BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 2, 2011

meraih himmah melalui terminal penyucian hati

Air yang jernih – ia suci dan menyuci. Mengalir menuruni bukit dari satu tahap ke satu tahap. Terminal penyucian hati kita turut melalui stesen-stesen pembersihannya. Sedarkah kita akan hakikat ini?
Meraih Himmah Melalui Terminal Penyucian Hati
Oleh : BroHamzah
Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdullilah.
Minggu lepas, setelah bercuti dalam tempoh yang agak panjang – alhamdulillah- saya diberikan kesempatan, peluang dan ruang untuk meneruskan liqo’ (pertemuan) mingguan saya bersama murabbi dan sahabat-sahabat yang saya kasihi. Benar-benar terasa kerinduan akan suasana yang mendidik hati dan membangkitkan keimanan kepada Allah SWT.
Inilah anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada saya. Biah solehah ( suasana yang baik) yang menyuburkan keimanan dan menyemai rasa perhambaan kepada Allah SWT. Benar, kecintaan kepada keimanan adalah anugerah pemberian Allah SWT yang sangat mulia, berharga dan tinggi darjatnya. Ia membuatkan jiwa dan hati kita benar-benar terasa akan keindahan, kebahagiaan dan ketenteraman bersamanya.
Malam itu, murabbi saya memulakan pertemuan kami dengan muqaddimah yang menyuntik perasaan saya :
“ Pada malam ini, ana ingin mengajak semua sahabat-sahabat untuk kita melihat suatu perkara yang tidak boleh sama sekali kita abaikan dan pandang remeh. – Tazkiyatun Naf ( Penyucian Jiwa) adalah satu tuntutan kepada kita. Ia sangat-sangat penting untuk mengelak kelesuan ruh.” [1]
Malam itu – tanpa jemu, bosan dan alpa- murabbi saya  menyentuh soal Tazkiyatun Nafs. ( Penyucian Jiwa). Katanya, Tazkiyatun Nafs adalah satu tuntutan yang mesti berlaku prosesnya dalam kehidupan muslim. Seringkali, aspek ini diabaikan dan diremeh-remehkan sehingga membawa kepada kelesuan ruh.
Ya.Hati gersang, kosong dan benar-benar kering. Mungkin, kita aktif dan komited dengan kehadiran dalam program tetapi proses pendidikan, penyucian dan pembersihan hati tidak berlaku. Inilah adalah penyelewengan dan satu kesalahan yang besar bagi seorang yang bergelar mukmin muslim. Malah, ia akan menyebabkan satu penyakit yang sangat barah dan parah bagi hati. Tanpanya, kita bimbang – kita akan dihinggapi dan dijangkit penyakit dosa dan maksiat tanpa sedar.
Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur- nasihat, tazkirah dan penyampaian itu sangat tepat dan kena pada masanya.
Ia seolah-olah seperti hembusan ketenangan daripada langit yang menguatkan hati, membangkitkan perasaan himmah dan meneguhkan keazaman diri.
Manfaat buat kita semua
Kita lihat dan perhatikan hal ini dengan bersungguh-sungguh tanpa alpa dan lupa. Tanpa berlengah dan kalah. Melihat amal kita untuk disuburkan dan dikembangkan untuk keredhaan-Nya. Teringat kata-kata Majdi al-Hilali :
“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN & NAFSU.”
Justeru bagaimanakah kita peka, sensitif dan mengambil cakna akan hakikat ini? Saat ini, kita kembali kepada proses Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan  semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.
Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajud, amalan-amalan wirid al-Mathurat, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Semalam, murabbi berpesan :
“ Jadikanlah Zikir al-Mathurat sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”
Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah. Oh ya, saya teringatkan perkongsian saya berkaitan syurga pada minggu lepas berkaitan syurga.
Syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ahli syurga – bersih dan suci
Justeru, saya ada sebutkan berkaitan terminal penyucian hati – ia umpama stesen atau persinggahan untuk kita bersihkan diri daripada dosa dan maksiat yang seringkali kita lakukan berulang-ulang kali.
Dalam buku, Hati Sebening Mata Air – karya Amru Khalid, ia menjelaskan bahawa syurga diciptakan untuk mereka yang benar-benar bersih hatinya, tiada perasaan busuk hati, perasaan dendam dan dengki dengan orang lain. Bahkan, setiap penghuni syurga harus benar-benar suci dari dosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” [2]
Anda boleh semak ayat ini di dalam mushaf Al-Quran, cuba perhatikan dengan teliti satu perkara dalam ayat ini iaitu dhibtum طبتم artinya kalian disucikan dari maksiat dan dosa. Mafhumnya, syarat untuk menghuni dan menjejaki syurga adalah , kita harus baik lagi suci, suci dari dosa – sehingga tidak memiliki dosa, meskipun sebiji dzarrah pun.
MasyaAllah! – Bayangkan diri kita, hati kita, dosa-dosa masa silam, maksiat hari ini, kekotoran hati, kejijikan pada jiwa akibatnya dan kerosakan yang telah berlaku kepada fitrah kesucian kita. Justeru, bagaimana ini terjadi? Sementara kita semua berdosa dan bermaksiat? Apakah nanti, tidak aka nada yang memasuki syurga?
Bukan begitu, malah ramai yang menjejaki dan dimasukan syurga tanpa azab. Cuma, ingin dibawakan di sini – bahawa syurga hanya akan dihuni oleh insan, hamba Allah dan manusia yang benar-benar suci. Kerana itu, Maha Suci Allah SWT – yang menjadikan sebelas terminal penyucian. Ia adalah medium dan media menyucikan diri untuk menghuni syurga : 4 di dunia, tiga di alam kubur dan 4 di akhirat. Ingat 4 – 3 – 4 !

Terminal-terminal Penyucian
Sebelum saya berkongsikan tentang perkara ini, harus difahami dan diyakini bahawa – sebagai insan kita – bahawa kita akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Untuk meraih rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya : kita harus melakukan, melaksanakan dan berusaha membersihkan hati, menjernihkan sanubari dan memperbaharui keputihan jiwa sendiri. Caranya, bagaimana? – Ayuh kita semak terminal penyucian ini.
Terminal : Empat [4] di alam dunia
[1] Taubat
Saudara sidang pembaca – terminal pertama, utama dan terpenting ialah terminal taubat. Ia harus diperbaharui, dimurnikan dan disegerakan.
Taubat – ertnya ialah kembali : rasa menyesali, takut dan ingin kembali kepada Ilahi. Sebuah perasaan yang menggugah perasaan, ia penuh nikmat dan diganjari dengan kemanisan yang tidak terungkap dengan bicara kata. Ia menyucikan diri dari segala dosa dan noda, lalu kembali kepada rabb dengan segala kesedaran, kefahaman, keyakinan dan kesungguhan.
Kita contohi, Sufyan ats- Tsaury RA – seorang tabi’in yang warak yang menimba ilmu daripada sahabatnya berkata : “ Suatu hari aku duduk-duduk menghitung dosa-dosaku.Lalu aku berkata pada diriku, “ Kau akan bertemu Allah, wahai Sufyan, Dia akan menanyakan padamu dosa demi dosa.”
[2] Istighfar
Kesinambungan terminal pertama ialah – mengamalkannya iaitu melalui kaedah ini.
Beristighfarlah dari dosa yang tidak kita ingat. Rasulullah SAW beristighfar 100 kali setiap hari dengan penuh kerendahan, penyesalan dan rasa perhambaan. MasyaAllah – insan yang mulia, maksum (terpelihara dari dosa) dan agung ini sentiasa membersihkan dirinya. Justeru apakah yang menghalang untuk kita berbuat demikian?
Memperbanyakan istighfar kerana ia akan menyinari hati agar terus hidup dan segar serta membangkitkan perasaan untuk mengerjakan kebaikan dan kebenaran.
Firman Allah SWT bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”
( An- Nisa 4 : 106)
[3] Kebaikan
Terminal seterusnya ialah memperbanyakan kebaikan dan amalan-amalan soleh. Saudara, tahukah saudara dan saudari sekalian – amalan-amalan soleh umpama haruman yang akan menyemarakan bau-bau yang menyenangkan dan membahagiakan sesiapa sahaja.
Dan – perbuatan kebaikan akan menghapuskan perbuatan yang buruk, keji dan jijik. Ia membakar dan melenyapkan segala perbuatan-perbuatan yang mengabaikan diri kita.
Ada satu kisah. Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “ Aku telah mencium seorang wanita daripadanya,” sehingga turun ayat :
“ Dan, dirikanlah solat itu pada pagi dan petang (siang) dan pada permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”
( Hud (11) : 114)
Lelaki itu bertanya , “ Wahai Rasul, apakah ini untukku?,” Rasul menjawab, “ Untuk melakukan itu dari umatku.” [3]
[4] Musibah yang menghapuskan
Musibah, ujian, dugaan – berbentuk kesakitan, keperitan, penderitaan, kehilangan, kematian, bencana dan apa jua bentuknya : ketahuilah ia adalah bentuk terminal penyucian hati kita. MasyaAllah – sangat-sangat indah didikan Allah SWT kepada kita.
Betapa kasihnya Allah SWT. Dia menghadirkan segala bentuk musibah adalah untuk menyucikan kita. Musibah yang berbentuk peringatan, hentakan dan goncangan – agar kita sedar, kembali insaf dan kenal hakikat diri. Saat ditimpa musibah, yakinlah bahwa inilah bentuk penyucian diri dan tarbiyah daripada Allah SWT buat diri kita.
Demi Allah, di dunia ini – kita hanya mempunyai empat [4] terminal ini sahaja.

Terminal : Tiga [3] di alam Kubur
Saudara saudari yang budiman,
Jika kita tidak berkesempatan bertaubat, tidak melazimi istighfar, sambil lewa dalam beramal soleh, bahkan belum diuji oleh Allah SWT dengan musibah dan – tidak disucikan di dunia, maka ketahuilah dengan kasih sayang, inayah dan rahmat-Nya Allah ia akan disucikan di tiga terminal kubur.
[1] Solah Jenazah
Saat, malaikat maut datang menunaikan tanggungjawabnya. – Pastinya kematian itu tidak akan ditertangguh lagi dengan izin-Nya. Oleh itu jika orang yang kita kenal meninggal dunia, maka cepat-cepatlah kita kumpulkan orang yang beriman dan beramal soleh untuk melakukan solat jenazah. Terpenting di sini bukannya, jumlah yang ramai dan banyak.
Tetapi, yang beriman, bertaqwa dan kehidupannya dipenuhi dengan amalan soleh. Kumpulkan mereka dan laksanakan solat ke atas jenazah. Doa manusia memberikan syafaat kepada jenazah di alam kuburnya.
Setelah mati, ia disucikan. Disucikan dengan solat jenazah.
[2] Fitnah Kubur
Alam yang gelap, bersendirian, kelam, ruangan yang sempit dan sunyi sepi. Namun, kesendirian kita di alam kubur memberikan satu kesan kepada kita. Pertanyaan dua malaikat – Mungkar & Nakir – berdiri menghadap kita.
Bertanya soalan-soalan yang terbongkar dan bocor sejak sekian lama. Bertanyakan tentang Tuhan, agama, Rasul dan saat perasaan ketakutan pada peristiwa itu. Kegelapan, kesunyian, kesepian dan kesempitan alam kubur adalah terminal kesucian bagi yang belum disucikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Kuburan itu mungkin kebun dari kebun syurga dan mungkin jurang dari jurang-jurang neraka.” [4]

Ramai dikalangan kita – takutkan akan kegelapan, keseksaan dan kesempitan alam kubur. Tetapi, sedarkah kita bahawa kubur itu berupaya menjadi kebun daripada kebun-kebun syurga. Bagi siapa? Ini adalah nikmat bagi yang suci, bersih dan jernih hatinya dari dunia.
Dan, bagi yang belum disucikan lagi, maka ia pun layak sebegitu sebagai ganti masuk syurga.
[3] Hadiah pahala amal manusia
Ulama bersepakat ada empat (4) hal yang pahalanya boleh disalurkan dan disedekah kepada orang yang telah mati dikubur iaitu haji, umrah, sedekah dan doa.
Anda pernah mendengar sebuah hadis berkaita ini?
Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Apabila anak Adam mati, maka terputuslah amalnya, kecuali tiga perkara : ilmu yang bermanfaat, sedakah jariyah atau anak soleh yang mendoakannya.” [5]
Masya-Allah, Maha Pemurah dan Pengasihnya Allah SWT. Sentiasa memberikan kita peluang dan kesempatan untuk menyucikan diri. Tidak sempat di alam dunia, diberikan lagi peluang di alam kubur.
Kekadang terfikir, jika ketiga-tiga terminal ini belum mencukupi, apakah maksud akal?Empat terminal belum menyucikannya – terlepas peluang -, tiga di alam kubur belum menyucikannya juga – apakah petanda dan alamatnya?
Eh? Mesti pembaca tertanya-tanya apa kaitan artikel saya ini dengan himmah? – Terminal penyucian diri dengan himmah diri. Ada connection ke? Rasa-rasa anda dan pandangan anda?
InsyaAllah, sekadar ini dahulu untuk minggu ini. Semoga bermanfaat. Oya, 4 lagi terminal kita cuba lihat dan selusurnya bersama-sama pada minggu mendatang dengan izin-Nya. InsyaAllah.

Penutup – Komentar seorang hamba
1)- Saya membelek-belek buku berkaitan Tazkiyatun Nafs. Terdetik dalam hati, sampai bila perlu menghadap buku seumpama ini. – Hati saya bersuara : “ Sampai bila-bila, sehingga dijemput oleh Allah SWT.” Murabbi saya menyebut, aspek penyucian jiwa sangat-sangat penting, sehingga hampir setiap ulama yang menulis pasti ada satu karya mereka yang akan menyentuh perkara  ini secara serius, bersungguh dan nyata.
2)- Perkongsian di atas adalah hasil pembacaan saya terhadap beberapa buah buku yang sedang saya telaahi. Antaranya ialah, Menuju Taqwa tulisan Dr Abdullah Nasih Ulwan, Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid , Uluwwul Himmah karya Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam dan Bahagiakan Hatimu karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
———————————————————–
[1] Liqo tarbawiyyah ( Pertemuan Mingguan) bersama Abu Munzir, 28 Mac 2011
[2] Az Zumar  39 : 73
[3] HR Bukhari dan Muslim
[4] HR At-Tirmidzi
[5] HR Muslim

0 comments: