BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 2, 2011

tips membangkitkan motivasi himmah...

Bersemangat waja dan penuh motivasi, ia bermula dengan diri kita.

Tips Membangkitkan Motivasi Himmah
Oleh : BroHamzah
Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.
Saya benar-benar rasa bersyukur kepada Allah SWT di atas segala kurniaan-Nya, pemberian-Nya dan anugerah-Nya kepada saya. Dan harapan saya agar anda juga begitu.
Sentiasa bersemangat waja
Penuh keceriaan di wajah
Kelihatan sinar kesungguhan memancar di pandangan mata
Tampak kecerdasan dan kecergasan yang luar biasa pada diri
Dan, yang terpenting ialah jiwa anda sentiasa disimbahi dengan himmah yang tinggi


Apabila berbicara soal himmah, semangat, keazaman dan cita-cita yang menggunung – ia adalah berkait rapat dengan soal kejiwaan, perasaan dan ruh dalaman manusia. Lantas itulah, bagi saya sebagai manusia – kita harus meniti beratkan soal kekuatan jiwa, hati, sanubari dan perasaan dalaman kita dengan hakikat kekuatan yang sebenarnya.
Sebagai muqadimmah kepada artikel perkongsian hari ini, saya teringatkan satu kata-kata Murabbi saya tentang hakikat kekuatan mukmin.
Apa katanya? – Ia sangat mengesani jiwa dan perasaan saya.
Bicaranya menyapa lembut relung-relung jiwa saya :
“ Kekuatan sebenar seorang mukmin ialah apabila ia bersandar sepenuhnya segalanya kepada Allah SWT ; Menjadikannya manusia yang tidak kenal erti putus asa dan kecewa, tidak takutkan cabaran dan kegagalan. Disebalik semua inilah ketenangan, kebahagiaan, kepasrahan, lapang dada, kepuasan dan kemanisan hidup dan iman yang sebenarnya.”
Saya merenungi dan mengkoreksi diri, adakah sehingga kini saya benar-benar berada dalam lingkungan insan  yang menyerahkan segala sandaran sepenuhnya kepada Allah SWT?Ia benar-benar memberikan satu ungkapan nasihat yang menyegarkan jiwa dan memperbaharui ruh keinsanan saya agar sentiasa membulatkan segala aspek kehidupan yang dilalui kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Tips untuk sentiasa bersemangat


Ada yang bertanya?
Macamana ya hendak sentiasa bersemangat?
Bagaimana hendak memotivasikan diri agar sentiasa berjiwa cekal dan tabah?
Apa rahsia untuk terus ‘maintain” dengan perasaan yang berkobar-kobar?
Dan, banyak lagi persoalan yang diutarakan.
Saya simpulkan bahawa, ini adalah satu petanda dan petunjuk yang baik. Ramai yang sebenarnya berhajatkan kepada suasana yang sentiasa segar, bersemangat yang membara, kemahuan yang tinggi memuncak dan sentiasa bersungguh dalam beramal.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Bagus sangat-sangat. Saya sendiri sentiasa mencari tips-tips, rahsia, kaedah-kaedah dan cara untuk meningkatkan perasaan semangat dalam diri dan juga motivasi kendiri. Melalui pembacaan, perkongsian pengalaman, mengutip mutiara bicara mereka yang lebih berusia, perbincangan hati ke hati, dan melalui kajian secara langsung dan tidak langsung.
Ayuh kita lihat bagaimana cara untuk meningkatkan motivasi, himmah, semangat dan kemahuan yang keras terhadap cita-cita, impian dan hajat di dalam kehidupan.

