BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, June 2, 2011

merindui ainaa'ul mardhiyah

Rindu!..Ermm..hari ini rindu pada seseorang sudah menjadi kebiasaan pada anak muda kita. Bukankah rindu itu satu perasaan indah yang dianugerahkan Allah SWT pada kita. Namun, sejauh mana rindu kita itu satu anugerah Allah SWT atau sekadar perasaan dari nafsu amarah? Menjadi pemuda luarbiasa di sisi Allah, rindunya pada seseorang akan membawa kebahagiaan di syurga, persoalannya mampukah kita miliki rindu sedemikian? Mari kita belajar dari seorang remaja dan pemuda luarbiasa yang merindui Ainaa’ul Mardhiyah, bidadari syurga.

Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid:
“Pada suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk keluar ke medan peperangan, lalu seorang daripada kami membacakan ayat 111 surah at-Taubah yang bermaksud:
“Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum mukminin jiwa dan harta mereka dengan di bayar syurga.”
Di dalam majlis itu ada seorang pemuda berumur 15 tahun. Beliau yang baru kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata:
“Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu.”
Subhanallah, masih adakah remaja seusia 15 tahun mampu berdiri teguh dan mengungkapkan semangat jihad dan kecintaaannya pada syurga Allah sehingga sanggup memberikan segala hartanya?
Abdul Wahid lantas berkata kepada anak muda itu: “Sungguh berat untuk menghadapi tajamnya pedang sedangkan kamu masih kanak-kanak, aku takut kamu tidak tabah, juga tidak sabar untuk menghadapinya sehingga tidak kuat meneruskan penjualanmu itu.”
Pemuda itu lantas berkata: “Wahai Abdul Wahid, apakah aku akan lemah kalau aku menjualkan diriku pada Allah SWT? Aku persaksikan padamu sekali lagi bahawa aku telah menjualkan diriku pada Allah SWT.”
Maka pemuda itu menyerahkan semua hartanya yang ada kecuali pedang, kuda dan sedikit bekalan untuk ke medan perang.
Inilah pemuda yang dirindui umat saat ini. Mempersiapkan diri, ilmu, harta dan kemewahan untuk Deenul Islam. Tatkala semboyan jihad berseru, ia tampil ke hadapan menyerahkan harta dan jiwanya untuk Islam. Inilah kualiti pemuda yang seharusnya ada dalam diri kita. Bukan sekadar berfikir untuk diri sendiri semata atau sekadar mengisi perut sendiri sahaja dan mengumpul kekayaan untuk memenuhi kehendak peribadi.
Abdul Wahid meneruskan ceritanya. Ternyata pemuda tadi benar-benar mengotakan janjinya. Orang yang pertama sampai untuk berangkat ke medan perang adalah pemuda tersebut. Ketika perjalanan, pemuda itu berpuasa di siang hari dan bangun solat serta menjaga keselamatan di malam hari. Ketika sampai di sempadan negeri Rom, suatu hari saat selepas waktu Asar, pemuda itu meluru sambil menyeru:
“Alangkah rindunya aku akan Ainaa’ul Mardhiyah.”
Lalu Abdul Wahid bertanya kepadanya: “Wahai kesayanganku, siapakah itu Ainaa’ul Mardhiyah?”
Pemuda itu menjawab: “ Tadi aku tertidur sebentar. Aku bermimpi seorang datang kepadaku seraya berkata, mari aku bawa kamu bertemu Ainaa’ul Mardhiyah. Aku di bawa ke satu taman yang sangat cantik. Di situ ada sungai yang airnya sangat jernih. Aku melihat ramai gadis yang kecantikan mereka tidak dapat aku gambarkan, lengkap dengan perhiasan sedang bermain di taman itu. Apabila mereka menyedari kehadiranku, dengan wajah teramat gembira mereka berkata, demi Allah, itulah suami Ainaa’ul Mardhiyah. Lalu aku memberikan salam kepada mereka dan bertanya apakah di sini tempat Ainaa’ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata, tidak kami hanyalah budak dan pelayan, majulah kamu ke hadapan lagi.”
Pemuda itu meneruskan ceritanya: “ Akupun meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu taman yang ada sungai susu yang tidak berubah rasa. Kehadiranku disambut oleh sekumpulan gadis yang lebih cantik dari yang pernah kulihat sebelum mereka. Mereka berkata, demi Allah lihatlah, suami Ainaa’ul Mardhiyah sudah sampai. Akupun memberikan salam kepada mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata bahawa mereka hanyalah budak dan pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan perjalananku.”
Pemuda itu berkata lagi: “Aku meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu lembah yang ada sungai khamar pula. Di situ ramai gadis sedang bersukaria, yang mana mereka lebih cantik sehingga menyebabkan aku lupa akan kecantikan gadis-gadis yang aku lihat sebelumnya. Akupun memberikan salam kepada mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul Mardhiyah? Mereka juga berkata tidak dan berkata bahawa mereka hanyalah budak dan pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan perjalananku ke hadapan.”
Pemuda itu menyambung ceritanya: “ Aku kemudian bertemu pula dengan sungai madu di dalam satu kebun. Kulihat kebun itu dipenuhi dengan ramai gadis yang bagaikan cahaya dalam kecantikan mereka. Akupun mengucapkan salam kepada mereka dan bertanya apakah ada kalangan mereka Ainaa’ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata bahawa mereka hanyalah budak dan pelayan Ainaa’ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku maju ke hadapan.”
Pemuda itu mengakhirkan ceritanya: Akupun meneruskan perjalanan. Kemudian aku sampai pada satu khemah yang diperbuat dari permata yang indah. Kulihat ada seorang gadis putih bersinar kemerah-merahan yang lebih cantik dari sebelumnya sedang menjaga pintu khemah tersebut. Setelah ia melihat akan kehadiranku, dengan nada gembira ia berseru, wahai Ainaa’ul Mardhiyah, suami kamu sudah sampai. Akupun menuju khemah tersebut. Di dalam khemah itu ada satu tempat tidur yang diperbuat dari emas yang bertaburan dengan berlian. Sungguh aku terpesona bila aku melihat akan kehadiran seorang gadis yang sangat cantik rupawan, menatapku dalam senyuman duduk di atas tempat tidur berkenaan. Dengan alunan suara merdu ia menyambutku di gerbang pintu syurga dengan kalimat, “Marhaban bi waliyir Rahman”, sudah terlalu hampir saat pertemuan kita.Aku ingin menghampirinya, lantas Ainaa’ul Mardhiyah berkata kepadaku, sabarlah dahulu wahai kekandaku kerana belum tiba masanya. Kamukan masih hidup di alam dunia. Nanti bila malam, kamu akan berbuka puasa di sini, insyaallah. Kemudian akupun tersedar dari tidurku. Wahai Abdul Wahid, aku rasa tidak sabar lagi.”
Abdul Wahid berkata, “Belum sempat pemuda itu menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba kami di serang oleh pasukan musuh. Bersama pemuda itu kami melakukan serangan balas. Setelah Berjaya pemuda itu membunuh Sembilan orang tentera kafir, akhirnya aku melihat pemuda itu rebah. Akupun segera menuju kepadanya. Dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah, kulihat pemuda itu dalam keadaan tersenyum sehinggalah ia syahid meninggal dunia.”
Kisah ini penulis kutip dari kitab “Kunci Mendapatkan Syurga Di Dunia dan Di Akhirat” karya Dr. Aidh Al Qarni. Kisah pemuda luarbiasa ini seharusnya memberikan inspirasi kepada para pemuda untuk tidak berlengah lagi mempersiapkan dirinya untuk membela Islam. Peluang kita para pemuda adalah cerah untuk bertemu dengan Ainaa’ul Mardhiyah. Kerana kita berada dalam keadaan Islam telah kehilangan daulahnya. Dalam keadaaan sistem Allah SWT tidak berjalan di atas muka bumi ini dan sistem taghut bermaharajalela. Namun begitu wahai pemuda, perlulah kita memiliki kualiti amal seperti suami Ainaa’ul Mardhiyah, pemuda luarbiasa. Beliau mengajar kita untuk berjihad, memilih untuk menjual dirinya kepada Allah SWT dengan harta dan jiwa raga. Sang pemuda, suami Ainaa’ul Mardhiyah memiliki amal qawwi, ibadahnya luarbiasa dengan solat, puasa dan tahajjud. Tidak salah untuk kita wahai pemuda merindui Ainaa’ul Mardhiyah. Namun persiapkan dirimu, jangan berlengah lagi. Ainaa’ul Mardhiyah sedia menantimu.
Semoga Allah memilih kita untuk menjadi pemuda berani yang mencintai akhirat dan syurga melebihi segalanya.
“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (yang selamat)” (Yunus: 25)

0 comments: