BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 9, 2011

unic aroma

mengantuk ketika belajar di dalam kelas???
jawapannyer:gunakan unic aroma..

mengikut kamus collins english dictionary,perkataan "aroma" bermaksud pleasent smell...ini bermana setiap yang mengeluarkan bau yang menyenangkan ialah aroma..

kandungan bahan mentah:
camphor,menthol,eucalyptus oil (minyak kayu putih),pappermint oil,tea tree oi,nutmeg,lavender,spike lavender,white oil dan perasa lemon bagi mendapatkan kesan yg optimum.

Kelebihan dan kegunaan:

  • champor:bau aroma membantu mengurangkan tekanan dan ketegangan.
  • menthol:mengurangkan rasa gatal dan kesalkitan seperti kekejangan dan sakit kepala
  • eucalyptus oil (minyak kayu putih):membunuh 70 jenis kuman serta memberi ketenangan.
  • pappermint:memberikan kesegaran
  • tea tree:merehatkan otot2 yg keletihan
  • nutmeg:perasa/pemanis
  • lavender:berfungsi sebagai aromaterapi.bau aroma membantu mengurangkan ketegangan atau tekanan
  • lemon:anti depressant
  • spike lavender:pewangi
  • white oil:mengandungi vitamin E untuk membantu pengoksidaan dan membantu mengkalkan warna dan bau.
Cara guna:
sapu ditempat yang dikehendaki.gunakan seberapa kerap yang diperlukan,sekurang kurangnya dua (2) kali sehari.

boleh dapatkan dari:


Thursday, April 7, 2011

devotees & album berjalan tanpa henti

Assalamu'alaikum

Apa khabar semua? Mudah-mudahan sihat dan happy selalulah ye ^^ Posting kali ni nak bercerita sedikit tentang album terbaru Devotees, Berjalan Tanpa Henti yang bakal menjengah pasaran tidak berapa lama lagi. BAKAL?? Asyik bakal je, bila nak betul-betul release ni?? Hehe, ok.. Bawak bersabar semua. Kita kan hamba yang merancang sedangkan Allah lebih tahu jalan ceritanya.

Untuk pengetahuan semua album Devotees sedang dalam proses cetakan awal dan kenapa jadi lambat ni?? Firstly saya nak peminat-pemninat semua yang dah lama menantikan album ni untuk sama-sama fahami susah payah dan fasa-fasa yang kami harus lalui dalam menghasilkan album ini.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan pertama kali Devotees bergerak sendiri mengumpulkan material serta menguruskan hal-hal berkaitan proses penghasilan album. Memanglah saya sendiri secara peribadi sudah pernah menerbitkan album mini motivasi Devotees dan album koleksi nasyid indie vol. 1 serta beberapa album artis nasyid lain, tetapi itu semuanya secara underground, atau erti kata lain tak perlu ada hologram, tak perlu ada kontrak dengan syarikat edaran, tak perlu ada promosi yang hebat, tak perlu berurusan dengan banyak lagi badan-badan berkaitan, dan macam-macam lagi.

Devotees pernah menghasilkan album penuh berjudul Devotees pada tahun 2005 di mana itulah titik tolak perjalanan kami di persada seni tanahair. Masa itu semuanya siap diuruskan dan kita hanya perlu datang recording, tunggu album release, dan pergi show sahaja. Semua proses penghasilan album pada masa itu digerakkan oleh syarikat rakaman. Pendek kata, memang tak cerdik lah kami waktu tu tentang selok belok semua perkara ini.

Devotees mula bekerjasama dengan EZ Qurban Sdn Bhd sejak tahun 2008 di mana kami secara rasmi menjadi duta EZ Qurban dan telah diberikan peluang turut serta dalam program Kembara Korban yang diadakan di Kemboja. Di Kemboja kami juga berpeluang mengadakan persembahan di hadapan rakyat tempatan dan para peserta program tersebut. Sejak dari itu, tahun-tahun berikutnya menyaksikan kami terus-terusan diberikan kepercayaan untuk membawa nama Devotees dan EZ Qurban ke negara tersebut.

Tahun 2010 memberikan kami semangat yang baru apabila CEO EZ Qurban Sdn Bhd, Ust Azhar telah bermurah hati menjadi penaja untuk album ke-2 Devotees memandangkan Devotees telah hampir 5 tahun sunyi tanpa album penuh. Sepanjang tahun inilah kami giat mengumpulkan material, mencari contact number music arranger, studio, para sessionist untuk live music, jurutera mixing, photographer, pengedar album, dan lain-lain. Dari situ kami mula belajar susah payah untuk menghasilkan album ini.

Devotees lebih selesa menonjolkan bakat dan karya sendiri dalam menghasilkan buah tangan ke 2 ini apabila album ini menampilkan sebahagian besar lagu-lagu ciptaan anggota Devotees sendiri iaitu adi akmal dan saya. Devotees juga memberikan kepercayaan kepada saya untuk design cover album dan saya secara keseluruhannya bertindak selaku pengurus produksi untuk album Berjalan Tanpa Henti ini.

Sehingga ke saat ini kami sedang menantikan proses mendapatkan hologram dan kod caller ringtones (CRT) untuk dimuatkan dalam inlay album.

Mudah-mudahan segalanya akan berjalan lancar walaupun seringkali tersasar tarikh, namun insyaAllah album ini akan berada di pasaran juga. Terima kasih kerana membaca, bersabar menantikan kehadiran album kami, dan terima kasih juga kerana turut sama mempromosikan Berjalan Tanpa Henti. Assalamu'alaikum :-)

di copy paste dari blog akhi halim devotees.....hihihihihi.....

Monday, April 4, 2011

cinta kita dan cinta mereka

Seorang sahabat yang bernama Tsauban begitu cinta dan rindu pada Rasulullah SAW. Sehari tidak bertemu, hatinya terasa begitu rindu, seolah-olah setahun berpisah. Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah sedang diwajahnya tergambar keresahan dan kesayuan. Rasulullah SAW lalu bertanya, “Adakah engkau sakit wahai Tasuban?” .
Katanya “Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi.”
Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud “Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman.” Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.
Ya, cinta dan rindu Tsauban RA pada Rasulullah SAW terlalu mendalam. Jiwanya terasa begitu terseksa bila berjauhan. Hatinya meronta-ronta untuk selalu bertemu dan kekecewaan menguasai dirinya apabila terbayangkan di Akhirat nanti ia terpaksa berjauhan dari Rasulullah SAW.
Bukankah cintanya  terlalu suci dan jernih. Sesuci embun pagi dan sejernih air di kali. Rindunya terlalu mendalam hingga setiap saat ia terkenangkan Rasulullah SAW. Tentu kita boleh bayangkan satu peribadi yang taat kepada perintah Allah dan RasulNya, sentiasa mahu mendengar dan melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Jika ada yang cuba mencemari nama baginda Rasulullah SAW dan Islam yang dibawa baginda, tentunya ia adalah orang pertama yang akan mempertahankannya biarpun dengan segala harta  dan nyawanya.
Ya, inilah salah satu kisah cinta yang mampu menggoncang jiwa-jiwa yang beriman. Mereka (para sahabat) memang begitu cinta pada Rasulullah SAW, cinta yang setulus hati. Bahkan mereka sanggup melakukan apa saja demi baginda dan Islam yang diperjuangkannya.
Mungkin timbul satu persoalan. Apa yang menjadikan mereka begitu cinta dan taat kepada baginda Rasulullah SAW? Benarkah kita juga cinta dan rindukan Rasulullah SAW sepertimana mereka cinta dan rindu padanya? Apa yang membezakan cinta kita dan cinta mereka?
Tentu tidak terlalu sukar untuk membezakan cinta kita dan cinta mereka namun yang sukar ialah untuk memahami bagaimana cinta mereka begitu tinggi dan suci agar kita dapat membina rasa cinta yang sama.
Mereka mengenali Baginda
Mereka mengenali baginda Rasulullah SAW dengan jiwa mereka. Mereka menghayati pengorbanan Rasulullah SAW untuk ummatnya dengan hati dan perasaannya. Mereka menelusuri detik-detik perjuangan Rasulullah SAW dengan penuh rasa kasih dan terhutang budi. Lalu hati mereka begitu cinta dan rindu pada baginda.Air mata mereka mengalir apabila lama tidak bersua dengan Rasulullah SAW.
Pernah satu ketika Saidina Bilal bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW telah lama wafat, meninggalkan para sahabat RA. Apabila cerita itu tersebar, sahabat dan sahibah tidak keluar dari rumah mereka. Masing-masing termenung membayangkan saat-saat mereka bersama Rasulullah SAW. Hati mereka menjadi begitu rindu, saya dan terlalu pilu dengan kehilangan baginda. Seharian melayan perasaan lalu mereka berkumpul dan meminta Bilal RA mengumandangkan azannya. Ya, sejak kewafatan Rasulullah SAW Bilal tidak lagi pernah mengalunkan azannya. Oleh itu jika hari ini Bilal mengumandangkan azannya, para sahabat akan terasa seolah-olah mereka masih berada bersama Rasulullah SAW, tentunya NOSTALGIA mereka bersama Rasulullah akan lebih lengkap.
Kerana tidak mampu menolak desakan yang bertubi-tubi itu maka Bilal pun mula mengumandangkan azan. Semua sahabat tertegun diam hinggalah mereka mendengar kalimah Assyhadu anna Muhammadar Rasulullah, jiwa mereka tidak lagi mampu bertahan lalu mereka menangis sepuas-puasnya.
Siapa yang tidak merasa kehilangan, siapa yang tidak merasa rindu jika yang hilang itu adalah Rasulullah SAW yang mereka kenali lebih dari anak-anak mereka sendiri.
Jiwa mereka benar-benar telah menyaksikan betapa besar pengorbanan Rasulullah untuk ummatnya. Bahkan baginda SAW telah mengorbankan segala-galanya demi untu keselamatan dan kebahagiaan ummatnya.
Jiwa mereka menyaksikan darah Baginda SAW yang mengalir membasahi bumi Ta’if ketika batu-batuan keras dilemparkan ketubuh baginda dan diiringi lemparan itu dengan cercaan dan hinaan. Bahkan ada yang mencerca baginda “Tidak adakah orang lain selain kamu yang dipilih sebagai rasul?” Ada juga yang menghina “Jika kamu ini benar seorang rasul maka kamu terlalu mulia…pergi kamu dari sini, kami ini orang hina. Tetapi jika kamu menipu maka kamu adalah terlalu hina, maka pergi kamu dari sini, kami terlalu mulia untuk kamu”
Jiwa mereka meyaksikan bagaimana peritnya Rasulullah merenatasi padang pasir sejauh hampir 500 KM hanya untuk menyelamatkan mereka dari neraka Allah SWT. Bukan untuk pangkat dan kuasa, bukan untuk harta dan kekayaan bahkan baginda korbankan segala yang dimiliki untu keselamatan ummat ini.
Jiwa mereka menyaksikan darah baginda mengalir membasahi bumi Ta’if. Mereka melihat penderitaan baginda ketika dicabutkan rantai dari baju besi baginda yang patah lalu menikam dan menembusi kulit mukanya dan terbenam pada gusi baginda. Abu Ubaidah RA mencabut satu darinya lalu sebatang gigi baginda yang mulia tercabut bersamanya. Lalu satu lagi dicabut menjadikan dua batang gigi baginda tercabut.
Inilah yang mereka saksikan dengan jiwa mereka, dengan hati dan perasaan mereka. Pengorbanan yang begitu tulus suci. Rasulullah SAW korbankan segalanya untuk mereka dan kita. Untuk kita mengenal Allah SWT, untuk kita selamat dari neraka Allah SWT, untuk kita bahagia di dunia dan akhirat.
Adakah kita benar-benar mengenali baginda? Sudah berapa buku sirah yang kita baca? Sudah berapa kisah baginda yang kita hayati? Adakah buku baca sirah yang kita baca itu melebihi novel yang telah kita habiskan. Saya tidak katakan baca novel itu salah tetapi jika kita jadikan sebagai ukuran, seharusnya lebih banyak buku sirah yang kita baca berbanding novel. Benarkah kita benar-benar mengenali Baginda SAW, menghayati perjuangannya, menyelusuri liku-liku hidup baginda dan menangisi keperitan yang baginda tempuhi.
Nusaibah RA begitu mengenali baginda hinggakan ketika medan Uhud berantakan dan hanya beberapa sahabat yang berada di sekitar baginda SAW. Nusaibah yang hanyalah seorang perawat lalu meninggalkan pesakit-pesakitnya dan menjadikan dirinya sebagai anak panah yang gila mencari tubuh baginda. Hinggakan Rasulullah SAW bersabda “Dimedan uhud, Nusaibahlah yang paling sibuk.” Dia berada dimana-mana saja anak-anak panah cuba menyentuh tubuh baginda. Ketika Rasulullah memandang kekanan dilihatnya Nusaibah, Baginda memandang kekiri ..dilihatnya Nusaibah. Ketika itu diriwayatkan tubuh Nusaibah dipenuhi 12 anak panah dan salah satunya mengenai tengkuknya menyebabkan kecederaan yang agak lama.
Ketika selesai peperangan uhud, Baginda bertanya pada Nusaibah, apa yang dia inginkan. Ya, apa yang Nusaibah inginkan untuk segala penderitaannya? “Ya Rasulullah….aku ingin bersama mu di syurga nanti”
Apa yang kita rasakan dengan kisah cinta mereka kepada Rasulullah SAW? Bagaimana dengan cinta kita?
Maafkan saya, saya manusia hina. Saya ingin mencintai baginda SAW namun terasa begitu malu untuk mengungkapnya. Cinta saya terlalu hina berbanding cinta mereka. Namun say berdoa agar Allah memasukkan saya dalam golongan yang benar cintanya pada Rasulullah SAW.

Ya Allah
Aku terasa malu untuk mengungkapkan cintaku pada kekasihMu Namun aku tidak malu untuk berdoa kepada Mu supaya menjadikan aku orang yang benar-benar cinta kepadanya.
Ya Allah
Aku ingin benar-benar cinta pada dia yang telah mengorbankan semuanya untuk kami menjadi hamba Mu, Dia yang darahnya mengalir membasahi bumi Mu demi kebahagiaan kami disisiMu juga dia yang menyebut-nyebutkan kami disaat sakitnya sakaratul maut. Dia yang memanggil kami Ummati! Ummati! Ummati!.
Kurnikanlah kami hati yang lembut hingga kami mampu mendengar panggilan kasihnya itu ya Allah. Dan janganlah Kau matikan kami ya Allah tanpa cinta kami kepada Mu dan kepadanya.
Amin ya Robbil Alamin.

cinta dan rindu kami

Alhamdulillah, dalam kesibukan masih diberi kesempatan untuk mencoret rasa pada insan mulia. Semoga bingkisan hati yang tidak seberapa ini dapat dirasai atau mengukir cinta dan rindu pada Rasulullah SAW:

Cinta & Rindu Kami
Menelusuri liku-liku hidupmu
Kutemui erti cinta sejati
Cinta jernih semurni embun
Cinta suci setulus pagi

Perit getir yang kau tempuhi
Mengajar kami erti pengorbanan suci
Sungguh, kami jadi mengerti
betapa  eratnya  Cinta dan Pengorbanan diri
Dan sungguh kami menyedari
Betapa sedikit, jiwa yang memiliki

Mencermati luka-luka pada tubuhmu
Atau darah muliamu yang menitis ke bumi
Menjadikan kami malu sendiri
Betapa kerdilnya cinta & rindu kami

Saksikanlah Ya Rasulullah,
Dengan jiwa yang kerdil ini
Dan dengan hati sehina kami
Lembaran kisahmu akan terus kami dakapi
Hingga saatnya kita bertemu nanti

Perkenankanlah Ya Allah,
Agar kami mampu menghadapi pagi
Dengan akhlaq nabi kami
Atau melabuh diri dimalam hari
Dengan istighfar penyuci diri
Agar kami menjadi hamba Mu
dan menjadi ummat nabi kami

teguhkan jiwamu...

Kehidupan tidak selalunya senang dan mendamaikan. Ketika kita belum puas meneguk erti kebahagiaan, keresahan mengintai dengan penuh cemburu dan irihati. Ketika kegembiraan baru memercikkan sinarnya, awan kesedihan tiba-tiba saja berarak memendungkan jiwa.
Inilah kehidupan. Simpang siurnya penuh keraguan dan jalannya dipenuhi ranjau dan duri yang melukakan hati. Betapa banyak jiwa yang tersungkur lesu sebelum tiba ke destinasi yang dituju.
Inilah kehidupan. Liku-likunya menyakitkan jiwa dan kesulitannya begitu menekan. Ada masa-masa mendaki hingga kita terpaksa memerah tenaga dan segala kemampuan yang kita ada hingga ada saatnya kita tersimpuh lesu.
Ya, inilah kehidupan. Jalannya begitu sukar dan membebankan, namun ia perlu diteruskan. Kita tidak diberi pilihan untuk menentukan halangan bagaimana yang ingin dan sanggup kita tempuhi dan kedamaian bagaimana yang kita ingin corakkan pada laluannya. Tangisan bukan penyelesaian, begitu juga dengan keluhan dan kegelisahan. Kesedihan tidak akan meninggalkan kita hingga kita sendiri yang menghindarinya. Segala keputus asaan tidak kan terusir dengan kebencian.
Yang lebih besar dari segala kesulitan, kepayahan dan bebanan itu ialah bagaimanakah sikap kita untuk berdepan dengan segalanya; adakah kita ingin menempuhinya dengan kekecewaan, putus harapan dan kesedihan atau kita ingin hadapinya dengan ketabahan, kepasrahan dan teguh hati.

Teguhkanlah jiwamu
Kerna hidup ini untuk ditempuhi
Bukan ditangisi
Teguhkanlah jiwamu
Agar terlerai segala kesulitan dan kesempitan
Biar semalam berlalu bersama segala kesedihan
Dan esok menanti bersama seribu janji dan impian
Teguhkan jiwamu
Bersama kepasrahan dan pengharapan
Dengan jiwa terbuka, kenal diri dan kenal Tuhan
Sambutlah hari ini dengan lagu kedamaian
Bersama alunan paluan semangat baru

siapakah yang akan sambut seruan kesedaran...

Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut Deen Islam  tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.
Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah SAW semata-mata. Al Qur’an merupakan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.
Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.
Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.
Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam .Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.
Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT,:
Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir  terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya.“ (Surah ali ‘Imran ayat 19)
Islam adalah deen (peraturan hidup) yang ditentukan Allah SWT. Allah SWT yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup
Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah SWT sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan Ilahnya daripada Allah SWT kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.
Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah SAW pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.
Tugas kita saat ini adalah besar dan penting. Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.
Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?
Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.
Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk  suatu kehidupan yang diredhai Allah SWT. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah SWT mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain. Seperti perhimpunan rahsia di rumah Arqam Bin Abi Arqam.
InsyaAllah, kita yakin, di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan  merasai keperluan  untuk bertindak segera. Mereka perlu  dikumpulkan  dan dibimbing agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara’. Begitu juga kembali kepada Allah SWT mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya. Kembali menjadi hamba kepada Allah SWT.
Justeru itu mari kita melayakkan diri kita menjadi salah seorang duta dan da’i agama ini. Kita perlu  keluar  mencari jiwa-jiwa  yang  merasai  kehilangan Rahmat Allah SWT dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah SWT Fitrah Insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melaui proses. Proses apa? Proses tarbiyah islamiyyah.
Juga ditegaskan bahawa da’i perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan Rahmat Allah SWT. Hati-hati yang merasai kehilangan neraca syara’ dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT dalam setiap bidang.
Al Marhum Datok Kaya Bakti Ustaz Dahlan Md Zain ada berkata,: ”Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam  sebagai ad-Deen. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau pembangunan Islam sahaja.  Umat juga  bukan kehilangan masjid dan rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan  pokok, bukan  ranting-ranting.  Umat kehilangan rumah,  bukan  bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam sebagai ad-Deen.”
Kata al marhum lagi,; ”Hati-hati  ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit  sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat  semakin futur atau tidak berfungsi  dengan  betul. Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala  tindakan  berpunca  dari permasalahan aqidah yang mesti dirongkai  terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar  tindakan  yang lahir selaras dengan tuntutan Iman. Iman  kepada  Allah SWT  adalah pemancar. Dari pemancar ini  lahirlah  kerja-kerja Islam. Da’i atau murabbi perlu memahami bahawa   `mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiyah yang menekankan keimanan kepada Allah SWT. Terdapat perbezaan antara tarbiyah dan natijah tarbiyah.”
Wajib mengikuti jalan Rasulullah SAW
Bagaimana kita hendak bermula? Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang dibimbing oleh Allah SWT. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Deen itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang pindaan terhadap cara (uslub)nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.
Kita mestilah bermula dengan langkah yang telah di mulakan oleh Rasulullah SAW. Jalan tarbiyyah yang kita perlu ikuti ialah jalan tarbiyyah Rasulullah SAW. Tarbiyyah Islamiyyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiyyah Islamiyyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu sedang mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.
Begitu juga, Islam sebagai deen bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiyyah (pendidikan). Tarbiyyah yang dirancang, direncana dan disusun dengan rapi serta berhati-hati dan melalui ransangan-ransangan serta bimbingan-bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlaq, jiwanya dan segala tindakan.
Sesungguhnya setiap sistem memerlukan rijal-rijal (pejuang-pejuang). Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang-pejuang Deen Islam, bukan pejuang-pejuang taghut (menolak sistem Islam). Allah SWT akan membantu orang yang membantu Deen-Nya, insyaAllah.
___________________________________________________________________________________________________________________

ukhuwwah atas keimanan itu motivasi

Motivasi ke arah apa?
Iya. Pertamanya perlu dilihat semula, motivasi ke arah apa? Menuju ke mana?
Semestinya bukan menuju ke arah keduniaan semata-mata. Motivasi ini adalah ke arah akhirat, untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Bukan ke arah lain.
Bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu memotivasikan?
Apabila kita mempunyai rasa cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT, pastinya antara perkara yang kita tidak akan berusaha untuk lakukan kepadanya adalah – menyusahkannya. Juga, apabila kita mempunyai rasa cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT, pastinya antara perkara yang kita mati-matian usahakan kepadanya adalah – menjadi seorang yang mampu membantunya.
Maka di sini kita lihat, apabila kita mencintai seseorang itu kerana Allah SWT, akan wujud satu ‘force’ untuk menjadi seorang hamba Allah SWT yang baik. Kita akan lebih berusaha untuk menjaga diri. Kita akan berusaha mempertingkatkan diri, ketahanan ruhi, dan juga kematangan mental kita. Sekaligus, kita berusaha juga menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah larang, yang akan menjemput kemurkaan Allah SWT dan yang akan merendahkan darjat kita sebagai hamba Allah SWT.
Jadi, akan timbul satu persoalan.
Mengapa apabila kita cintakan seseorang itu kerana Allah SWT, kita seakan ada ‘force’ untuk bergerak sedemikian rupa?
Kerana kita cintakan dia. ^^
Hal ini kerana, kita cintakan dia kerana Allah SWT. Kita nak, kita dan dia mampu berpimpinan tangan ke syurga sana.
Maka, sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita perlulah menjadi ‘peringan beban’ kepada sahabat kita. Sebab itu, kita berusaha untuk tidak menyusahkannya dengan mencampakkan diri kita ke neraka. Sebab, sekiranya kita merosakkan diri kita, membiarkan diri kita dicengkam jahiliyyah, kita sudah ‘menyukarkan’ sahabat kita dengan membuatkan dia ‘perlu meluang masa dan tenaga’ untuk ‘menyelamat’kan kita. Tidakkah kita melihat?
Dan, sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita juga perlulah menjadi seorang yang ‘kuat’ kepada sahabat kita. Agar, sekiranya ditakdirkan Allah jatuhkan sahabat kita, yakni dia tersasar dari jalan yang membawanya ke syurga, kita ‘mampu’ menyelamatkan dia. Kita ‘mempunyai’ kekuatan untuk menyelamatkan dia. Kita ‘boleh’ mempertahankan dia. Bukan sekadar mampu memandang, tengok, dan kata belakang semata-mata. Jadi, kekuatan untuk melakukan kerja-kerja menyelamtkan sahabat yang gugur ini, hanya mampu dilakukan oleh seorang sahabat yang punya kekuatan sahaja. Sebab itu, sekiranya kita sahabat yang baik, kita akan siapkan diri kita sungguh-sungguh untuk menghadapi kemungkinan tersebut.
Penutup: Tidakkah kita melihat?
Indah bukan ukhuwwahfillah ini?
Indah. Bukanlah ukhuwwah itu sebenarnya ditunjukkan dalam bentuk “Si A berikan Si B sesuatu”. Tetapi ukhuwwah juga sebenarnya tertonjol dalam bentuk “Si A jaga dirinya betul-betul” walaupun situasi itu nampak macam situasi persendirian. Namun hakikatnya, ia adalah satu hubungan dua hala.
Indah. Amat indah. Itulah dia ukhuwwahfillah.
Moga, sedikit motivasi ini, membuatkan kita semakin berlumba-lumba untuk menjadi seorang pengejar akhirat, hamba Allah SWT yang terhebat insyaAllah. Tidak menyusahkan sahabat kita, pada masa yang sama, menjadi seorang yang kuat untuk mempertahankannya.
Semoga hal ini, mampu kita bumikan dalam kehidupan kita.