BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 2, 2011

sahabat,bercita citalah menjejaki syurga.....

Keindahan syurga, ia melebihi segala-galanya
Sahabat, bercita-citalah menjejaki Syurga
Oleh : BroHamzah
Ada saya syair arab yang benar-benar memikat hati saya :
Jadilah kamu orang yang kakinya berada dibumi
Tetapi cita-citanya ada dibintang kejora.


Bintang kejora, perumpamaan yang sangat cantik. Satu bintang, yang jauh tinggi melangit. Satu gambaran untuk memberikan satu galakan bahawa kita harus bercita-cita tinggi semampu yang boleh.
Bercita-cita tinggi, bersemangat waja dan bergelora tekad dalam jiwa adalah kalimat-kalimat yang membangkitkan perasaan dan sanubari saya. Entah mengapa, saya sukakan motivasi-motivasi yang membara dan sentiasa menghangatkan setiap relung dalaman di dada.
Sebagai mukmin, kita harus memiliki cita-cita, impian dan hasrat keinginan yang tertinggi. Saya terbaca sebuah kisah ringkas dalam buku yang dikarang oleh Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, Uluwwul Himmah berkaitan cita-cita yang tinggi.
Pada suatu hari seseorang berkata kepada al-Attabi, “ Si Fulan itu sangat jauh cita-citanya.” Maka ia menjawab : “ Kalau begitu target dan cita-cita akhirnya pasti syurga.”

Cita-cita termulia, tertinggi dan terhebat.


Itulah Syurga.
Pernah kah anda terbayangkannya?
Memejam mata, lalu mengimaginasikan segala keadaan, rupa bentuk, suasana dan segala hal-hal yang berkaitan dengannya?
Keindahannya, keseronokannya, perayaannya, kecantikan bidadarinya, kenikmatan makanan dan minumanya, dan pelbagai imaginasi lain yang tidak terjangkau imaginasi manusia.
Pendek kata, setiap sesuatu yang terdapat di syurga tidak terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas dalam fikiran manusia.
MasyaAllah.
Anda semua? Tidak berhajatkah atau berkeinginan untuk memasuki syurga? Pernahkah kita meletakan cita-cita dalam hayat ini yang teratas itu adalah menjejaki kaki ke syurga? Apakah usaha-usaha yang telah kita lakukan untuk mendapat darjat sedemikian rupa?
Satu ungkapan yang sangat saya suka :

“ Orang berhimmah (bersemangat) tidak pernah puas kecuali dengan Syurga.”


Inilah cita-cita yang termulia, terhormat, tertinggi, terhebat dan teragung. Sesungguhnya orang yang bercita-cita besar tidak menganggap penting sesuatu yang fana’, tidak gemar kepada kehidupan yang bersifat sementara, dan tidak tertarik pada kemewahan dunia.
Segala kesenangan, kelazatan dan kenikmatan yang ada didunia ini hanya bersifat sementara baginya. Sedangkan kesenangan, kelazatan dan kenikmatan yang hakiki, sejati dan abadi itu ada di syurga nanti.
Pada suatu hari Imam Ahmad ditanya oleh seorang temannya,”
“ Bilakah seorang hamba itu mendapat kesenangan?,”
Beliau menjawab :
“ Ketika dia menapakan kakinya di Syurga.”
Cita-cita ini adalah cita-cita yang abadi. Ia akan terus terbang di langit keluhuran dan tidak akan hinggap kecuali di puncak ketinggian yang akhir di alam abadi.
Cita-citanya sangat tinggi, sempurna, jernih, luhur dan bersih. Ia tidak mengenal rasa lelah, susah payah, bingung, sedih dan gelisah.
Cita-citanya adalah laksana cahaya yang selalu berkilauan, taman bunga yang harum semerbak mewangi, istana yang indah perhiasan, isteri yang menawan kecantikannya dan perhiasaan yang indah ditempat yang abadi penuh kebahagiaan.
Hanya di sanalah mata terasa nyaman, jiwa terasa tenang dan hati terasa damai. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah darinya.”
( Al-Kahfi (18) : 107-108)
Syurga adalah tanah air bagi jiwa-jiwa yang bersih, lagi jernih. Tanah air bagi mereka-mereka yang bersemangat kental dan ruh pejuang yang benar-benar berhajatkan sesuatu yang benar-benar berharga, tinggi dan sangat bernilai untuk diri mereka.

Jalan ke syurga, bukan dihampari permaidani merah



“ Jalan menuju syurga dipenuhi dengan hal-hal yang tidak disukai, dan jalan-jalan menuju ke neraka dipenuhi dengan keinginan nafsu syahwat.”


Ramai kita, memasang cita-cita untuk menjejaki syurga.
Jika ditanya, adakah kita layak untuk syurga. Ada tanpa segan silu menjawab :
“ Boleh kot.”
Syurga -untuk memiliki, memasuki dan menjejakinya ada nilai dan harganya. Bukan sekadar angan-angan kosong dan cakap-cakap biasa-biasa tanpa amalan yang nyata.
Membaca dan meneliti sirah Rasulullah SAW, para sahabat RA, para tabin dan ulama yang soleh lagi wara’ dalam mengejar syurga dengan amalan soleh dan jihad perjuangan yang luar biasa – membuatkan diri ini terasa kekerdilan dan sesungguhnya kita semua masih jauh daripada bayangan syurga!
Lantaran itu, marilah kita melorongkan segala kemahuan, kehendak, cita-cita, perancangan, fokus kehidupan dan segala-galanya kepada matlamat yang mulia ini. – Syurga Allah SWT , dan keredhaan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.”
( Al-Isra’ (17) : 19)


Dan ketahuilah, tatkala memilih untuk berada dalam jalan ini – ketahuilah wahai teman-teman, sahabat-sahabat yang budiman- jalan ini adalah jalan yang dipenuhi duri-duri tajam yang akan menusuk kakimu di sepanjang perjalanan menuju destinasi akhir hayat mu.
Saat, tertusuk dan terluka maka, lembutkan hatimu dengan kalam-kalam, mutiara nasihat dan peringatan para ulama yang soleh, wara dan tawadhuk  ini.
Sufyan bin Uyainah mengatakan : “ Tempuhilah jalan kebenaran, dan jangalah merasa kesepian oleh sedikitnya orang yang berpihak kepadamu.”


Seorang yang soleh berkata : “ Kesendirianmu dalam setia meniti kebenaran, adalah bukti bahawa kamu benar-benar serius menitinya.”


Amir Syamsul Ma’ali Qabus berkata : “ Membangun biografi yang manis itu harus dengan bersusah payah. Dan melakarkan kenangan yang indah itu harus dengan berusaha keras.”


Amr bin al-Ash radhiyallahu’amhu berkata : “ Kalian harus bercita-cita meraih hal-hal yang besar, bukan hal-hal yang kecil.”


Saya akhiri perkongsian kali ini dengan sebuah syair Arab yang sangat menyentuh hati saya.

Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi
“ Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil.”

tips membangkitkan motivasi himmah...

Bersemangat waja dan penuh motivasi, ia bermula dengan diri kita.

Tips Membangkitkan Motivasi Himmah
Oleh : BroHamzah
Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.
Saya benar-benar rasa bersyukur kepada Allah SWT di atas segala kurniaan-Nya, pemberian-Nya dan anugerah-Nya kepada saya. Dan harapan saya agar anda juga begitu.
Sentiasa bersemangat waja
Penuh keceriaan di wajah
Kelihatan sinar kesungguhan memancar di pandangan mata
Tampak kecerdasan dan kecergasan yang luar biasa pada diri
Dan, yang terpenting ialah jiwa anda sentiasa disimbahi dengan himmah yang tinggi


Apabila berbicara soal himmah, semangat, keazaman dan cita-cita yang menggunung – ia adalah berkait rapat dengan soal kejiwaan, perasaan dan ruh dalaman manusia. Lantas itulah, bagi saya sebagai manusia – kita harus meniti beratkan soal kekuatan jiwa, hati, sanubari dan perasaan dalaman kita dengan hakikat kekuatan yang sebenarnya.
Sebagai muqadimmah kepada artikel perkongsian hari ini, saya teringatkan satu kata-kata Murabbi saya tentang hakikat kekuatan mukmin.
Apa katanya? – Ia sangat mengesani jiwa dan perasaan saya.
Bicaranya menyapa lembut relung-relung jiwa saya :
“ Kekuatan sebenar seorang mukmin ialah apabila ia bersandar sepenuhnya segalanya kepada Allah SWT ; Menjadikannya manusia yang tidak kenal erti putus asa dan kecewa, tidak takutkan cabaran dan kegagalan. Disebalik semua inilah ketenangan, kebahagiaan, kepasrahan, lapang dada, kepuasan dan kemanisan hidup dan iman yang sebenarnya.”
Saya merenungi dan mengkoreksi diri, adakah sehingga kini saya benar-benar berada dalam lingkungan insan  yang menyerahkan segala sandaran sepenuhnya kepada Allah SWT?Ia benar-benar memberikan satu ungkapan nasihat yang menyegarkan jiwa dan memperbaharui ruh keinsanan saya agar sentiasa membulatkan segala aspek kehidupan yang dilalui kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Tips untuk sentiasa bersemangat


Ada yang bertanya?
Macamana ya hendak sentiasa bersemangat?
Bagaimana hendak memotivasikan diri agar sentiasa berjiwa cekal dan tabah?
Apa rahsia untuk terus ‘maintain” dengan perasaan yang berkobar-kobar?
Dan, banyak lagi persoalan yang diutarakan.
Saya simpulkan bahawa, ini adalah satu petanda dan petunjuk yang baik. Ramai yang sebenarnya berhajatkan kepada suasana yang sentiasa segar, bersemangat yang membara, kemahuan yang tinggi memuncak dan sentiasa bersungguh dalam beramal.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Bagus sangat-sangat. Saya sendiri sentiasa mencari tips-tips, rahsia, kaedah-kaedah dan cara untuk meningkatkan perasaan semangat dalam diri dan juga motivasi kendiri. Melalui pembacaan, perkongsian pengalaman, mengutip mutiara bicara mereka yang lebih berusia, perbincangan hati ke hati, dan melalui kajian secara langsung dan tidak langsung.
Ayuh kita lihat bagaimana cara untuk meningkatkan motivasi, himmah, semangat dan kemahuan yang keras terhadap cita-cita, impian dan hajat di dalam kehidupan.

(1) Menjalani kehidupan bersemangat seperti Rasulullah SAW
Bagi saya, tiada insan yang lebih utama untuk diqudwahkan melainkan baginda Rasulullah SAW. Bagi adalah manusia yang sangat tinggi motivasinya, berhimmah tinggi, berpandangan jauh serta berwawasan dalam kehidupannya.
Jika anda ingin bersemangat, sentiasa bersungguh dan jiwa yang benar-benar membara. Tidak perlu gusar dan bimbang. Ambil tips pertama ini sebagai panduan utama. Jadikan Rasulullah sebagai mentor anda.
Lihatlah cara Rasulullah SAW menjalani kehidupan. Setiap pagi Rasulullah SAW memulakan pagi baginda dengan Solat Tahajud, membaca Al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa. MasyaAllah – inilah titik mula kehidupan yang terbaik dalam kehidupan manusia.
Bersih hati dan jiwa. InsyaAllah – jiwa kita akan bangkit keharumannya, kesegarannya dan keindahannya. Putih, bersih dan jernih. Dan – inilah rahsia kekuatan himmah yang tersembunyi zaman berzaman. Rahsia terletak pada hati.
(2) Banyak membaca karya-karya, buku-buku, tulisan-tulisan dan bingkisan yang membangkitkan ruh motivas & himmah
Membaca. Membaca. Membaca
Perkara ini  adalah prasayarat dan kata kunci yang tidak boleh diabaikan langsung. Sangat-sangat penting. Biasakan diri membaca, dan jadikan membaca sebahagian daripada agenda kehidupan harian.
Anda boleh menatap dan mengambil pelbagai inspirasi daripada pelbagai buku yang ada. Pilihlah penulis-penulis yang berkaliber, wara’, profesional dan muktabar untuk dibaca segala tulisan mereka.
Anda tahu? Sepanjang kehidupan saya, buku-bukulah yang menjadi peneman dalam mengharungi kehidupan. Saat kecundang, hadirlah buku yang menyuntik semangat untuk bangkit semula. Saat dirundung keresahan yang mencengkam perasaan, buku  adalah salah satu wadah yang terbaik untuk meleraikan segala kekusutan.
Dan – buku yang terbaik bagi saya ialah : Al-Quranul Karim. Kitab Motivasi terulung, dulu – kini – dan selamanya.
Al-Quran ia adalah penawar yang menyejukan jiwa yang yang lara, menyembuhkan segala penyakit kebusukan akibat penyakit hati yang merbahaya dan memberikan suntikan kekuatan yang sangat luar biasa.Wajibkanlah diri anda untuk membaca, menatap, memahami dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran. Lakukanlah ia secara konsisten, percayalah anda akan merasa sesuatu yang sangat mengujakan!
Selain itu, buku-buku yang bagi saya yang meninggalkan impak yang besar kepada proses kejiwaan dan kemahuan saya ialah hasil karya ulama muktabar yang hebat, soleh lagi warak. Antaranya ialah buku La Tahzan, karya Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, buku Uluwwul Himmah – karya Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, Al-Muthalaq karya Syeikh Muhammad Ahmad Rasyid dan banyak lagi.
Tambah lagi, anda boleh membaca tulisan artikel, bingkisan motivasi, perkongsian motivasi daripada blog-blog motivasi, website motivator dalam negara mahupun luar negara dan mengikuti siaran motivasi yang bermanfaat daripada siaran radio atau televisyen. Saya percaya, ia akan memberikan pengaruh yang tersendiri kepada anda.
3) Mendengar dan menghayati laungan nasyid dan muzik Islamik yang membangkit semangat!
Saya pernah bersembang dengan seorang sahabat saya tentang soal bersemangat. Beliau sangat cergas, proaktif, dan kata-katanya sentiasa penuh dengan semangat. Saya bertanya, pernahkan dia down, lemah, dan keletihan?
Katanya : “ Sudah tentu, kitakan manusia”
Jadi, saya soalnya balik bagaimana beliau bangkitkan semula semangatnya?
Satu yang menarik hati saya, beliau menjawab :
“ Ana akan mendengar nasyid-nasyid yang bersemangat. Selalunya Shoutul Harokah!”
Saya terfikir. Ya, alunan muzik dan nasyid turut membantu dalam soal ini. Prof Dr Yusof al-Qardawi dalam karyanya, Seni dan Hiburan Dalam Islam telah menyatakan bahawa :
“ Tidak ada masalah mengenai nyayian kecuali hanya kebaikan dunia yang dinikmati oleh jiwa dan dianggap baik oleh akal dan fitrah serta disenangi oleh telinga. Ia merupakan kelazatan telinga, sebagaimana makanan yang enak itu kelazatan bagi lidah, pemandangan  yang indah itu kelazatan bagi mata dan seterusnya.”
Ya penting, lagu-lagu itu menepati syara, tidak melalaikan dan memberikan satu kemanfaatan yang buat si pendengar. Anda juga pastinya meminati lagu-lagu dan nasyid kan?
Saya, apabila lemah atau lesu – saya suka memasang lagu-lagu penuh semangat daripada kumpulan Shoutul Harokah. Anda kenal kumpulan ini? Satu kumpul nasyid daripada seberang. Setiap kali mendengar lagu-lagu mereka – hati saya terbangkit dengan sendiri dan rasa satu aura yang menyuntik jiwa.
Perkongsian Ini
Inilah sebahagian tips untuk kali ini. Dan saya kongsikannya kerana inilah yang selalu saya amalkan dan laksanakan sehingga kini. Saya suka sekiranya, kita boleh kongsikan ia secara terbuka. Anda boleh nyatakan, bagaimana anda mengembalikan semangat dan motivasi diri sepanjang kehidupan ini. Dan boleh juga kongsikan cara – masing-masing – dalam memelihara semangat dan motivasi diri yang positif. InsyaAllah
Harapan saya, agar kita semua sentiasa ceria, bersungguh, dipenuhi kemahuan yang membara dan berhimmah dalam menghadapi kehidupan ini.
Salam penuh himmah!

meraih himmah melalui terminal penyucian hati

Air yang jernih – ia suci dan menyuci. Mengalir menuruni bukit dari satu tahap ke satu tahap. Terminal penyucian hati kita turut melalui stesen-stesen pembersihannya. Sedarkah kita akan hakikat ini?
Meraih Himmah Melalui Terminal Penyucian Hati
Oleh : BroHamzah
Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdullilah.
Minggu lepas, setelah bercuti dalam tempoh yang agak panjang – alhamdulillah- saya diberikan kesempatan, peluang dan ruang untuk meneruskan liqo’ (pertemuan) mingguan saya bersama murabbi dan sahabat-sahabat yang saya kasihi. Benar-benar terasa kerinduan akan suasana yang mendidik hati dan membangkitkan keimanan kepada Allah SWT.
Inilah anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada saya. Biah solehah ( suasana yang baik) yang menyuburkan keimanan dan menyemai rasa perhambaan kepada Allah SWT. Benar, kecintaan kepada keimanan adalah anugerah pemberian Allah SWT yang sangat mulia, berharga dan tinggi darjatnya. Ia membuatkan jiwa dan hati kita benar-benar terasa akan keindahan, kebahagiaan dan ketenteraman bersamanya.
Malam itu, murabbi saya memulakan pertemuan kami dengan muqaddimah yang menyuntik perasaan saya :
“ Pada malam ini, ana ingin mengajak semua sahabat-sahabat untuk kita melihat suatu perkara yang tidak boleh sama sekali kita abaikan dan pandang remeh. – Tazkiyatun Naf ( Penyucian Jiwa) adalah satu tuntutan kepada kita. Ia sangat-sangat penting untuk mengelak kelesuan ruh.” [1]
Malam itu – tanpa jemu, bosan dan alpa- murabbi saya  menyentuh soal Tazkiyatun Nafs. ( Penyucian Jiwa). Katanya, Tazkiyatun Nafs adalah satu tuntutan yang mesti berlaku prosesnya dalam kehidupan muslim. Seringkali, aspek ini diabaikan dan diremeh-remehkan sehingga membawa kepada kelesuan ruh.
Ya.Hati gersang, kosong dan benar-benar kering. Mungkin, kita aktif dan komited dengan kehadiran dalam program tetapi proses pendidikan, penyucian dan pembersihan hati tidak berlaku. Inilah adalah penyelewengan dan satu kesalahan yang besar bagi seorang yang bergelar mukmin muslim. Malah, ia akan menyebabkan satu penyakit yang sangat barah dan parah bagi hati. Tanpanya, kita bimbang – kita akan dihinggapi dan dijangkit penyakit dosa dan maksiat tanpa sedar.
Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur- nasihat, tazkirah dan penyampaian itu sangat tepat dan kena pada masanya.
Ia seolah-olah seperti hembusan ketenangan daripada langit yang menguatkan hati, membangkitkan perasaan himmah dan meneguhkan keazaman diri.
Manfaat buat kita semua
Kita lihat dan perhatikan hal ini dengan bersungguh-sungguh tanpa alpa dan lupa. Tanpa berlengah dan kalah. Melihat amal kita untuk disuburkan dan dikembangkan untuk keredhaan-Nya. Teringat kata-kata Majdi al-Hilali :
“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN & NAFSU.”
Justeru bagaimanakah kita peka, sensitif dan mengambil cakna akan hakikat ini? Saat ini, kita kembali kepada proses Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan  semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.
Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajud, amalan-amalan wirid al-Mathurat, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Semalam, murabbi berpesan :
“ Jadikanlah Zikir al-Mathurat sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”
Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah. Oh ya, saya teringatkan perkongsian saya berkaitan syurga pada minggu lepas berkaitan syurga.
Syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ahli syurga – bersih dan suci
Justeru, saya ada sebutkan berkaitan terminal penyucian hati – ia umpama stesen atau persinggahan untuk kita bersihkan diri daripada dosa dan maksiat yang seringkali kita lakukan berulang-ulang kali.
Dalam buku, Hati Sebening Mata Air – karya Amru Khalid, ia menjelaskan bahawa syurga diciptakan untuk mereka yang benar-benar bersih hatinya, tiada perasaan busuk hati, perasaan dendam dan dengki dengan orang lain. Bahkan, setiap penghuni syurga harus benar-benar suci dari dosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” [2]
Anda boleh semak ayat ini di dalam mushaf Al-Quran, cuba perhatikan dengan teliti satu perkara dalam ayat ini iaitu dhibtum طبتم artinya kalian disucikan dari maksiat dan dosa. Mafhumnya, syarat untuk menghuni dan menjejaki syurga adalah , kita harus baik lagi suci, suci dari dosa – sehingga tidak memiliki dosa, meskipun sebiji dzarrah pun.
MasyaAllah! – Bayangkan diri kita, hati kita, dosa-dosa masa silam, maksiat hari ini, kekotoran hati, kejijikan pada jiwa akibatnya dan kerosakan yang telah berlaku kepada fitrah kesucian kita. Justeru, bagaimana ini terjadi? Sementara kita semua berdosa dan bermaksiat? Apakah nanti, tidak aka nada yang memasuki syurga?
Bukan begitu, malah ramai yang menjejaki dan dimasukan syurga tanpa azab. Cuma, ingin dibawakan di sini – bahawa syurga hanya akan dihuni oleh insan, hamba Allah dan manusia yang benar-benar suci. Kerana itu, Maha Suci Allah SWT – yang menjadikan sebelas terminal penyucian. Ia adalah medium dan media menyucikan diri untuk menghuni syurga : 4 di dunia, tiga di alam kubur dan 4 di akhirat. Ingat 4 – 3 – 4 !

Terminal-terminal Penyucian
Sebelum saya berkongsikan tentang perkara ini, harus difahami dan diyakini bahawa – sebagai insan kita – bahawa kita akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Untuk meraih rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya : kita harus melakukan, melaksanakan dan berusaha membersihkan hati, menjernihkan sanubari dan memperbaharui keputihan jiwa sendiri. Caranya, bagaimana? – Ayuh kita semak terminal penyucian ini.
Terminal : Empat [4] di alam dunia
[1] Taubat
Saudara sidang pembaca – terminal pertama, utama dan terpenting ialah terminal taubat. Ia harus diperbaharui, dimurnikan dan disegerakan.
Taubat – ertnya ialah kembali : rasa menyesali, takut dan ingin kembali kepada Ilahi. Sebuah perasaan yang menggugah perasaan, ia penuh nikmat dan diganjari dengan kemanisan yang tidak terungkap dengan bicara kata. Ia menyucikan diri dari segala dosa dan noda, lalu kembali kepada rabb dengan segala kesedaran, kefahaman, keyakinan dan kesungguhan.
Kita contohi, Sufyan ats- Tsaury RA – seorang tabi’in yang warak yang menimba ilmu daripada sahabatnya berkata : “ Suatu hari aku duduk-duduk menghitung dosa-dosaku.Lalu aku berkata pada diriku, “ Kau akan bertemu Allah, wahai Sufyan, Dia akan menanyakan padamu dosa demi dosa.”
[2] Istighfar
Kesinambungan terminal pertama ialah – mengamalkannya iaitu melalui kaedah ini.
Beristighfarlah dari dosa yang tidak kita ingat. Rasulullah SAW beristighfar 100 kali setiap hari dengan penuh kerendahan, penyesalan dan rasa perhambaan. MasyaAllah – insan yang mulia, maksum (terpelihara dari dosa) dan agung ini sentiasa membersihkan dirinya. Justeru apakah yang menghalang untuk kita berbuat demikian?
Memperbanyakan istighfar kerana ia akan menyinari hati agar terus hidup dan segar serta membangkitkan perasaan untuk mengerjakan kebaikan dan kebenaran.
Firman Allah SWT bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”
( An- Nisa 4 : 106)
[3] Kebaikan
Terminal seterusnya ialah memperbanyakan kebaikan dan amalan-amalan soleh. Saudara, tahukah saudara dan saudari sekalian – amalan-amalan soleh umpama haruman yang akan menyemarakan bau-bau yang menyenangkan dan membahagiakan sesiapa sahaja.
Dan – perbuatan kebaikan akan menghapuskan perbuatan yang buruk, keji dan jijik. Ia membakar dan melenyapkan segala perbuatan-perbuatan yang mengabaikan diri kita.
Ada satu kisah. Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “ Aku telah mencium seorang wanita daripadanya,” sehingga turun ayat :
“ Dan, dirikanlah solat itu pada pagi dan petang (siang) dan pada permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”
( Hud (11) : 114)
Lelaki itu bertanya , “ Wahai Rasul, apakah ini untukku?,” Rasul menjawab, “ Untuk melakukan itu dari umatku.” [3]
[4] Musibah yang menghapuskan
Musibah, ujian, dugaan – berbentuk kesakitan, keperitan, penderitaan, kehilangan, kematian, bencana dan apa jua bentuknya : ketahuilah ia adalah bentuk terminal penyucian hati kita. MasyaAllah – sangat-sangat indah didikan Allah SWT kepada kita.
Betapa kasihnya Allah SWT. Dia menghadirkan segala bentuk musibah adalah untuk menyucikan kita. Musibah yang berbentuk peringatan, hentakan dan goncangan – agar kita sedar, kembali insaf dan kenal hakikat diri. Saat ditimpa musibah, yakinlah bahwa inilah bentuk penyucian diri dan tarbiyah daripada Allah SWT buat diri kita.
Demi Allah, di dunia ini – kita hanya mempunyai empat [4] terminal ini sahaja.

Terminal : Tiga [3] di alam Kubur
Saudara saudari yang budiman,
Jika kita tidak berkesempatan bertaubat, tidak melazimi istighfar, sambil lewa dalam beramal soleh, bahkan belum diuji oleh Allah SWT dengan musibah dan – tidak disucikan di dunia, maka ketahuilah dengan kasih sayang, inayah dan rahmat-Nya Allah ia akan disucikan di tiga terminal kubur.
[1] Solah Jenazah
Saat, malaikat maut datang menunaikan tanggungjawabnya. – Pastinya kematian itu tidak akan ditertangguh lagi dengan izin-Nya. Oleh itu jika orang yang kita kenal meninggal dunia, maka cepat-cepatlah kita kumpulkan orang yang beriman dan beramal soleh untuk melakukan solat jenazah. Terpenting di sini bukannya, jumlah yang ramai dan banyak.
Tetapi, yang beriman, bertaqwa dan kehidupannya dipenuhi dengan amalan soleh. Kumpulkan mereka dan laksanakan solat ke atas jenazah. Doa manusia memberikan syafaat kepada jenazah di alam kuburnya.
Setelah mati, ia disucikan. Disucikan dengan solat jenazah.
[2] Fitnah Kubur
Alam yang gelap, bersendirian, kelam, ruangan yang sempit dan sunyi sepi. Namun, kesendirian kita di alam kubur memberikan satu kesan kepada kita. Pertanyaan dua malaikat – Mungkar & Nakir – berdiri menghadap kita.
Bertanya soalan-soalan yang terbongkar dan bocor sejak sekian lama. Bertanyakan tentang Tuhan, agama, Rasul dan saat perasaan ketakutan pada peristiwa itu. Kegelapan, kesunyian, kesepian dan kesempitan alam kubur adalah terminal kesucian bagi yang belum disucikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Kuburan itu mungkin kebun dari kebun syurga dan mungkin jurang dari jurang-jurang neraka.” [4]

Ramai dikalangan kita – takutkan akan kegelapan, keseksaan dan kesempitan alam kubur. Tetapi, sedarkah kita bahawa kubur itu berupaya menjadi kebun daripada kebun-kebun syurga. Bagi siapa? Ini adalah nikmat bagi yang suci, bersih dan jernih hatinya dari dunia.
Dan, bagi yang belum disucikan lagi, maka ia pun layak sebegitu sebagai ganti masuk syurga.
[3] Hadiah pahala amal manusia
Ulama bersepakat ada empat (4) hal yang pahalanya boleh disalurkan dan disedekah kepada orang yang telah mati dikubur iaitu haji, umrah, sedekah dan doa.
Anda pernah mendengar sebuah hadis berkaita ini?
Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Apabila anak Adam mati, maka terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara : ilmu yang bermanfaat, sedakah jariyah atau anak soleh yang mendoakannya.” [5]
Masya-Allah, Maha Pemurah dan Pengasihnya Allah SWT. Sentiasa memberikan kita peluang dan kesempatan untuk menyucikan diri. Tidak sempat di alam dunia, diberikan lagi peluang di alam kubur.
Kekadang terfikir, jika ketiga-tiga terminal ini belum mencukupi, apakah maksud akal?Empat terminal belum menyucikannya – terlepas peluang -, tiga di alam kubur belum menyucikannya juga – apakah petanda dan alamatnya?
Eh? Mesti pembaca tertanya-tanya apa kaitan artikel saya ini dengan himmah? – Terminal penyucian diri dengan himmah diri. Ada connection ke? Rasa-rasa anda dan pandangan anda?
InsyaAllah, sekadar ini dahulu untuk minggu ini. Semoga bermanfaat. Oya, 4 lagi terminal kita cuba lihat dan selusurnya bersama-sama pada minggu mendatang dengan izin-Nya. InsyaAllah.

Penutup – Komentar seorang hamba
1)- Saya membelek-belek buku berkaitan Tazkiyatun Nafs. Terdetik dalam hati, sampai bila perlu menghadap buku seumpama ini. – Hati saya bersuara : “ Sampai bila-bila, sehingga dijemput oleh Allah SWT.” Murabbi saya menyebut, aspek penyucian jiwa sangat-sangat penting, sehingga hampir setiap ulama yang menulis pasti ada satu karya mereka yang akan menyentuh perkara  ini secara serius, bersungguh dan nyata.
2)- Perkongsian di atas adalah hasil pembacaan saya terhadap beberapa buah buku yang sedang saya telaahi. Antaranya ialah, Menuju Taqwa tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan, Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid , Uluwwul Himmah karya Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam dan Bahagiakan Hatimu karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
———————————————————–
[1] Liqo tarbawiyyah ( Pertemuan Mingguan) bersama Abu Munzir, 28 Mac 2011
[2] Az Zumar  39 : 73
[3] HR Bukhari dan Muslim
[4] HR At-Tirmidzi
[5] HR Muslim

Friday, April 1, 2011

kekuatan daripada keimanan


Adakah kita melihat keimanan kita kepada Allah SWT? Atau kita tidak pernah peduli? ~ picture by Saeed33 of Deviant Art
Kita biasa mendengar peristiwa pemulauan yang dilakukan oleh Musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, juga Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib yang turut dipulaukan kerana mempertahankan baginda. Peristiwa ini berlaku sebelum hijrah, dan berlangsung selama tiga tahun tiga bulan. Pemulauan yang dilakukan adalah pemulauan penuh. Tidak ada sesiapa dibenarkan berniaga, memberikan bantuan, bertukar makanan, hatta mengahwinkan anak mereka dengan sesiapa yang dipulaukan itu.
Ini membawa kepada kehidupan yang sangat perit sehingga diriwayatkan bahawa mereka terpaksa memakan pucuk-pucuk daun yang kering, sehingga pecah bibir mereka. Sehingga mereka ini terpaksa merebus kasut kulit mereka, untuk dijadikan makanan.
Untuk kita, biasanya kita ambil peristiwa ini sebagai fakta semata-mata.
Berapa lamakah Rasulullah SAW mengalami peristiwa pemulauan? 3 tahun 3 bulan.
Tetapi jarang ada kalangan kita yang menyelami, bagaimanakah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menghadapi 3 tahun 3 bulan itu. Adakah 3 tahun 3 bulan itu waktu yang sebentar dalam menghadapi cabaran sedemikian berat? Ditambah dengan tangisan anak-anak hari demi hari. Ditambah dalam situasi mereka ketika itu, mereka tidak tahu hingga bila pemulauan itu akan berpanjangan.
Tetapi mereka berjaya melaluinya. Maka apakah motivasi mereka?
Jawapan saya: Keimanan kepada Allah SWT.
Bersabarlah, sesungguhnya akibat yang baik itu untuk yang bertaqwa
Di dalam buku bertajuk Al-Wa’dul Haq Wa Tsiqah Fi Nasrillah karangan Dr Majdi Al-Hilali, dia ada menukilkan akan kisah pemulauan ini dan menulis satu subtopik bertajuk yang sama dengan tajuk subtopik saya sekarang ini: “Bersabarlah, sesungguhnya akibat yang baik itu untuk yang bertaqwa.”
Dr Majdi Al-Hilali menceritakan, sepanjang pemulauan itu, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Al-Quran untuk memujuk orang-orang yang beriman. Ayat-ayat Allah SWT yang turun adalah merupakan kisah-kisah para pembawa dakwah yang terdahulu(nabi-nabi dan para Rasul terdahulu) untuk meyakinkan bahawa apa yang dilalui oleh mereka adalah apa yang dilalui oleh pembawa-pembawa kebenaran sebelum mereka. Dan antara surah yang turun di dalam peristiwa ini adalah Surah Hud. Yang mana di dalam Surah Hud inilah terdapat banyak kisah para anbiya’ yang berjuang di atas jalan Allah SWT.
Dan Allah SWT menyelitkan di dalam Surah Hud ini motivasi, agar Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman mampu bersabar dengan kesulitan yang panjang.
Apakah motivasi tersebut?
“Itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Hud ayat 49.
Kisah-kisah para Rasul dan nabi di dalam Surah Hud, menjadi motivasi buat mereka. Dan sebagaimana berjayanya para Rasul dan nabi di dalam kisah-kisah itu, begitulah Allah SWT berpesan agar mereka bersabar agar mereka nanti dengan kesabaran mereka itu, dapat merasai kejayaan yang sama juga.
Dan Rasulullah SAW bersama para sahabat baginda memilih untuk percaya dengan janji Allah SWT itu.
Kesudahan yang baik.
Keimanan itu, memberikan kekuatan
Percaya bahawa kesudahan untuk mereka hanyalah kebaikan, membuatkan mereka bertahan dengan kesukaran mereka. Bayangkan, 3 tahun 3 bulan bukan waktu yang sebentar. Apatah lagi 3 tahun 3 bulan yang diisi dengan penderitaan.
Mereka terpaksa berlapar berhari-hari. Anak-anak pula menangis. Dalam keadaan masa hadapan untuk mereka belum pasti. Apakah akan terjadi esok? Sehingga bila penderitaan ini akan berterusan?
Tetapi mereka kuat. Kerana yakin dengan janji Allah SWT. Kesudahan mereka pastinya adalah kebaikan. Keimanan mereka terhadap janji Allah SWT ini, adalah yang menguatkan mereka mengharungi hari demi hari di dalam 3 tahun 3 bulan itu.
Dan kesusahan itu adalah perancangan Allah SWT
Dr Majdi Al-Hilali memberikan komentar di dalam bukunya itu, menyatakan bahawa, Allah tidak terus menurunkan bantuna kepada orang-orang yang beriman adalah untuk membentuk mereka, memproses mereka, agar orang-orang yang beriman ini menjadi orang-orang yang cukup asbabnya untuk diberikan bantuan.
Yakni, Allah SWT merancang kesusahan itu, memanjangkan kesusahan itu hingga tiba waktunya, dengan kesusahan itulah orang-orang beriman menjadi kuat dan lebih kukuh dari sebelumnya. Bukankah ini sebenarnya adalah satu kebaikan juga? Sekaligus menjadikan kesusahan tadi adalah kebaikan yang tiada tolok bandingnya.
Dan dengan kesusahan itu juga Allah SWT telah memberikan garisan jelas yang membuatkan manusia mampu membezakan kumpulan yang baik dan kumpulan yang jahat. Hingga kini, kita dapat melihat apabila kaum kuffar merancang untuk menjahanamkan orang-orang yang beriman, mereka tidak pernah berjaya bahkan semakin ramai pula orang-orang yang tertarik dengan cahaya keimanan ini.
Tidakkah ini cukup menjadi kekuatan kita?
Penutup: Bagaimanakah dengan kita? Adakah keimanan kita menyala?
Maka kita melihat semula diri kita.
Bagaimana pula kita?
Sedang Al-Quran telah lengkap di tangan kita dengan 1001 janji di dalamnya, dibuktikan pula dengan keberjayaan Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda. Maka bagaimanakah kita melayani kesusahan, cabaran, halangan yang terwujud dalam kehidupan kita?
Adakah kita memperkuatkan keimanan kita? Adakah kita mengasahnya?
“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman. Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami). Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami). Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” Surah Hud ayat 120-123.
Kadangkala kita suka untuk Allah menyelesaikan segala masalah kita.
Tetapi persoalan utamanya, apakah kita ini telah berusaha menjadikan diri kita sebagai orang yang layak dibantu oleh Allah SWT? Apakah kita ini orang yang benar-benar beriman kepadaNya, melaksanakan perintahNya?
Sama-sama kita kembali melihat diri, dan menggapai kekuatan yang tiada tolok bandingnya.

islam agama mulia

Sebelum Islam mencenderung kepada masalah perhiasan dan gerak yang baik, terlebih dahulu Islam mengerahkan kecenderungannya yang lebih besar kepada masalah kebersihan adalah merupakan dasar pokok bagi setiap perhiasan yang baik dan pemandangan yang elok. 

Dalam salah satu hadisnya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut: "Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih." (Riwayat Ibnu Hibban)

Dan sabdanya pula: "Kebersihan itu dapat mengajak orang kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke sorga." (Riwayat Thabarani)

Rasulullah s.a.w. sangat menekankan tentang masalah kebersihan pakaian, badan, rumah dan jalan-jalan. Dan lebih serius lagi, iaitu tentang kebersihan gigi, tangan dan kepala.

Ini bukan suatu hal yang menghairankan, kerana Islam telah meletakkan suci (bersih) sebagai kunci bagi peribadatannya yang tertinggi iaitu shalat. Oleh kerana itu tidak akan diterima sembahyangnya seorang muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang dipakai pun dalam keadaan bersih. Ini belum termasuk kebersihan yang diwajibkan terhadap seluruh badan atau pada anggota badan. Kebersihan yang wajib ini dalam Islam dilakukan dengan mandi dan wudhu'.

Kalau suasana bangsa Arab itu dikelilingi oleh suasana pedesaan padang pasir di mana orang-orangnya atau kebanyakan mereka itu telah merekat dengan meremehkan urusan kebersihan dan berhias, maka Nabi Muhammad s.a.w. waktu itu memberikan beberapa bimbingan yang cukup dapat membangkitkan, serta nasihat-nasihat yang jitu, sehingga mereka naik dari sifat-sifat primitif menjadi bangsa moden dan dari bangsa yang sangat kotor menjadi bangsa yang cukup necis.

Pernah ada seorang laki-laki datang kepada Nabi, rambut dan janggotnya morat-marit tidak terurus, kemudian Nabi mengisyaratkan, seolah-olah memerintah supaya rambutnya itu diperbaiki, maka orang tersebut kemudian memperbaikinya, dan setelah itu dia kembali lagi menghadap Nabi.

Maka kata Nabi: "Bukankah ini lebih baik daripada dia datang sedang rambut kepalanya morat-marit seperti syaitan?" (Riwayat Malik)

Dan pernah juga Nabi melihat seorang laki-laki yang kepalanya kotor sekali. Maka sabda Nabi: "Apakah orang ini tidak mendapatkan sesuatu yang dengan itu dia dapat meluruskan rambutnya?"

Pernah juga Nabi melihat seorang yang pakaiannya kotor sekali, maka apa kata Nabi: "Apakah orang ini tidak mendapatkan sesuatu yang dapat dipakai mencuci pakaiannya?" (Riwayat Abu Daud)

Dan pernah ada seorang laki-laki datang kepada Nabi, pakaiannya sangat menjijikkan, maka tanya Nabi kepadanya: "Apakah kamu mempunyai wang?" Orang tersebut menjawab: "Ya! saya punya" Nabi bertanya lagi. "Dari mana wang itu?" Orang itupun kemudian menjawab: "Dari setiap harta yang Allah berikan kepadaku." Maka kata Nabi: "Kalau Allah memberimu harta, maka sungguh Dia (lebih senang) menyaksikan bekas nikmatNya yang diberikan kepadamu dan bekas kedermawananNya itu." (Riwayat Nasa'i)

 Masalah kebersihan ini lebih ditekankan lagi pada hari-hari berkumpul, misalnya: Pada hari Jum'at dan Hari raya. Dalam hal ini Nabi pun pernah bersabda: "Sebaiknyalah salah seorang di antara kamu --jika ada rezeki-- memakai dua pakaian untuk hari Jum'at, selain pakaian kerja." (Riwayat Abu Daud)

motivasi daripada cinta

Cinta itu adalah…
Orang kata, cinta itu ada kuasa istimewa. Cinta boleh membuatkan orang kuat untuk mencapai sesuatu di dalam kehidupannya. Ada seorang lelaki yang bercinta dengan seorang wanita pernah berkata kepada saya bahawa, segala perubahan ke arah kebaikan di dalam kehidupannya berlaku adalah kerana cintanya kepada seorang perempuan.
Dan tidak kurang juga yang jatuh dari kebaikan kepada keburukan, kerana cinta. Tetapi oleh kerana biasanya manusia akan ‘mabuk cinta’, maka saya suka nak fokuskan kepada cinta yang memberikan motivasi untuk bergerak ke arah kebaikan. Sebab biasanya, tidak akan ada manusia yang hendak mengaku bahawa cintanya membawa kepada keburukan.
Dan kalau diberikan kepada saya, saya sendiri akan menyatakan bahawa apa yang dinamakan ‘Cinta’ itu, memang tidak akan memberikan apa-apa melainkan kebaikan semata-mata.
Jadi, di sini kita duduk sebentar dan melihat.

Motivasi itu membawa ke arah….
Beberapa orang yang bercouple, atau dengan mudahnya saya terjemahkan sebagai ‘bercinta di luar batasan syara’, berusaha keras membuktikan bahawa hubungan mereka tidak mendatangkan apa-apa melainkan kebaikan.
Mereka akan berusaha untuk sama-sama cemerlang di dalam peperiksaan agar mampu membuktikan bahawa ‘couple’ mereka itu adalah satu perbuatan yang benar dan tidak ada padanya keburukan.
Bahkan, ada juga yang cuba membuktikannya dengan menunjukkan perubahannya ke arah peningkatan rohaniah, seperti semakin rajin membaca Al-Quran, semakin rajin ke masjid, semakin rajin bangun qiamullail dan sebagainya.
Mereka menyatakan bahawa, cinta mereka tadi memotivasikan mereka.
Tetapi saya melihat, mereka becinta dengan cara yang saya sendiri tak namakannya sebagai ‘cinta’. Namun oleh kerana masyarakat suka menamakan itu sebagai cinta, maka di sini saya pakai perkataan cinta, atau membawa maksud sebagai ‘hubungan di luar batasan syara’. Pendek kata, cinta mereka berjalan dengan perjalanan yang tidak berada dalam pagar-pagar syara’.
Keluar berdua-duaan, perbualan tanpa batasan dan terketeikatan dengan syara’, bahkan ada yang berpegang-pegangan tangan, bergesel badan, dan tidak kurang juga yang menggunakan pelbagai ‘pertahanan syara’ seperti alasan menjadi ‘muroqib’(istilah penjaga bagi menemani perempuan yang keluar berjalan di timur tengah ini), alasan berhubungan sebab program dan sebagainya namun isi perhubungan itu penuh dengan pelanggaran-pelanggaran batas yang sepatutnya. Belum dikira dengan pelanggaran batas syara’ secara persendirian seperti menampal gambar pasangan yang masih belum sah itu di dinding, di dalam buku dan sebagainya, melihatnya berkali-kali kononnya melepas rindu yang terbuku di dalam hati, dan bermacam-macam lagi.
Dan mereka menyatakan, hubungan mereka itu benar, tiada salahnya, atas pembuktian kecemerlangan dalam bidang akademik, dan juga pembuktian peningkatan ‘rohaniah’ mereka sebentar tadi.
‘Pause’
Saya menekan butang ‘pause’ agar yang berfikiran demikian boleh ‘berhenti sebentar’ dari berfikiran demikian dan melihat satu pandangan lain. Saya tidak kisah sama ada pandangan ini akan diterima atau ditolak, akan dipuji atau dihentam, sekurang-kurangnya selepas butang ‘play’ ditekan, dan diri kita masing-masing meneruskan kehidupan, maka terlepas sudah daripada bahu saya tanggungjawab memberikan peringatan.
Jadi, ‘pause’ ya. Biar saya sahaja yang bergerak.
:-)
Melihat semula kepada satu pengakhiran yang hakiki
Oleh kerana kita menekan butang ‘pause’, maka semuanya terhenti. Masa kini terhenti. Hubungan kita dan dia, bersama-sama ‘Cinta Yang Memotivasikan’ tadi turut terhenti. Lihat sebentar kepada apa yang kita namakan cinta tadi. Hubungan yang dikatakan tiada keburukan tadi. Pembuktian-pembuktian kita tadi.
Baik. Sudah lihat? Sekarang saya hendak menekan butang ‘fast forward’. Kita hendak pergi ke pengakhiran. Oh, oh, bukanlah pengakhiran itu bermaksud hubungan tadi berjaya kekal ke alam perkahwinan atau tidak. Bukan dan bukan.
Pengakhiran yang saya maksudkan adalah pengakhiran yang sebenar.
Akhirat.
Agak-agak, ‘hubungan Cinta Yang Memotivasikan’ kita tadi akan pergi ke mana?
Sebelum saya menjawab, maka dengan seronoknya saya menukilkan satu hadith yang mana hadith ini sentiasa diletakkan di dalam bab yang pertama dalam banyak kitab-kitab hadith. Mengapa diletakkan di tempat yang pertama? Kerana hadith ini menunjukkan bahawa, yang pertama itulah yang menentukan yang akhir. Apa yang pertama yang dimaksudkan itu?
Lihatlah hadith ini:
Daripada Amirul Mukminin Abi Hafsin Umar ibn Khattab RA bahawa dia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap orang itu apayang diniatkan olehnya, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan menuju kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”
Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari di awal Kitab Sohihnya, dan di dalam Al-Iman(Bab Apa yang datang dengan amal bersama niat yang baik dan untuk setiap manusia itu apa yang diniatkan olehnya) dan di lima lagi tempat yang lain di dalam Kitab Sohihnya. Dan Muslim juga meriwayatkannya di dalam Al-Imazah(Bab Sabda SAW: Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat) dan diriwayatkan juga oleh Abu Dawud dalam kitab At-Talaq dan Tirmidzi dalam Kitab Fadho’il Al-Jihad dan Ibn Majjah dalam Kitab Az-Zuhd dan An-Nasai dalam Kitab At-Toharoh dan Daruqutni dan Ibn Hibban dan Al-Baihaqi.
Kita menekan butang ‘rewind’ hinggalah ke tempat kita menekan ‘pause’ tadi. Oh, kita lihat akan kecemerlangan akademik yang kita canangkan sebagai pembuktikan ‘kebaikan cinta kita’ tadi. Oh, kita lihat juga akan peningkatan rohaniah yang kita nyatakan sebagai bukti ‘kebersihan cinta kita’ tadi. Dan kita lihat sekilas ‘bagaimana kita bercinta’ pula, dan kemudian kita pergi kepada ‘sebab berlakunya peningkatan dan kecemerlangan’ tadi.
Kemudian sekali lagi kita menekan butang ‘fast forward’ menuju ke pengakhiran yang hakiki. Agak-agak kita berakhir di mana?
Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya(dunia dan perempuan tadi)”
Pendek kata, kita akan ke neraka Allah SWT. Kecemerlangan kita, solat kita, qiamullail kita, bacaan Al-Quran kita, semuanya terbina bukan atas keimanan kita kepada Allah SWT. Tetapi terbina atas satu perkara yang tidak syara’. Maka kita akan pergi ke arah apa yang kita niatkan tadi. Kita akan pergi ke arah ‘sebab mengapa peningkatan itu berlaku’ tadi. Kita tidak akan pergi kepada Allah SWT.
Ya, itulah pengakhiran kita.
Jika terus dengan apa yang kita namakan cinta tadi.
Saya masih bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan
Tetapi, saya tetap bersetuju bahawa ‘cinta’ itu memotivasikan. Ah, saya tidak bercakap akan cinta tadi. Jika perasaan, ada perbezaan ‘cinta’ yang saya sebutkan, dengan cinta yang orang selalu sebut. Sebab itu pada saya, ‘cinta’ ini kekal suci dan bersih, dan tidak akan memberikan apa-apa keburukan kepada yang menjalankannya.
Hal ini kerana, definisi ‘cinta’ saya adalah: “Hendak bersama dengan dia ke syurga.”
Iya. Itulah dia ‘Cinta’ pada saya. Selain definisi itu, saya tidak akan menerimanya.
Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, maka kita akan termotivasi untuk menjaga syara’ seketat yang kita boleh, semampu yang kita mampu. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan studi sungguh-sungguh sebab kita tahu pemalas dan culas bukanlah ciri-ciri orang yang akan masuk syurga. Pada saya, apabila kita hendak bersama dengan seseorang itu ke syurga, kita memang akan berusaha mempertingkatkan rohaniah kita, ibadah kita, akhlak kita, kerana jelas kepada kita bahawa itulah dia ciri-ciri ahli syurga.
Dan pada masa yang sama, kita akan menjaga hubungan kita dengannya agar tidak termasuk di dalam hubungan kita ‘ism-ism yang tidak syara’ yang mampu melemparkan kita dan dia ke neraka Allah SWT. Maka, segala apa yang tidak syara’, yang Allah larang, tidak akan kita masukkan di dalam hubungan kita dengan dia.
Itulah dia ‘Cinta yang memotivasikan’ buat saya.
Nak masuk syurga dengan dia, adalah Cinta Yang Memotivasikan, dan Cinta Yang Tiada Keburukan Di Dalamnya. :-)
Apakah mungkin ahli syurga terdiri daripada mereka yang tidak merasakan apa-apa dengan dosa, dan tidak bersegera pulang kepada Allah SWT? Mustahil.
Penutup: Tekan butang ‘play’
Itulah dia. Saya menulis artikel ini pada 14 Februari, pada hari orang ramai menyambut Valentine’s Day. Kononnya hari ini adalah menifestasi cinta. Saya yakin, ada sahaja perempuan yang kehilangan daranya hari ini kerana kononnya itulah dia terjemahan cintanya. Belum dikira yang melanggar batas-batas syara’ yang kononnya ringan seperti pegang tangan, dating berdua, bergesel badan dan sebagainya.
Tetapi itu semua membawa kita ke mana?
Bukan ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ yang kita risaukan. Saya tidak pernah mengambil ukuran ‘dapat kahwin dengan dia atau tak dapat’ sebagai ukuran kejayaan sesuatu percintaan.
Tetapi kejayaan sesuatu percintaan itu pada saya adalah, ‘berjaya ke syurga bersama-sama dnegan dia, atau tidak’. Itu dan itu sahaja.
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mencintai kita.
Bukankah dia membawa kita ke syurga dan mencegah kita daripada neraka?
Itulah dia ‘Cinta’.
Jadi, saya telah menekan butang ‘play’.
Bergeraklah kita masing-masing dalam kehidupan sendiri. Sama ada mahu hidup dengan pandangan saya tadi, atau kekal dengan ‘cinta yang di awal tadi’, terpulang kepada diri sendiri.
Allah, saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan.

saat kita tiada sesiapa

alau orang tanya saya, pernah down atau tidak? Saya pasti akan menjawab pernah. Bila orang bertanya kepada saya, apakah down yang paling down pernah saya rasai? Saya akan menjawab, saat saya sedar bahawa saya tiada siapa-siapa, itulah saatnya saya paling down.
Saya rasa saya ini bagus mati sahaja. Ha… sampai macam itu sekali. Jangan contohi yang ini ya. Haha.
Tapi awak still hidup lagi, dan masih meneruskan apa yang awak lakukan selama ini? Ha, biasanya itu soalan yang akan mengekori soalan yang kedua tadi. Jawapan saya, ya, saya tetap bergerak, berjalan, dan meneruskan kehidupan.
“Jadi, apa motivasi awak, sedangkan awak melalui saat yang paling kritikal seperti yang awak nyatakan tadi? Sampai rasa bagus mati sahaja, tapi awak still bangun dan bergerak?”
Ha, jawapan kepada soalan itulah yang saya hendak kongsikan di dalam artikel ini.

Allah itu memang Yang Paling Dekat, tetapi…
Sebelum saya masuk kepada ‘jawapan’ saya, maka sukalah saya pergi kepada ‘mukaddimah jawapan’ saya. :-)
Allah adalah mukaddimah kepada jawapan saya. Iya. Sebab, jawapan saya hanya akan terhasil dengan keimanan saya kepada Allah SWT. Saya beriman bahawa Allah itu paling dekat, Allah itu sentiasa bersama kita, dan Allah itu adalah yang akan memberikan bantuan kepada kita, serta memenangkan kita sekiranya kita berada di atas jalanNya.
Tetapi mengapa saya jadikan ini sebagai ‘mukaddimah jawapan’ dan bukan ‘jawapan induk’ saya? Sebab manusia ini banyak songeh. Mereka akan kata pada saya begini:
“Memanglah Allah ada sentiasa, paling dekat, tetapi Allah bukan manusia yang boleh berbalas cakap dengan kita, yang boleh peluk kita dan sebagainya. Kalaulah Allah sahaja sudah mencukupi dengan pencukupan yang 100%, maka tidaklah Allah menjadikan untuk Adam itu Hawwa, dan tidaklah Allah menyusun perjalanan Rasulullah SAW itu memerlukan para sahabat baginda.”
Bijak apa yang diketengahkan oleh si pengketengah pendapat tadi. Dan saya sokong 100%. Benar. Sunnatullah, manusia juga memerlukan manusia.
Tetapi itulah dia punca masalah yang kita bincangkan sekarang, bukan? Sekarang ini, kita rasa kita tiada siapa-siapa. Ibu Bapa tidak memahami, orang benci dengan apa yang kita lakukan walaupun kita sudah usahakan yang terbaik untuk memuaskan hati mereka, apa sahaja yang kita buat mesti ada yang nak hentam, ada sahabat tetapi sahabat pun tidak mampu menenangkan dan tidak pula mampu untuk mempertahankan kita. Rasa very very very lonely betul tak?
Jadi, apa yang saya buat bila saya dalam situasi itu?
Jeng jeng jeng…
Saya ada diri saya. Hadiah Allah buat saya.
Ahah. Itulah “jawapan” saya, dan saya tidak punya jawapan yang lebih kuat daripada itu. :-)
Kenapa saya teruskan kehidupan saya, walaupun saya rasa saya tiada siapa-siapa?
Sebab saya ada diri saya. Diri saya yang dihadiahkan oleh Allah buat saya.
Diri saya manusia bukan?
Kenapa ya, saya kena mengecewakan diri saya, menzaliminya dengan kekecewaan, kesedihan yang berpanjangan, kegagalan dalam kehidupan, hanya kerana saya rasa orang lain semuanya tidak suka akan saya? Hanya kerana saya rasa sahabat-sahabat saya tidak mampu mempertahankan saya? Hanya kerana tiada orang yang mahu memahami saya?
Sedangkan, sepanjang pengetahuan saya, diri saya sentiasa bersama-sama saya. Diri saya tidak pernah meninggalkan saya. Bahkan, diri saya bersama-sama saya semenjak lahir lagi. Lebih daripada itu, apabila saya berdiri di hadapan Allah nanti, diri saya tetap bersama-sama saya. Lebih lagi daripada itu, masa orang semua sibuk dengan diri masing-masing di hari akhirat, diri saya hanya sibuk dengan saya. Haha. Maka mengapakah saya mesti menzalimi diri saya yang amat baik dengan saya ini?
Masa semua orang hentam saya, kutuk saya, keji saya, sahabat-sahabat pula berdiam diri dan tak stand up pun untuk saya, tak back up pun saya, diri saya stand up untuk saya, back up saya. Diri saya adalah yang paling memahami saya, bahkan, dia memahami saya tanpa perlukan apa-apa penjelasan sekalipun. Sedangkan, sahabat terbaik pun, saya perlu jelaskan kepada dia itu dan ini, dan ada kemungkinan pula untuknya tidak jelas juga walaupun selepas mendengar penjelasan saya.
Maka, bukankah saya ini keterlaluan untuk terus duduk diam tanpa meraikan diri saya yang baik itu? Mengapa, kerana orang ramai yang meninggalkan kita tadi, kerana sahabat-sahabat yang bacul tadi, saya mesti bertindak zalim kepada diri saya yang menyayangi saya ini?
Jadi, konklusinya, saya kena hidup dengan kehidupan yang terbaik, untuk membuatkan diri saya yang baik tadi bahagia, senang, tidak terluka dan sebagainya. Membalas kebaikan-kebaikannya kepada saya selama ini dan yang akan datang.
Tidakkah itu sudah cukup untuk saya meneruskan kehidupan?
Nyata Allah itu tidak meninggalkan saya kesunyian bukan?
Apapun yang terjadi, paling kurang saya ada diri saya.
Maka, buat apa saya kena menghentikan kehidupan? Sepatutnya, saya kena buat diri saya tadi bahagia. Teruskan hidup, teruskan perjuangan, teruskan kejayaan.
:-)
Outro Jawapan.
Akhirnya, saya kena bagi sikit outro la kan? Sebab tadi ada mukaddimah.
Jadi kita perlu melihat semula bahawa kita ini datang daripada Allah, balik juga akan balik kepada Allah SWT. Oleh kerana saya rasa, saya ini tak akan mampu nak bayar jasa diri saya tadi, maka ganjaran yang lumayan yang saya mampu usahakan untuknya adalah dengan memberikannya ketenangan abadi selama-lamanya.
Di manakah saya mampu memberikan diri saya ketenangan abadi selama-lamanya?
Semestinya di Syurga Allah SWT. Maka, saya kena berusaha, bersabar, tabah, mengharungi segala mehnah dan tribulasi di atas muka bumi ini, untuk membalas jasa diri saya yang baik tadi. Berikan diri saya, syurga Allah SWT, atas kebaikannya yang tidak berbelah bagi buat saya selama ini.
Tidakkah kita merasakan demikian?
Takkan nak balas dengan neraka, bukan?
:-)
Penutup: Tetapi saya akhirnya menyedari bahawa, saya tidak mampu ditinggalkan sendiri
Ha, jawapan tadi adalah apa yang saya sentiasa berikan kepada diri saya semasa saya down sangat-sangat. Sebab itu, saya kekal bangkit dan berjuang. Berjuang dan berjuang. Hidup dan terus hidup. Menggapai kejayaan dan terus berjaya.
Tetapi akhirnya saya tetap menyedari juga bahawa, saya tidak mampu ditinggalkan sendirian. Saya ada sahabat-sahabat saya. Seperti Tengku Muhammad Fahmi dan Hafiz Zainol Abidin. Walaupun mungkin mereka tidak ‘sepantas’ diri saya mendapatkan saya, tetapi mereka still mendapatkan saya, menenangkan saya, berusaha membantu saya dan menyenangkan saya.
Saya yakin, majoriti manusia sebenarnya mustahil untuk ditinggalkan bersendirian. Kita pasti ada manusia yang Allah jadikan buat kita sebagai sahabat
Tetapi, untuk worst case scenario, motivasi “Saya ada diri saya sendiri,” adalah jawapan.
Pastinya, selepas itu kita tidak akan mampu menghentikan hidup kita.
Melainkan kita tidak menghargai diri kita sendiri.
.