BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, April 10, 2011

ukhuwwahfillah itu indah..

“Cinta itu terbahagi kepada tiga.” Suara Dr Ugi Suharto kedengaran memenuhi ruang bilik ceramah.
Peserta-peserta menumpukan perhatian.
“Yang pertamanya adalah Cinta Syahwat. Cinta yang ini, pada haiwan pun wujud.”
Haiwan. Aku tersenyum sendiri. Ya. Kalau difikirkan semula, manusia itu sebenarnya dalam kumpulan haiwan. Tinggal, manusia mampu berfikir dengan sendiri.
“Yang keduanya adalah Cinta di atas syara’. Cinta yang ini adalah, kita membawa perasaan kita itu untuk berada dalam jagaan syara’. Kita tidak akan melanggar batasannya. Kita membina cinta kita, di atas binaan syara’ itu sendiri.”
Menarik. Penerangan yang menarik. Ini bermaksud, ada satu lagi level di dalam cinta. Level yang bukan semua manusia hendak menghampirinya. Cinta yang terbina di atas syara’, dan bergerak di dalam batasan syara’. Bermaksud, di dalam hubungan cinta itu, tidak akan ada perlanggaran hukum-hakam Allah. Pendek kata, cinta itu membawa pencinta di dalamnya kembali kepada Allah SWT.
“Dan, tingkatan yang terakhir. Cinta kepada Allah itu sendiri. Dan inilah yang ramai orang lupakan. Terlupakan.” Dr Ugi berbicara dengan senyuman. Sebentar dia memandang kepadaku yang berada di sebelahnya.
Aku mengangguk-angguk.
“Sebenarnya, tanpa yang ketiga ini, kita akan sukar mempraktis cinta di atas syara’ tadi. Kita akan banyak jatuh kepada cinta syahwat. Cinta untuk kepuasan nafsu. Dan, kalau dengan sahabat sejenis itu, cinta hanya kerana hendak mendapatkan sesuatu yang berbentuk keduniaan.”
Kulihat peserta-peserta semua seperti teruja dengan penyampaian yang diberikan. Sama seperti aku. Aku turut terkesan.
“Maka ukhuwwahfillah itu, mampu kita bina apabila kita faham akan hubungan kita terhadap Allah SWT.”
Dan buat kesekian kalinya, aku mengangguk.
Ukhuwwahfillah. Itulah objektif program yang sedang aku ikuti ini. Dengan tema “Berukhuwwah hingga ke syurga”, Kumpulan Light of Faith yang berpusat di UK telah menjemputku untuk menjadi sebagai salah seorang penyampai dan fasilitator. Bertempat di Beaumanor Park, Loughborough, program ini berjalan dalam keadaan yang amat sederhana.
Program ini bernama Mesra Kembara 2011. Atau lebih dikenali sebagai MEKAR’11.
Hakikatnya, jika hendak dibandingkan dengan Dr Ugi, aku nyatanya hanya seorang yang kerdil. Belajar pun belum habis. Kejayaan hidup pun belum banyak. Umur juga masih amat muda. Dan kalau dilihat semula, peserta-peserta program ini majoritinya jauh lebih tua daripada diriku.
Namun kupenuhi juga jemputan ini.
Bukan kerana aku merasakan bahawa aku amat arif dalam medan Ukhuwwahfillah ini.
Tetapi kerana aku ingin mencari ‘yang lebih lagi’ dalam hal Ukhuwwahfillah ini. Kerana padaku, Ukhuwwahfillah ini amat indah.
******
“Abang, i still can’t draw an eyebrow!” Amnan sudah menarik-narik lenganku. Program Osum Gergasi baru sahaja tamat, dan ramai yang keletihan. Aku juga begitu sebenarnya.
“Abang, i’ve drawn a face. Look it here!” Qayyim pula menarik lengan yang satu lagi sambil menunjukkan kepadaku kertas dalam pegangannya.
Tsaqif, Muqri dan Ahmad mengekori setia. Semua mengelilingiku, membawaku ke salah satu meja kayu yang berada di hadapan kabin. Aku tersenyum dengan gelagat mereka yang manja itu.
Walaupun keletihan, kulayani juga mereka. Duduk, perlahan-lahan kuajar bagaimana hendak melukis. Kemudian kusuruh mereka melakukannya semula. Amnan mendahului, dan yang lain menumpukan perhatian.
Matahari seperti hendak terbenam, tetapi waktu seperti terhenti. Maghrib di sini masuk lambat. Dan momen senja ini amat menyentuh hati.
Aku memandang adik-adik yang sedang tekun melukis.
Aku dan mereka ini, apa?
Antara kami, wujud hubungan apa?
Abang dan adik?
Kawan?
Kenalan?
Mereka ini, nanti selepas aku pulang, apakah mereka akan masih mengingatiku? Apakah kami akan kekal berhubungan? Apakah selepas setahun dua, mereka membesar, apakah aku masih berada dalam ingatan mereka?
Kemudian satu lagi kumpulan persoalan menjengah minda. Mereka ini, bila membesar, jadi apa? Orang yang baik? Atau menjadi mereka yang terjerumus ke dalam lembah jahiliyyah? Menjadi hamba sistem yang rosak, atau menjadi pelawan arus yang gagah? Yang mana satu?
Sedar tidak sedar, sebelah tanganku merayap ke atas kepala Qayyim. Rambut remaja berumur 11 tahun itu kuusap dengan penuh kasih sayang. Pandanganku melabuh pula kepada Amnan yang kini tekun melihat Muqri, yang sedang melukis kening. Kemudian sempat mataku melirik kepada Tsaqif dan Ahmad, yang menjadi pemerhati setia.
Kalau mereka ini membesar, dan kemudiannya rosak, sedih kan?
Tiba-tiba perasaanku seperti berkecamuk.
Aku sayang mereka. Ayat itu tercetus di dalam hati.
Jadi, bagaimana hendak menyelamatkan mereka? Bagaimana hendak memastikan bahawa mereka ini selamat?
Ketika ini, aku masih tiada jawapan.
Aah, satu lagi hubungan terbina, dan kekuatan aku tidak bersama.
******
Satu hari suntuk, program berjalan. Baik dalam bentuk formal, mahupun tidak formal.
Bermula dengan sesi ta’aruf dan permainan-permainan ta’aruf, bergalih kepada forum, kemudian makan tengahari bersama, dituruti dengan LDK dalam bentuk aksi, diteruskan dengan sukaneka ukhuwwah, yang kemudiannya disambung dengan bedah Al-Quran, solat Maghrib dan makan malam bersama, kemudian sesi tazkirah yang fokusnya terhadap Ukhuwwah dan Sirah. Penuh.
Sedar tidak sedar, jam sudah melebihi pukul 12 tengah malam.
Aku berbaring di atas tilam. Kabin tempat tidur peserta lelaki sunyi dalam gelap. Semua sudah melelapkan mata. Aku masih terkebil-kebil dalam diam.
Program ini tidaklah terlalu mewah. Perjalanannya juga amatlah santai. Peserta tidaklah disumbatkan dengan penyampaian semata-mata. Tetapi wujud juga program-program yang berbentuk tidak formal. Dan program tidak formal itu lebih banyak.
Ukhuwwahfillah. Aku membesar dengan kalimah itu sebenarnya. Aku juga banyak tahu mengenainya. Tetapi kali ini seakan-akan Allah hendak aku masuk ke satu dimensi baru. Aku seakan-akan melihat satu pandangan lain dalam Ukhuwwahfillah ini.
Dulu, aku sering mendengar seniorku berkata, kalau kita ini berukhuwwah dengan seseorang itu kerana Allah, kita cakap “Uhibbukafillah.” Dan kita sayang dia, nak bawa dia masuk ke syurga Allah SWT. Kefahaman itu benar, tetapi kali ini aku macam dapat yang lebih daripada itu.
Tetapi aku masih tidak mampu menterjemahkannya dengan bicara.
Aku hanya ada rasa.
Aku membayangkan wajah-wajah yang kulihat sepanjang hari ini. Ketika mereka mendengar penyampaianku dan Dr Ugi. Ketika mereka bermain permainan itu dan ini. Ketika mereka berbincang dan melakukan aksi. Ketika makan, ketika bersembang, ketika berjalan. Adik-adik, ketika mereka tertawa, ketika mereka bermanja-manja, ketika mereka inginkan itu dan ini.
Aku ada rasa sesuatu.
Yang lebih dari apa yang aku rasa selama ini.
Dan aku nampak, di hujung perasaanku itu ada satu perkara.
Itulah namanya bahagia.
Tetapi aku masih belum mampu menterjemahkan jalan untuk ke sana.
Akhirnya keletihan menewaskan.
Aku perlahan-lahan diselimuti kegelapan.
******
Beacon Hill. Tidak jauh daripada Beaumanor Park.
Lokasi rehlah kami, peserta-peserta MEKAR’11. Juga boleh dikatakan sebagai program kemuncak kami. Memandangkan selepas ini yang ada hanyalah majlis penutup.
Aku masih kekal dengan perbincangan mindaku. Tetapi pergerakanku tidak terganggu. Masih bersama mereka. Aku antara yang tiba awal, menanti kehadiran yang lainnya.
Ketika ini, aku didekati Kak Lin dan Kak Iza. Kak Iza adalah ibu kepada Qayyim, Muqri dan Tsaqif. Manakala Kak Lin adalah ibu kepada Amnan.
“Akak nak tanya la, macam mana ya nak masuk ke sekolah kamu?” Kak Iza bertanya.
Aku tersenyum. Kujelaskan serba sedikit. Aku dapat melihat, seorang ibu yang sedang berusaha hendak menjaga masa hadapan anaknya. Ingin anaknya itu membesar dalam suasana yang baik, dan terbina dengan fikrah yang cantik.
“Macam mana nak bagi anak-anak ni, boleh baca Al-Quran dengan baik?” Kak Lin pula bertanya. Aku mencadangkan agar dibiasakan anak-anak ini mendengar bacaan-bacaan Imam yang dirasakan minat oleh mereka. Selain kelas-kelas tajwid Al-Quran yang pastinya mesti diikuti, mendengar bacaan imam-imam juga akan banyak membantu. Lebih-lebih dalam membentuk ritma bacaan.
“Dengar ni Amnan, abang cakap apa ni.” Kak Lin cuba membawa Amnan yang duduk di balik batu untuk mendengar sembang-sembang kami.
Senyumku tidak pudar. Sayang sungguh Ibu ini kepada anaknya.
Ya. Itu hubungan apa? Adakah hanya kerana ada hubungan darah?
“Nanti, Hilal buatlah buku-buku untuk anak-anak. Yang lebih ringan. Yang sesuai untuk umur sekitar darjah tiga sampai darjah enam. Harap sangat anak-anak ni ada bahan bacaan yang baik, yang berfikrah, agar terbina sikit cara pemikiran diorang ni.” Kak Iza menyuarakan cadangan.
Aku mengangguk-angguk dengan senyuman yang tidak hilang.
Besar harapan.
Tidak lama kemudian, ramai berkumpul. Program dimulakan dengan sarapan bersama. Ketika itulah aku disapa oleh Akhi Johari.
“Ni, enta kata nak bincang fasal Langit Ilahi punya big project.”
Aku terus mengekori Akhi Johari, dan segera membentangkan projek Langit Ilahi untuk lima tahun ke hadapan, juga untuk 10-50 tahun ke hadapan. Semuanya sudah kulukis kemas di atas kertas lukisan yang kubawa ke hulu hilir sepanjang program.
Akhi Johari mendengar peneranganku dengan tekun. Dia kulihat memberikan perhatian sepenuhnya. Walaupun aku sendiri merasakan, rancanganku agak bombastik, dan kelihatan agak mustahil untuk dibumikan. Aku fikir, orang ramai hanya akan berkata, rancanganku itu ibarat pungguk menantikan bulan. Tetapi Akhi Johari mendengar dengan teliti.
Ketika ini, Abang Muttalib, Abang Idham, Nazriey, dan Pakcik Fauzi duduk mengelilingi kami. Mendengar sama apa yang aku lontarkan. Sekali-sekala, Abang Muttalib dan Abang Idham memberikan pandangan untuk memperkemaskan lagi perancanganku.
Aku rasa lapang apabila berada dalam suasana itu.
Mereka tidak merendah-rendahkanku. Tidak menganggap rancanganku itu mustahil. Bahkan, menunjukkan pula kepadaku betapa rancanganku itu jika diusahakan mampu dibumikan dengan baik sekali.
“Macam mana Akhi Jo? Agak-agak rancangan ana ni ok?”
Akhi Jo mengangguk. “Ini bukan benda mustahil. Jangan risau, ana bantu apa yang ana boleh bantu. Enta teruskan semua ini.”
Aku bagai hendak terbang ke udara. Bukan mudah hendak bertemu dengan orang yang lebih tua, tetapi bersikap sepertinya. Aku rasa lebih bertenaga.
Program berjalan dan kini program letaknya di tanganku. Aku sekadar menjalankan modul-modul mudah.
Modul pertama, suap biskut ke mulut sahabat sambil memandang tepat matanya dengan senyuman. Modul kedua, pilih seorang, pejam mata, dan raup wajah yang lain, teka siapa tuan punya wajah. Modul ketiga, peluk sahabat dengan erat, lagakan pipi tiga kali, dan pandang wajahnya kemudian menyebut: “Saya sayang awak.”
Program itu, aku reka seringkas demikian untuk menguji sesuatu.
Aku perhatikan mereka. Aku harap aku dapat jawapan.
Ketiga-tiga modul berjalan.
Aku lihat bagaimana mereka tertawa. Aku melihat bagaimana mereka gembira. Aku melihat bagaimana wajah mereka mempunyai riak terkesan dengan apa yang dilaksana.
Dan aku akhirnya bertemankan senyuman.
Ya. Itulah dia jawapannya.
******
Saat paling sukar pun tiba. Perpisahan.
Sebenarnya agak pelik. Aku sebenarnya adalah orang asing di tanah ini. Mereka adalah pelajar-pelajar di negara ini. Semestinya, selain program ini, mereka berjumpa lagi di program-program yang lain. Aku, aku hanya seorang pelajar Jordan, yang datang dijemput untuk program kali ini.
Tetapi aku rasa, hubungan aku dan mereka adalah seperti sudah terjalin bertahun lamanya. Sedangkan, kalau dilihat semula, aku baru sahaja tiba dua hari yang lepas sahaja.
Saat-saat akhir ini, aku menumpukan sepenuh perhatianku. Satu persatu wajah yang ada, kutatap dari jauh. Yang dekat, dari dekat.
Bila lagi boleh berjumpa ya?
Bagaimana untuk terus kekal berhubungan ya?
Antara kepahitan dalam sesebuah hubungan, adalah perpisahan. Ya. Kalau bukan berpisah kerana berlainan tempat, akan berpisah juga bila berlakunya kematian. Mahu tidak mahu, perpisahan itu adalah satu kewajipan dalam hubungan.
Apakah akan bertemu semula?
Apakah akan berkumpul seperti ini di lain masa?
Tiada siapa yang mengetahui jawapannya selain Dia.
Aku dipanggil, untuk bergambar bersama peserta-peserta wanita. Kak Yah, Kak Zu, Kak Ana, Kak Wanis, dan peserta-peserta yang lain berkumpul di sisiku. Aku ditengah mereka. Wujud jarak antara kami. Dan kami bergambar bersama.
Mereka mengucapkan terima kasih atas kesudianku hadir memenuhi jemputan mereka. Aku menggeleng. Tidak. Tidak.
“Hilal yang sebenarnya kena ucapkan terima kasih.”
Ya. Kerana aku mendapat jawapanku. Ukhuwwahfillah yang selama ini aku fahami, aku fahami dengan lebih mendalam lagi selepas mengikuti kem ini. Walaupun aku dijemput sebagai penyampai, tetapi nyatanya aku yang banyak menerima penyampaian. Semestinya, secara tidak langsung, daripada mereka.
“Akhi, ana nak balik dah ni.” Akhi Johari memelukku.
“Jumpa lagi insyaAllah.”
“Jumpa lagi.” Aku bersuara.
“Hilal, mari sini, bergambar dengan kami dulu.” Kedengaran suara Kak Iza dan Kak Lin. Maka aku bergambar dengan dua keluarga yang indah ini. Abang Muttalib dan isterinya, Kak Iza bersama anak-anak mereka, Qayyim, Tsaqif dan Muqri. Kemudian aku bergambar pula dengan Kak Lin, bersama suaminya Abang Idham, bersama anak mereka Amnan, Huda dan Humaira.
Aku memandang semua pulang satu persatu.
Aku yang menumpang kenderaan Dr Burhanuddin Busu, menjadi antara yang terakhir pulang. Sementara memerhatikan kerja-kerja terakhir dilakukan oleh Tuan Pengarah Program, sahabatku Abu Zarrin, aku ditemani Dr Yusri, salah seorang peserta program.
“Tengok siapa tu?” Dia bertanya.
“Calon kedua.” Aku bercanda. Marah tunang. Dr Yusri tertawa.
Dr Yusri antara yang datang awal ke program ini. Dia juga rupanya merupakan anak kandung kepada guruku yang amat kuhormati – Sir Mohd Abdoh. Dia banyak bersamaku, dan membantuku banyak perkara sepanjang program ini berjalan. Seorang yang sering tersenyum, dan suaranya lembut.
“Dr, ni hadiah.” Aku menghulurkan minyak wangi yang kubawa daripada Jordan.
“Oho, orang bagi hadiah ni, kita kena bagi hadiah balik.” Dia segera mencapai kompas oren yang tergantung di zip baju sejuknya. Aku sudah terkejut. Semudah itu?
“Nah. This is your guidance on this world.” Sambil tersenyum kepadaku.
Aku membalas senyumannya. Menggeleng sambil tanganku menyambut kompas itu. Segera kusangkutkan pada zip baju sejukku. “Ini ana akan jaga. Sampai ana mati.”
Dia mengangguk. Kami berpelukan. “I love you, i love you, i love you.” Dia menyebut.
Aku rasa seperti hendak menangis. Menganggguk. “Me too, insyaAllah.”
******
Di dalam kenderaan Dr Burhanuddin Busu, aku memandang Beaumanor Park yang hendak ditinggalkan.
Kepenatan. Tetapi aku kepuasan.
Ukhuwwahfillah itu memang indah. Kerana Ukhuwwahfillah itu unik.
Apa yang uniknya?
Itulah yang aku perolehi akhirnya di dalam program ini. Di dalam masa dua hari satu malam ini. Di MEKAR’11 ini. Yang Allah bukakan kepadaku, hingga membuatkan tenagaku bertambah-tambah untuk berusaha lebih baik lagi untuk hari yang baru.
Ukhuwwahfillah itu unik kerana, ukhuwwahfillah ini tidak terbina seperti hubungan biasa. Bila berhubung, biasanya kita akan melihat bahawa kita ingin bersama. Duduk dekat-dekat. Tidak berjauhan. Tidak berpisah.
Tetapi nyatanya, perpisahan itu wajib berlaku. Maka, mustahil Islam menyariatkan sesuatu yang berlawanan dengan fitrah. Sedangkan, terbukti bahawa ukhuwwah adalah dituntut di dalam Islam.
Di sinilah keunikannya Ukhuwwahfillah.
Aku memang tak akan mampu menjaga Amnan, Qayyim, Tsaqif, dan Muqri serta adik-adik lain dengan berada di sisi mereka, menjadi ‘penjaga’ mereka selama-lamanya. Tetapi aku boleh, di tempatku, menguatkan diriku, agar nanti di kala kami bertemu semula, aku mampu menjadi seorang yang amat baik untuk dicontohi oleh mereka. Biar nanti,kala aku mendengar mereka dalam kesukaran, kala aku mendengar mereka kejatuhan, aku mampu menjadi seorang yang kuat untuk membantu mereka dan menarik mereka.
Ya. Sebab aku cintakan mereka kerana Allah SWT. Cinta pasti ada buktinya. Dan bukti cinta ini adalah amalan. Maka, pastinya aku tidak boleh lalai dalam menjaga diriku sendiri. Itu juga adalah bukti cintaku. Bukan semata-mata aku menjaga mereka. Menjaga diriku, mempertingkatkan diriku, itu juga adalah bukti cintaku kepada mereka.
Dan…
Aku memandang Abu Zarrin yang telah tertidur di sebelahku. Dia pastinya kepenatan. Malam ini hendak menemaniku lagi menemui sepeupuku, esok pula hendak menemaniku berjalan melihat-lihat London. Kemudian mataku melirik kepada Dr Burhanuddin yang juga kelihatan penat memandu. Dia sedang mengarah masuk kenderaan yang kami naiki ke tempat rehat. Mungkin dia ingin tidur sebentar.
Abu Zarrin, Dr Burhanuddin, Abang Idham sekeluarga, Abang Muttalib sekeluarga, Kak Zu, Kak Rohana, Akhi Johari dan isterinya Kak Wanis, Dr Ugi dan isterinya Kak Yah, juga sahabat-sahabatku seperti Rashid Redza, Nazriey, Imran, Adil anak Dr Ugi, begitu juga yang perempuan seperti Syazwana, Syahidah, Husna dan lain-lain, semua ini meninggalkan aku.
Tidak akan kekal di sisiku.
Sampai satu titik, kami akan berpisah.
Hubungan ini tak akan kekal di atas dunia ini. Masing-masing ada tugasan. Masing-masing ada kehidupan.
Sebab itu, hubungan yang akan menjaga kami semua, hanyalah Ukhuwwahfillah.
Mengapa?
Kerana Ukhuwwahfillah ini, fokus kami hanyalah keredhaan Allah SWT. Bukanlah kami memerlukan ungkapan sayang buat daripada sahabat kami setiap hari. Bukanlah kami perlu bersembang setiap hari. Bukanlah kami perlu belanja makan atau kirimkan hadiah selalu. Yang kami mahu, dalam hubungan kami adalah keredhaan Allah.
Sebagai pembina ukhuwwah, kami mengejar janji-janji Allah bagi mereka yang berukhuwwah:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab: Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Iya. Maka berpisah pun tidak mengapa. Tidak dapat balasan pun tak mengapa. Tidak selalu sembang pun tidak mengapa. Cukup sekadar kita mengetahui, sahabat kita itu bergerak di atas jalan Allah SWT, dan menjaga diri mereka, menjadi pekerja-pekerja Allah SWT di atas muka bumiNya. Itu sahaja sudah mengembangkan jiwa. Itu sahaja sudah melebihi segala-galanya.
Sebab, tujuan utamanya adalah untuk bersama selama-lamanya.
Ya. Bersama selama-lamanya.
Itulah dia kemuncak Ukhuwwahfillah.
Di manakah kemuncak Ukhuwwahfillah itu akan berlaku?
Semestinya di syurga sana.
Bukti bahawa kita berukhuwwahfillah dengan seseorang adalah, kita masuk syurga. Jadi, kalau tak masuk syurga, itu tandanya kita tidak berjaya dalam ukhuwwahfillah kita.
Aku tersenyum.
Ya. Itu yang aku perolehi dalam kembaraku ini.
Memang sedih berpisah. Memang sukar hendak ikhlas dalam berhubungan. Tetapi hakikatnya, ukhuwwahfillah mendidik diri untuk menangani semua itu. Kerana Ukhuwwahfillah menyediakan yang lebih dari semua itu.
Ya.
Hanya yang melaksanakan sahaja yang merasa.
Yang berpusing-pusing di alam teori takkan memahaminya.
Mataku mula hendak terpejam, mengekori ahli kenderaan yang lain yang sudah terlelap. Aku kira, sebentar lagi pasti Dr Burhanuddin akan terjaga semula untuk meneruskan pemanduan.
Aku puas hati.
Bertemu di syurga sana ya?
Mula dalam kepala tergiang-giang apa yang Dr Ugi Suharto kata:
“Maka ukhuwwahfillah itu, mampu kita bina apabila kita faham akan hubungan kita terhadap Allah SWT.”
Iya. Akhirnya Allah jugalah tempat diri ini kembali, jika mahu membina Ukhuwwahfillah yang asyik ini.
Syurga, syurga, syurga.
Mustahil ke sana tanpa merapati Tuan Penciptanya bukan?
Aku tersenyum.
Gelap.

0 comments: