akan penghadang yang menyekat telah terangkat. Idea tiba!
“Ha, dapat idea la tu.” Dia bersuara. Mungkin melihat reaksiku yang segera. Tetapi aku tidak sempat hendak menjawabnya. Takut ideaku hilang begitu sahaja. Segera kuletakkan cawan di atas meja. Terus menekan-nekan papan kekunci, menaip idea-idea yang baru hadir daripada Ilahi.
“Alhamdulillah.” Aku melarikan cursor pada ikon disket biru. Bila selesai semuanya, dan melakukan pemeriksaan semula agar pasti yang projek tadi sudah tersimpan kemas, aku memusingkan kerusi.
Aku dapat melihat wajahnya yang dihiasi senyuman.
“Terima kasih, awak.”
“Hihi, apalah yang nak diterima kasihkannya kepada saya ni? Saya buat kopi Radix je pun.”
“Terima kasih sebab awak ada di sisi saya.”
“Ala, kut la sumbangkan idea ke, baru nampak macam saya ni berhak kepada terima kasih itu.”
Aku diam dan tidak lagi menyambung kata. Hanya senyumanku sahaja yang kekal pada muka. Aku tahu, kalau aku berbicara lagi, dia hanya tidak akan mengalah untuk merendahkan diri. Di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Tapi betul, Allah berikan idea itu bila saya teringat sesuatu yang berkaitan dengan awak.”
“So, esok jadi ya?” Tiba-tiba dia bertanya, keluar dari topik ketika.
“Jalan-jalan?” Aku meneka. Sebab esok memang harinya.
“Em.” Dia mengangguk.
“InsyaAllah. Kerja dah selesai. Betul-betul free. Awak dah pilih tempat? Di mana?”
“Aaaaa, rahsia. Esok, awak ikut sahaja. Saya drive.” Dia mengenyitkan sebelah mata.
Tawa kecilku muncul melihat ulahnya. Macam-macam.
******
Unexpected.” Terlafaz keluar daripada bibirku.
Angin mendodoi damai tubuh. Dia yang setia di sisi memaut lenganku. Bunyi ombak menghiasi suasana.
“Ummi kata, awak dulu masa kecil-kecil paling suka pergi sini. Tapi lepas pindah, Ummi dan Abah tak pernah sempat bawa awak datang sini lagi. Kemudian awak besar, masuk asrama, Ummi Abah sibuk, tambah lepas itu awak pergi overseas, then awak sibuk dengan projek itu ini, sampailah sekalipun awak tak pernah dapat datang sini.”
Ini tempat di mana Abah selalu membawaku sewaktu kecilku dahulu. Dengan motor bujangnya, Abah akan membawaku mengambil angin di pantai ini dahulu. Keadaan di sini walaupun sudah berubah banyak, tetapi masih terdapat beberapa petanda bahawa inilah tempat yang menyimpan kenangan, sebelum aku membesar menjadi aku.
“Eh, awak tak suka ke?” Tiba-tiba pertanyaan itu menyentuh gegendangku. Membuatkan aku menoleh ke arahnya. Wajahnya seakan cemas.
“Kenapa tanya macam itu?” Aku kehairanan.
“Kenapa awak menangis?” Segera tangannya naik menyentuh pipi. Baru aku perasan, ada cecair yang mula menuruni. Baru aku sedar yang pandanganku kabur. MasyaAllah.
Aku terus duduk bersila di tempat aku berdiri. Tidak kuhirau pasir pantai mengotori jeans. Dia turut sama duduk di sisi.
“Awak tahu, bila akhir waktu saya ingat bahawa saya normal?”
Dia diam. Seakan memberi ruang aku menjawab sendiri persoalan itu. Sebab dia semestinya tidak tahu.
“Ketika saya terkenangkan Abah bawa saya ke pantai ini, ambil angin dengan motor bujang dia.” Aku menjawab persoalanku tadi.
Bau pantai ini, anginnya, suasananya, semuanya membuatkan aku seperti mampu melihat semula dengan jelas suasana indah itu.
“Saat saya berhempas pulas mengharungi hidup yang penuh dugaan dan cabaran, menggalas idea-idea yang bombastik, hidup tidak seperti orang lain, rasa-rasa bahawa diri itu amat terasing daripada kebiasaan orang lain, saya akan teringat suasana di tempat ini ketika Abah bawa saya ke mari dengan motor.”
“Jadi, sekarang awak terubat bila saya bawa ke mari?” Dia bertanya.
Aku menggeleng. Dan senyuman mengoyak bibir. Aku memandang dia yang berada di sisi.
“Saya sudah terselamat dari keterasingan itu, dari kelemahan itu, semenjak awak ada dalam kehidupan saya.”
Ikhlas. Jujur.
Aku pernah menyangka bahawa aku tidak akan bahagia sebenar-benarnya. Aku pernah menyangka bahawa satu waktu aku akan tewas bila kehabisan tenaga. Membawa sesuatu yang besar, hendak merealisasikan sesuatu yang semua orang kata mustahil untuk direalitikan pada usia muda, melawan arus kebiasaan dunia, dalam keadaan tidak pula ramai yang menyokong, aku fikir aku akan kehausan dan jatuh tak bermaya. Tinggal aku hanya percaya, bahawa Allah tidak akan meninggalkanku. Itu sahaja yang aku ada. Percaya. Dan aku sebenarnya menghitung hari, bilakah percayaku itu akan hilang akhirnya.
Tetapi sampai satu saat, dia muncul.
Hadir.
“Kenalkan, ini anak saya.” Doktor Umar memperkenalkan gadis manis bertudung labuh di sisinya.
Aku terangkat kening. Kenapa pula dibawanya ke dinner ini? Aku bangkit mempersilakan mereka duduk. Menghormati. Doktor Umar adalah seorang doktor yang sering kujumpai apabila berhadapan dengan keserabutan hidupku. Aku adalah seorang yang amat menjaga diriku. Aku ada kerisauan bahawa aku akan menjadi gila sekiranya tidak betul-betul menjaga diriku dalam dugaan hidup yang menggila. Maka Doktor Umar adalah yang akan sentiasa memberikan nasihat, selain memeriksa kesihatanku.
“Kahwinlah dengan dia.”
Aku macam hendak tersembur air yang sedang kuhirup apabila mendengar kata-kata Doktor Umar. Serius?
“Ubat untuk orang macam enta ni, kahwin. Tambahan, ana pun tengah cari seseorang untuk jadi suami anak ana ni. Umur muda lagi, tapi duk sibuk suruh ayah dia carikan seseorang. Nak kahwin awal.”
Aku memandang perempuan di sisi Doktor Umar. Nama pun aku tak kenal. Kahwin?
Perempuan itu menunduk sahaja.
“Ana bukan nak promosi anak ana. Tapi ana rasa, dia harus ada di sisi enta. Untuk diri dia, dan untuk diri enta juga.” Doktor Umar tersenyum. “Enta pun tahu, ana kenal enta macam ayah enta kenal enta juga. Ana ayah enta juga kan?”
Aku tersengih. Benar. Doktor Umar sangat baik denganku. Perlahan-lahan aku memandang perempuan itu semula.
Hei, cakaplah something. Er.. takkan nak cakap camtu kut? Aku mati bicara.
Tiba-tiba dia mengangkat wajahnya. Aku memandang betul-betul.
“Kahwinlah dengan saya. Saya usaha buat awak bahagia, dan moga-moga Allah jadikan saya peringan beban kehidupan awak juga.” Bicaranya malu, tetapi ada keyakinan di dalam dirinya. “Ayah kenal awak dan selalu cerita fasal awak. Saya yakin, pilihan ayah tepat, insyaAllah.”
Mataku membesar.
MasyaAllah.
Allahuakbar!
Dan ekspresi wajahnya ketika itu, sampai bila-bila tidak akan mampu kulupakan.
Dan lebih tidak mampu kulupakan adalah, perasaan hatiku ketika itu.
“Kau harus ada di sisiku.”
Ketika itu jugalah segalanya seakan menjadi semakin ringan. Hatta makan juga bahagia. Bersembang juga bahagia. Segala-galanya bahagia. Hati sentiasa lapang. Jiwa sentiasa senang. Bahkan segala kesusahan dan kesukaran, semuanya seperti kapas yang berterbangan.
“Bila saya bangun pagi dan awak ada di sisi, saya ada perasaan yang tidak dapat digambarkan. Saya masih ingat hari-hari saya berhempas pulas mendisiplinkan diri agar menjaga Subuh dalam keadaan rakan-rakan serumah tidak berapa peduli. Awak di sisi membuatkan saya rasa selamat.”
Dia menunduk. Wajahnya mula memerah.
“Begitulah juga bila kita makan bersama, bila kita baca Al-Quran bersama, bila kita solat bersama, bila kita qiam bersama, bila kita pergi program-program bersama, saya rasa macam lebih sempurna, lebih kuat, lebih bertenaga. Saya tidak dapat gambarkan perasaan-perasaan pada semua keadaan itu. Awak seakan-akan saya punya guardian angel. Buat saya lebih bersemangat untuk tingkatkan diri, dan rasa tidak letih untuk berusaha lagi. Entahlah.” Aku meluahkan perasaan sebenarku.
Dia kembali menatap wajahku. Mata kami bertemu.
“Apatah lagi saat-saat yang saya sepatutnya tertekan dengan lambakan kerja, waktu-waktu saya tersekat daripada idea, dan awak ada di sisi, seakan-akan Allah memudahkan segala-gala. Saya macam terselamat.”
“Awak ni, lebih-lebih sangat gula ni.” Dia menyentuh kembali pipiku.
Aku memegang tangannya itu. Kemudian menggeleng perlahan.
“Sebab itu, saya sentiasa tersenyum.”
“Oh, itu jawapannya?”
Aku mengukir senyuman semanis mungkin.
“Sebab awak memang harus ada dalam kehidupan saya. Awak adalah kepingan yang menyempurnakan ‘puzzle’ kehidupan saya, yang selama ini saya tidak punya. Awak harus ada di sisi saya, berada di sebelah saya. Allah menjawab doa saya selama ini, dengan wujudnya awak di sini.”
Dia diam. Bunyi ombak mengisi suasana.
Sorry, speechless.” Dan akhirnya dia yang memecahkannya selepas beberapa ketika.
Aku tersenyum sahaja. Kemudian melepaskan pandangan ke horizon. Menikmati suasana.
By the way awak, saya ada sampaikan hadiah untuk awak sebenarnya.” Dia menyambung kata.
Aku memandangnya semula. Hadiah?
“Awak sahaja sudah cukup untuk saya. Apa perlunya hadiah? Awak hadiah terbesar Allah buat saya. Susah-susah sahaja.”
“Em, saya rasa, Allah just nak bagi awak hadiah berganda kut. Sebab hadiah yang ni pun bukan hak milik saya sebenarnya. Saya kan kata saya nak sampaikan sahaja.”
Aku mengerutkan dahi. Hadiah apa? Macam berbelit-belit pula penerangannya.
“Hadiah apa tu?”
Dia tersenyum. Perlahan-lahan tangannya membawa tanganku menyentuh perutnya.
“Saya mengandung, dua bulan.”
Mataku membesar.
“Mungkin Allah nak awak lebih bahagia dari bahagia yang awak dah rasa dengan kehadiran saya?” Dia angkat kening dua kali.
Aku segera merebahkan diri dalam posisi sujud kepada Allah SWT.
Menangis syukur.
Daripada dia, datang lagi hadiah daripadaNya.
MasyaAllah, MasyaAllah, MasyaAllah.
Ya Allah, bagaimanakah hambaMu ini mampu mendustakan nikmat-nikmatMu?
Sungguh kalau dihitung semua, tidak terkira harganya.
MasyaAllah.
******
Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia penuh pancaroba. Sedangkan Adam yang berada di tempat terindah ciptaan Tuhan memerlukan Hawwa, apatah lagi aku yang di tengah cabaran dunia yang menggila.
Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia yang penuh dengan duga. Sedangkan Adam juga gembira dan rasa sempurna tatkala Allah hadirkan untuknya Hawwa, apatah aku yang selama ini sendirian di tengah badai dunia.
Dia nyata harus ada di sisi. Kerna aku memerlukannya untuk menyempurnakan diri ini. Menemani. Buat aku terisi. Menguatkan aku.
Dan bersamaku bergerak ke arah Ilahi.