(1) Menjalani kehidupan bersemangat seperti Rasulullah SAW
Bagi saya, tiada insan yang lebih utama untuk diqudwahkan melainkan baginda Rasulullah SAW. Bagi adalah manusia yang sangat tinggi motivasinya, berhimmah tinggi, berpandangan jauh serta berwawasan dalam kehidupannya.
Jika anda ingin bersemangat, sentiasa bersungguh dan jiwa yang benar-benar membara. Tidak perlu gusar dan bimbang. Ambil tips pertama ini sebagai panduan utama. Jadikan Rasulullah sebagai mentor anda.
Lihatlah cara Rasulullah SAW menjalani kehidupan. Setiap pagi Rasulullah SAW memulakan pagi baginda dengan Solat Tahajud, membaca Al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa. MasyaAllah – inilah titik mula kehidupan yang terbaik dalam kehidupan manusia.
Bersih hati dan jiwa. InsyaAllah – jiwa kita akan bangkit keharumannya, kesegarannya dan keindahannya. Putih, bersih dan jernih. Dan – inilah rahsia kekuatan himmah yang tersembunyi zaman berzaman. Rahsia terletak pada hati.
(2) Banyak membaca karya-karya, buku-buku, tulisan-tulisan dan bingkisan yang membangkitkan ruh motivas & himmah
Membaca. Membaca. Membaca
Perkara ini  adalah prasayarat dan kata kunci yang tidak boleh diabaikan langsung. Sangat-sangat penting. Biasakan diri membaca, dan jadikan membaca sebahagian daripada agenda kehidupan harian.
Anda boleh menatap dan mengambil pelbagai inspirasi daripada pelbagai buku yang ada. Pilihlah penulis-penulis yang berkaliber, wara’, profesional dan muktabar untuk dibaca segala tulisan mereka.
Anda tahu? Sepanjang kehidupan saya, buku-bukulah yang menjadi peneman dalam mengharungi kehidupan. Saat kecundang, hadirlah buku yang menyuntik semangat untuk bangkit semula. Saat dirundung keresahan yang mencengkam perasaan, buku  adalah salah satu wadah yang terbaik untuk meleraikan segala kekusutan.
Dan – buku yang terbaik bagi saya ialah : Al-Quranul Karim. Kitab Motivasi terulung, dulu – kini – dan selamanya.
Al-Quran ia adalah penawar yang menyejukan jiwa yang yang lara, menyembuhkan segala penyakit kebusukan akibat penyakit hati yang merbahaya dan memberikan suntikan kekuatan yang sangat luar biasa.Wajibkanlah diri anda untuk membaca, menatap, memahami dan mentadabbur ayat-ayat Al-Quran. Lakukanlah ia secara konsisten, percayalah anda akan merasa sesuatu yang sangat mengujakan!
Selain itu, buku-buku yang bagi saya yang meninggalkan impak yang besar kepada proses kejiwaan dan kemahuan saya ialah hasil karya ulama muktabar yang hebat, soleh lagi warak. Antaranya ialah buku La Tahzan, karya Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, buku Uluwwul Himmah – karya Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam, Al-Muthalaq karya Syeikh Muhammad Ahmad Rasyid dan banyak lagi.
Tambah lagi, anda boleh membaca tulisan artikel, bingkisan motivasi, perkongsian motivasi daripada blog-blog motivasi, website motivator dalam negara mahupun luar negara dan mengikuti siaran motivasi yang bermanfaat daripada siaran radio atau televisyen. Saya percaya, ia akan memberikan pengaruh yang tersendiri kepada anda.
3) Mendengar dan menghayati laungan nasyid dan muzik Islamik yang membangkit semangat!
Saya pernah bersembang dengan seorang sahabat saya tentang soal bersemangat. Beliau sangat cergas, proaktif, dan kata-katanya sentiasa penuh dengan semangat. Saya bertanya, pernahkan dia down, lemah, dan keletihan?
Katanya : “ Sudah tentu, kitakan manusia”
Jadi, saya soalnya balik bagaimana beliau bangkitkan semula semangatnya?
Satu yang menarik hati saya, beliau menjawab :
“ Ana akan mendengar nasyid-nasyid yang bersemangat. Selalunya Shoutul Harokah!”
Saya terfikir. Ya, alunan muzik dan nasyid turut membantu dalam soal ini. Prof Dr Yusof al-Qardawi dalam karyanya, Seni dan Hiburan Dalam Islam telah menyatakan bahawa :
“ Tidak ada masalah mengenai nyayian kecuali hanya kebaikan dunia yang dinikmati oleh jiwa dan dianggap baik oleh akal dan fitrah serta disenangi oleh telinga. Ia merupakan kelazatan telinga, sebagaimana makanan yang enak itu kelazatan bagi lidah, pemandangan  yang indah itu kelazatan bagi mata dan seterusnya.”
Ya penting, lagu-lagu itu menepati syara, tidak melalaikan dan memberikan satu kemanfaatan yang buat si pendengar. Anda juga pastinya meminati lagu-lagu dan nasyid kan?
Saya, apabila lemah atau lesu – saya suka memasang lagu-lagu penuh semangat daripada kumpulan Shoutul Harokah. Anda kenal kumpulan ini? Satu kumpul nasyid daripada seberang. Setiap kali mendengar lagu-lagu mereka – hati saya terbangkit dengan sendiri dan rasa satu aura yang menyuntik jiwa.
Perkongsian Ini
Inilah sebahagian tips untuk kali ini. Dan saya kongsikannya kerana inilah yang selalu saya amalkan dan laksanakan sehingga kini. Saya suka sekiranya, kita boleh kongsikan ia secara terbuka. Anda boleh nyatakan, bagaimana anda mengembalikan semangat dan motivasi diri sepanjang kehidupan ini. Dan boleh juga kongsikan cara – masing-masing – dalam memelihara semangat dan motivasi diri yang positif. InsyaAllah
Harapan saya, agar kita semua sentiasa ceria, bersungguh, dipenuhi kemahuan yang membara dan berhimmah dalam menghadapi kehidupan ini.
Salam penuh himmah!

0 comments: