BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 2, 2011

sahabat,bercita citalah menjejaki syurga.....

Keindahan syurga, ia melebihi segala-galanya
Sahabat, bercita-citalah menjejaki Syurga
Oleh : BroHamzah
Ada saya syair arab yang benar-benar memikat hati saya :
Jadilah kamu orang yang kakinya berada dibumi
Tetapi cita-citanya ada dibintang kejora.


Bintang kejora, perumpamaan yang sangat cantik. Satu bintang, yang jauh tinggi melangit. Satu gambaran untuk memberikan satu galakan bahawa kita harus bercita-cita tinggi semampu yang boleh.
Bercita-cita tinggi, bersemangat waja dan bergelora tekad dalam jiwa adalah kalimat-kalimat yang membangkitkan perasaan dan sanubari saya. Entah mengapa, saya sukakan motivasi-motivasi yang membara dan sentiasa menghangatkan setiap relung dalaman di dada.
Sebagai mukmin, kita harus memiliki cita-cita, impian dan hasrat keinginan yang tertinggi. Saya terbaca sebuah kisah ringkas dalam buku yang dikarang oleh Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, Uluwwul Himmah berkaitan cita-cita yang tinggi.
Pada suatu hari seseorang berkata kepada al-Attabi, “ Si Fulan itu sangat jauh cita-citanya.” Maka ia menjawab : “ Kalau begitu target dan cita-cita akhirnya pasti syurga.”

Cita-cita termulia, tertinggi dan terhebat.


Itulah Syurga.
Pernah kah anda terbayangkannya?
Memejam mata, lalu mengimaginasikan segala keadaan, rupa bentuk, suasana dan segala hal-hal yang berkaitan dengannya?
Keindahannya, keseronokannya, perayaannya, kecantikan bidadarinya, kenikmatan makanan dan minumanya, dan pelbagai imaginasi lain yang tidak terjangkau imaginasi manusia.
Pendek kata, setiap sesuatu yang terdapat di syurga tidak terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas dalam fikiran manusia.
MasyaAllah.
Anda semua? Tidak berhajatkah atau berkeinginan untuk memasuki syurga? Pernahkah kita meletakan cita-cita dalam hayat ini yang teratas itu adalah menjejaki kaki ke syurga? Apakah usaha-usaha yang telah kita lakukan untuk mendapat darjat sedemikian rupa?
Satu ungkapan yang sangat saya suka :

“ Orang berhimmah (bersemangat) tidak pernah puas kecuali dengan Syurga.”


Inilah cita-cita yang termulia, terhormat, tertinggi, terhebat dan teragung. Sesungguhnya orang yang bercita-cita besar tidak menganggap penting sesuatu yang fana’, tidak gemar kepada kehidupan yang bersifat sementara, dan tidak tertarik pada kemewahan dunia.
Segala kesenangan, kelazatan dan kenikmatan yang ada didunia ini hanya bersifat sementara baginya. Sedangkan kesenangan, kelazatan dan kenikmatan yang hakiki, sejati dan abadi itu ada di syurga nanti.
Pada suatu hari Imam Ahmad ditanya oleh seorang temannya,”
“ Bilakah seorang hamba itu mendapat kesenangan?,”
Beliau menjawab :
“ Ketika dia menapakan kakinya di Syurga.”
Cita-cita ini adalah cita-cita yang abadi. Ia akan terus terbang di langit keluhuran dan tidak akan hinggap kecuali di puncak ketinggian yang akhir di alam abadi.
Cita-citanya sangat tinggi, sempurna, jernih, luhur dan bersih. Ia tidak mengenal rasa lelah, susah payah, bingung, sedih dan gelisah.
Cita-citanya adalah laksana cahaya yang selalu berkilauan, taman bunga yang harum semerbak mewangi, istana yang indah perhiasan, isteri yang menawan kecantikannya dan perhiasaan yang indah ditempat yang abadi penuh kebahagiaan.
Hanya di sanalah mata terasa nyaman, jiwa terasa tenang dan hati terasa damai. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah darinya.”
( Al-Kahfi (18) : 107-108)
Syurga adalah tanah air bagi jiwa-jiwa yang bersih, lagi jernih. Tanah air bagi mereka-mereka yang bersemangat kental dan ruh pejuang yang benar-benar berhajatkan sesuatu yang benar-benar berharga, tinggi dan sangat bernilai untuk diri mereka.

Jalan ke syurga, bukan dihampari permaidani merah



“ Jalan menuju syurga dipenuhi dengan hal-hal yang tidak disukai, dan jalan-jalan menuju ke neraka dipenuhi dengan keinginan nafsu syahwat.”


Ramai kita, memasang cita-cita untuk menjejaki syurga.
Jika ditanya, adakah kita layak untuk syurga. Ada tanpa segan silu menjawab :
“ Boleh kot.”
Syurga -untuk memiliki, memasuki dan menjejakinya ada nilai dan harganya. Bukan sekadar angan-angan kosong dan cakap-cakap biasa-biasa tanpa amalan yang nyata.
Membaca dan meneliti sirah Rasulullah SAW, para sahabat RA, para tabin dan ulama yang soleh lagi wara’ dalam mengejar syurga dengan amalan soleh dan jihad perjuangan yang luar biasa – membuatkan diri ini terasa kekerdilan dan sesungguhnya kita semua masih jauh daripada bayangan syurga!
Lantaran itu, marilah kita melorongkan segala kemahuan, kehendak, cita-cita, perancangan, fokus kehidupan dan segala-galanya kepada matlamat yang mulia ini. – Syurga Allah SWT , dan keredhaan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.”
( Al-Isra’ (17) : 19)


Dan ketahuilah, tatkala memilih untuk berada dalam jalan ini – ketahuilah wahai teman-teman, sahabat-sahabat yang budiman- jalan ini adalah jalan yang dipenuhi duri-duri tajam yang akan menusuk kakimu di sepanjang perjalanan menuju destinasi akhir hayat mu.
Saat, tertusuk dan terluka maka, lembutkan hatimu dengan kalam-kalam, mutiara nasihat dan peringatan para ulama yang soleh, wara dan tawadhuk  ini.
Sufyan bin Uyainah mengatakan : “ Tempuhilah jalan kebenaran, dan jangalah merasa kesepian oleh sedikitnya orang yang berpihak kepadamu.”


Seorang yang soleh berkata : “ Kesendirianmu dalam setia meniti kebenaran, adalah bukti bahawa kamu benar-benar serius menitinya.”


Amir Syamsul Ma’ali Qabus berkata : “ Membangun biografi yang manis itu harus dengan bersusah payah. Dan melakarkan kenangan yang indah itu harus dengan berusaha keras.”


Amr bin al-Ash radhiyallahu’amhu berkata : “ Kalian harus bercita-cita meraih hal-hal yang besar, bukan hal-hal yang kecil.”


Saya akhiri perkongsian kali ini dengan sebuah syair Arab yang sangat menyentuh hati saya.

Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi
“ Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil.”

0 comments: