BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, June 2, 2011

liku-liku perjuangan palestin:di manakah posisi kita???

Liku-liku Perjuangan Palestin, dimanakah posisi kita?
Oleh : BroHamzah
Masih segar dalam ingatan saya, pengalaman bersama dengan seorang pejuang Palestin yang hadir ke Malaysia tahun lepas ketika mengiringinya sepanjang sesi perkongsian beliau berkaitan isu Palestin. Semalaman saya dan dua orang sahabat saya menemaninya ketika beliau hadir dalam kunjungan ke Kota Bharu.
27 April 2010, adalah tarikh yang sangat istimewa buat saya. Allah SWT mengizinkan saya bertemu dan menyelami kehidupan seorang pejuang yang bermatian-matian mempertahankan deen Allah SWT dan juga tanah air ummat Islam iaitu Bumi Palestin.

Abu Mu’min, individu yang bertubuh sasa dan memiliki raut wajah yang dihiasi ketenangan dan kedamaian. Beliau adalah salah seorang insan yang dilahirkan di Bumi Palestin dan dibesarkan di Bumi Barakah itu. Alhamdulillah, dalam tempoh yang sangat singkat, Allah SWT mengurniakan kesempatan yang jarang saya perolehi. Kesempatan, untuk menilai diri dan diberi satu pengajaran yang sangat besar dalam hidup.
Abu Mukmin, merupakan salah seorang yang kuat dan aktif memperjuangkan isu Palestin. Isu yang berkaitan rapat dengan soal akidah ummat Islam. Tiupan semboyan semangat cintakan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian harus disemarakan setiap masa dan ketika. Ia tidak boleh luput daripada jiwa-jiwa para pemuda dan seluruh ummat Islam.
Benar. Palestin dan darah yang mengalir tumbuh di bumi perjuangan ini telah mengugah nurani umat Islam seluruh dunia. Ini jelas seperti yang diungkapkan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi :
“ Palestin dan Baitulmaqdis mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Hal ini sudah disepakati oleh seluruh kaum Muslimin dan seluruh kelompok, mazhab dan aliran-alirannya dan sudah menjadi ijmak umat dari satu hujung dunia sampai ke hujung dunia yang lain. Maka tidaklah menghairankan apabila seluruh kaum muslimin selalu konsisten dalam membela, ingin sangat (ghairah), melindungi tanah, kehormatan dan kesucian Baitulmaqdis serta mengorbankan jiwa, raga dan harta benda dalam melindungi dan mengusir para pencerobohannya.”
Saya masih teringat perkongsian saya bersamanya dalam sembang-sembang kami sewaktu ditempat penginapan di Bandar Kota Bharu. Beliau menceritakan kepada kami, tentang kehidupan para pemuda Palestin yang dididik dengan didikan ruh Islam yang kuat dan berpengaruh.
Rahsia menjadi pejuang ummah
Seorang sahabat saya menanyakan tentang rahsia pendidikan mereka dalam membentuk generasi muda yang beriman dan seterusnya mampu menjadi pejuang agama Allah SWT.
Wahai pemuda, kami mulakan semua ini dengan proses Tarbiyah Islamiyah. Proses menyemai keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT di dalam jiwa dan sanubari anak-anak kami yang masih kecil. Inilah ASAS utama kami. Tarbiyah Islamiyah.” Ujar Abu Mukmin.
Mendidik Remaja di Palestin
“ Setiap remaja di Palestin, akan mempunyai pertemuan mingguan secara berterusan. Dalam tempoh lebih kurang dua jam, mereka akan di minta menghafal 10 ayat Al-Quran, menghafal satu hadis Rasulullah SAW, berbincang satu bab dari Sirah Nabi SAW, menambah maklumat pengetahuan tentang Negara Ummat Islam. Perkara ini berlaku secara konsisten sehinggalah kini.” Ceritanya lagi.
Saya dan sahabat saya khusyuk mendengarnya. Tarbiyah Islamiyah (Didikan Islam) yang mengakari hati pemuda Palestin menjadi tunjang kebangkitan rakyat Palestin. Kini, saya sedar dan faham : bahawa rahsia mereka adalah tarbiyah.
Proses penanaman aqidah berlaku dengan teliti dan ianya adalah perkara pokok yang menjadi tunjang pembinaan generasi syabab (pemuda) di Palestin. Penyebaran Kefahaman Islam dan kesedaran Islam melebar secara meluas di Palestin sehingga jiwa-jiwa anak-anak muda terusik untuk bangkit dan menjiwai deen mereka secara sedar dan bersungguh-sungguh. Mereka difahamkan tentang halal dan haram dalam Islam. Mereka juga diingatkan agar menjauhi perkara maksiat dan mungkar.
Saya begitu teruja dengan proses tarbiyah ini. Ia berlaku secara real dan perlaksanaan juga diteliti dan dipantau agar segala proses pembentukan asas ini benar-benar kukuh dan terpasak teguh dalam jiwa anak-anak muda Palestin. Maka, lahirlah nama-nama hebat yang melingkari sejarah perjuangan Palestin.
As Syahid Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantisi, As Syahid Muhannad, As Syahid Faris Audah dan ramai lagi. Mereka melakarkan sejarah kehidupan mereka dengan darah perjuangan yang suci dan mereka telah membuktikannya.
Saya sangat-sangat mengagumi As Syahid Ahmad Yassin. Sejarahnya, kehidupannya, kezuhudannya dan perjuangannya benar-benar menggugah jiwa saya. Beliau  merupakan anugerah Allah swt yang amat berharga buat rakyat Palestin dan umat Islam. Beliau adalah seorang mujahid sejati, pejuang yang berjiwa kental, tokoh yang luar biasa, motivator, perancang strategi dan sumber inspirasi ribuan rakyat Palestin yang mahukan kebebasan.
Beliau merupakan ikon ketegaran perjuangan umat Islam Palestin dan sumber inspirasi bagi para mujahid yang berjuang di jalan yang sukar ini. Sekali lagi ditegaskan beliau telah membuktikan kelemahan tubuh badan bukanlah halangan untuk terus berjuang dan akhirnya mati syahid. Yang merbahaya ialah kelemahan iman dan jiwa.
Teringat saya kepada seorang Syeikh dari Palestin yang pernah datang ke Malaysia sebelum ini. Matanya buta, tetapi mata hatinya celik jauh melampaui kecelikan orang-orang yang celik matanya.Namanya, syeikh Abu Bakr :
Antara pesannya, “Mulailah dari mencintai Al-Quran. Didikan itu telah melahirkan satu generasi yang beramal untuk akhirat.”
Itulah rahsia kekuatan jiwa mereka. Al-Quran dan Al-Quran sahaja.
Mereka tidak mengutip ayat-ayat Allah itu sekadar untuk dihafal atau dilagukan, bahkan menjadi satu inspirasi kekuatan jiwa buat diri mereka. Bahkan, seorang budak lelaki Palestin, iaitu Ibrahim Nizar Rayyan selalu berdoa agar Allah kurniakan syahid kepada dirinya. Berapa umurnya ketika itu? 16. Baru 16 tahun. Tetapi, amalannya mendahului orang yang berumur 61 tahun barangkali. Dia selalu qiamullail dan berpuasa sunat.
Ibunya yang mendengar doanya, bahkan membenarkannya. Akhirnya, dia berjaya membunuh seorang ahli nuklear Zionis. Mari kita tanya diri kita dan masyarakat kita, di manakah anak-anak muda kita yang berumur 16 tahun dan ke atas hari ini?
MasyaAllah.
Nasihat Buat Kami

Pada saat malamnya, Abu Mukmin mengimami Qiamullail solat sunnat dua rakaat, kemudian beliau memberi sedikit tazkirah sebelum kami lelapkan mata pukul 2.30 pagi. Dan selepas itu, kami diajar cara bersenam. Katanya, beliau tidak bersenam pada siang hari kerana sibuk dengan aktiviti yang disusun untuknya. Jadi, dengan kesempatan dan ruang yang ada kami bersenam secara ringkas sebelum tidur.
“ Saya berpesan kepada kalian. Biasakan diri antum dengan Qiamullail (mendirikan malam) walaupun hanya dengan dua rakaat. Antum perlu sentiasa beriadhah untuk kekuatan fizikal, lazimi ibadah-ibadah sunnat dan beristiqamahlah antum.”
Katanya inilah kekuatan seorang mukmin. Beliau menceritakan, seorang ketua mereka yang telah Syahid iaitu Dr Rantisi, setiap malam akan mendirikan qiamullail (solat malam)  3-5 jam semalam, dan tidak pernah meninggalkannya dalam kehidupan beliau. Solat sunnat dhuha dilazimi sentiasa dan selalu berzikir dan beristighfar kepada Allah SWT memohon keampunan kepada Allah SWT.
Sebelum pulang semasa saya dan sahabat saya, Abu Mujahid menghantar beliau ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan sekali lagi beliau berpesan :
“ Akhi, jangan tinggalkan Qiamullail dan perlu selalu riadhah. Setahun lagi jika kita berjumpa, antum akan merasai kelainannya jika antum laksanakan pesanan ini secara istiqamah. Jika gagal melaksanakannya, antum akan menyesal.” Beliau berpesan dengan bersungguh-sungguh sambil memandang tepat ke mata saya.
Saya berkata : “ Syukran Abu Mukmin, sehingga berjumpa lagi nanti.”
Beliau tersenyum dan menjawab : “InsyaAllah, Kita akan bertemu di syurga nanti.”

Kekuatan ruhiyah dan imaniyah merentasi liku-liku perjuangan

Liku-liku perjuangan rakyat Palestin diwarnai dengan kesengsaraan, keperitan, simbahan darah merah, kekejaman, kezaliman dan air mata. Melihat segala bentuk penderitaan mereka di kaca televisyen tidak sama dengan penderitaan fizikal yang dirasai sendiri oleh mereka. Ya tidak sama.
Kita melihatnya dengan mata di sudut dunia yang berbeza dengan mereka. Hati kita sebak, terharu dan sedih buat seketika. Rasa simpati tumbuh berputik kecil di sanubari. Tetapi, mereka melaluinya sendiri. Segala perasaan, pengalaman dan segala-galanya dilalui dengan linangan air mata berdarah, ditempuhi suka duga yang menguji jiwa dan semua ini dilalui dengan ketabahan dan kepasrahan.
Namun, rakyat dan pemuda Palestin memiliki keazaman, kekuatan dan kekentalan hidup yang sungguh luar biasa. Jarang-jarang sekali kita dapat melihat rakyatnya sunggul sedih dan hilang arah hidup. Mereka kelihatan bersahaja, kuat dan teguh berdiri dengan perjuangan yang satu.
Begitu juga dengan Abu Mukmin, bersamanya saya menyelami perasaan ruh perjuangan yang suci ini. MasyaAllah, saya mendapat ,ibrah dan pengajaran yang berharga bersamanya. Saya simpulkan bahawa dalam perjuangan yang panjang dan penuh getir ini – pemuda-pemuda Palestin memiliki satu benteng kekuatan yang sangat luar biasa.
Ya. Kekuatan yang menjadi keperibadian mereka kuat dan tabah dalam menempuhi segala bentuk ujian dan peperangan daripada pihak musuh Zionis Israel laknatullah.
Inilah kekuatan ruhiyah. Ruhiyah yang menjadi asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan menyimbah jiwa mukmin sejati. Akhirnya, yang memenuhi jiwa mereka adalah cinta yang luhur, suci lagi abadi. Yang mereka cintai sesungguhnya adalah Allah SWT. Ia adalah kebenaran dan ia menjadi misi kehidupan mereka.
Saudara dan saudari, bagi saya inilah :
Kepemudaan dan kepewiraan yang sebenarnya. Jiwa yang gelojak perasaan manusia dengan ruh yang membara dan sentiasa membangkitkan perasaan untuk berjuang di tahap tertinggi. Lantas, kepada siapakah yang kita harapkan untuk menggerakan perjuangan ini?
Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah para pemuda dan pemudi. Usirkanlah kenangan mimpi palsu di ufuk senja yang beransur pergi, dan pasakanlah cita-cita yang murni di tanah bumi yang pasti. Pemuda-pemudi, marilah kita sedarkan nurani dengan keghairahan dan keimanan bahawa permasalahan yang berlaku di bumi Palestin adalah tanggungjawab kita bersama.

Perjuangan di bumi Palestin, kita mempunyai hak untuk menyokong dan mendokongnya.
Saya berkesempatan menghadiri sebuah seminar antarabangsa yang berkaitan isu Palestin dan Misi Kemanusiaan Gaza 2011 baru-baru ini. MasyaAllah, banyak input-input baru dan info yang saya perolehi berkaitan isu Palestin. Kini, kita semua perlu mengetahui bahawa pihak Lifeline4Gaza , gabungan NGO di Malaysia sedang bersiap sedia untuk melancarkan Freedom Flotilla Two yang dijangkakan berlepas ke Gaza pada hujung bulan Jun 2011 nanti.
Apa peranan kita?
Banyak perkara yang boleh kita lakukan, antaranya :

  • Tunjukan keprihatinan kita tentang isu Palestin, keamanan dan kemanusiaan dengan memandangnya dengan serius serta mengambil berat lagi cakna. Setiap hari kita mengikuti setiap perkembangannya yang disebarkan melalui laman web yang berkaitan Palestin dan juga berita semasa di media cetak mahupun elektronik. Antara laman yang boleh di layari :
  • Menyokong misi dan projek ini sebagai lanjutan kepada Misi Freedom Flotilla yang pertama pada tahun 2010 (Mavi Marmara) dengan mengikuti perkembangan Palestin secara konsisten dan penuh peka.
  • Membantu menyebarkan poster-poster, laman-laman website dan apa jua sebaran yang berkaitan dengan usaha-usaha menyelamatkan rakyat Palestin daripada cengkaman zionis Israel.
  • Memperbanyakan doa, munajat dan solat hajat di dalam solat serta ibadah fardu serta sunnat kita kepada Allah SWT. Mohon agar Allah SWT berikan mereka kekuatan, ketabahan dan pertolongan yang tidak putus-putus daripada Allah SWT.
  • Memberi sumbangan dengan seikhlas yang termampu dari segi kebendaan, kewangan dan apa jua yang mampu meringankan bebanan penderitaan rakyat Palestin.
  • Tidak jemu-jemu mewar-warkan isu Palestin kepada masyarakat, penduduk setempat dan sesiapa sahaja berkenaan. Kobarkan semangat dan ruh mereka untuk menyelami dan menghayati isu ini dengan kefahaman, keyakinan, kesedaran dan kepercayaan yang membulat kepada Allah SWT.
  • Usaha memboikot segala barangan yang mempunyai saham atau memberikan sumbangan kepada Zionis Israel dengan konsisten dan istiqamah. Mengenalpastinya berdasarkan kepada maklumat yang benar dan sahih kemudian semarakannya dikalangan ahli keluarga dan masyarakat.
  • Terus-menerus menghidupkan semangat perjuangan rakyat Palestin dan menyokong mereka 100 % tanpa lalai dan alpa. Mengikuti setiap berita, kisah dan perkembangan dengan hati yang simpati, cakna dan peduli. Ia adalah titik keberhasilan dalam membantu rakyat Palestin.
Marilah, kita semarakan kempen ini untuk saudara-saudara terdekat kita, jiran tetangga, sahabat handai, rakan-rakan sekampung, kenalan di pejabat dan sesiapa sahaja. Mudah sahaja, gunakan kemudahan yang ada :
  • Kemudahan emel, sebarkan sebarang artikel dan maklumat terkini kepada mailist anda.
  • Gunakan akaun Facebook anda, sedarkan semua rakan anda bahawa kempen Freedom Flotilla akan bermula tidak lama lagi. Hiasilah gambar profile anda dengan gambar Palestin atau apa-apa yang mengambarkan perjuangan Palestin.
  • Bagi yang memiliki blog, website dan velog. Inilah masanya anda memberikan sumbangan. Nah, penangan para blogger dan velogger sememangnya ada aura dan impaknya. Anda harus memainkan peranan ini.
  • Bagi yang memiliki telefon bimbit, anda juga berpeluang untuk menyertai kempen ini. Gunakan mesej anda, sebarkan maklumat dan kata-kata semangat untuk membantu Palestin.InsyaAllah, usaha anda akan diganjari oleh Allah SWT.
Ayuh, marilah sama-sama kita bergandingan bahu. Kita mampu memberikan sesuatu untuk rakyat Palestin. Tidak kira siapakah kita.
Pelajarkah kita, pensyarah atau gurukah kita.
Seorang kakitangan awam atau profesional.
Pemimpin atau rakyat biasa.
Suri rumah atau wanita yang berkerjaya.
Ataupun, siapa-siapa pun kita.
Kita berhak ke atas rakyat Palestin. Mereka adalah saudara seaqidah dengan kita. Mereka memerlukan kita. Mereka hajatkan kita memberikan sesuatu untuk perjuangan ini. Tatkala, mereka sedang berjuang di medan yang sebenar mempertahankan bumi Palestin yang tercinta, mereka berdoa dengan penuh rintihan, kesayuan dan pengharapan agar ada hati-hati dikalangan saudara mereka di luar Palestin mengambil peduli akan nasib mereka. Tidak tergerakah jiwa-jiwa kita untuk bersama mereka?
InsyaAllah – kita mampu memainkan peranan dan memberikan sumbangan. Soal Palestin, adalah soal bersama. Kepedulian kita adalah soal keimanan dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Jadi, anda berhak menempatkan posisi anda dalam isu perjuangan Palestin. Jadi, apakah pilihan anda

0 comments: